Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MENDAKI bakal lancar Anugerah Sanjungan Budi sempena ulang tahun ke-40

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Satu anugerah khas akan dilancarkan bagi mengiktiraf individu-individu yang membuat sumbangan besar kepada masyarakat Melayu/Islam dalam bidang pendidikan dan pembelajaran sepanjang hayat.

Anugerah Sanjungan Budi itu yang diberikan kepada mereka yang telah membuat sumbangan untuk sekurang-kurangnya 20 tahun, akan disampaikan di majlis sambutan ulang tahun MENDAKI yang ke-40 pada 1 Oktober ini.

Mengumumkan demikian pada Rabu (7 Sep), Timbalan Pengerusi MENDAKI, Zaqy Mohamad turut mendedahkan pelbagai acara dan kegiatan bakal dianjurkan sempena ulang tahun badan bantu diri Melayu/Islam itu.

Menerusi kempen Raikan Ilmu 2022, hampir 40 acara dan kegiatan seperti pesta membaca dan sesi bimbingan kerjaya akan diadakan di 11 bandar M³.

Acara dan kegiatan itu akan diadakan secara fizikal, hibrid dan online.

PERSIDANGAN UNTUK SELAMI ISU MASYARAKAT

Persidangan Masyarakat Gemilang juga akan dianjurkan bagi memberi pemahaman lebih menyeluruh tentang perkembangan masyarakat dalam bidang pendidikan dan pekerjaan.

Ia bakal diadakan pada 8 Oktober.

Selain itu, acara dipanggil #MakingConnections akan menggabungkan 300 karyawan dari pelbagai industri.

Acara yang akan berlangsung pada 29 Oktober ini bertujuan membolehkan golongan PMET meluaskan lagi rangkaian serta peluang dalam industri-industri yang berkembang.

"Sempena meraikan ulang tahun ke-40 MENDAKI, bulan Raikan Ilmu tahun ini bakal menyajikan pelbagai kegiatan untuk seisi keluarga. Ia bukan saja memberi peluang kepada kami untuk mengimbau pencapaian kami selama 40 tahun dalam usaha membina sebuah Masyarakat Gemilang, tetapi juga ini memberikan peluang untuk mencerminkan iltizam dan visi kami untuk terus memacu masyarakat bagi mencapai kejayaan di masa hadapan"

"Ini akan kami lakukan melalui pelbagai acara yang akan melibatkan para pemimpin masyarakat Melayu/Islam, anggota karyawan dan juga belia dalam usaha kita bersama membina masyarakat gemilang," kata Encik Zaqy.

Beliau berkata, pelaburan dalam pendidikan anak-anak, peningkatan kemahiran dan pembelajaran sepanjang hayat penting untuk membangunkan daya bingkas masyarakat agar bersedia untuk industri masa depan.

DATA KAJIAN UNTUK NILAI KEBERKESANAN PROGRAM

Buat pertama kalinya juga, MENDAKI akan berkongsi data kajiannya sendiri bagi menghasilkan program pendidikan yang lebih tertumpu dan berkesan.

Buat masa ini, MENDAKI telah menubuhkan Pejabat Penilaian Program untuk menilai keberkesanan program-program utama seperti KelasMateMatika (KMM), Skim Tuisyen Mendaki dan program mentor #amPowered.

Ini akan membolehkan MENDAKI meluaskan lagi programnya dan memastikan ia kekal berkesan.

Mengulas lanjut, Encik Zaqy berkata
MENDAKI telah membantu masyarakat Melayu/Islam untuk menumpukan kepada pendidikan sebagai kunci kepada kemajuan sosio-ekonomi.

"Kami tidak mungkin mencapai kemajuan ini tanpa sokongan semua orang dalam masyarakat - para anggota, sukarelawan, penderma, rakan, ibu bapa dan tentunya pelajar itu sendiri - dengan pelbagai usaha akar umbi. Ini adalah semangat gotong-royong yang menjadi wawasan MENDAKI ketika ia ditubuhkan 40 tahun lalu," tambah Encik Zaqy.

Sebagai usaha berterusan untuk mendekati para pemimpin masyarakat, MENDAKI akan mendampingi sekitar 50 pemimpin India-Muslim untuk mengiktiraf sumbangan mereka.

Menurut Encik Zaqy ini kerana mereka juga telah memainkan peranan penting dalam kejayaan masyarakat Melayu/Islam di Singapura dan merupakan rakan sokongan kuat MENDAKI.
Sumber : BERITA Mediacorp/EM/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan