Skip to main content

Singapura

MENDAKI akan terus tingkat mutu program tuisyennya, tawar program lebih pelbagai agar lebih inklusif

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: MENDAKI akan terus meningkatkan mutu Program Tuisyen MENDAKI (MTP) dengan menawarkan pelbagai program pendidikan bagi memenuhi keupayaan para pelajar yang berbeza.

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Mendaki, Dr Noraslinda Zuber, langkah ini penting bagi membina sebuah masyarakat yang lebih inklusif dan berdaya tahan.

Ini bagi memastikan bahawa setiap individu, tidak kira prestasi akademik mereka pada masa dahulu, berpeluang untuk berkembang maju pada waktu hadapan.

"Sebagai contoh, kami akan menawarkan Advanced Learners Programme atau ALP bagi subjek-subjek Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains bagi pelajar Darjah 5 dan 6 serta Menengah 3 hingga 5. Pelajar pelajar ALP ini akan diajar cara-cara untuk mengasah kemahiran menyelesaikan masalah kerana ini penting buat mereka," kata Dr Noraslinda.

Selain itu, anggota tenaga pengajarnya juga akan diperkasa seiring dengan peredaran teknologi dan kaedah pembelajaran masa kini.

"Kami telah merintis penggunaan alat-alat AI seperti Khan Academy Tutors untuk membantu guru tuisyen kami merancang pembelajaran mereka mengikut keperluan pelajar. Kami juga akan memberikan sokongan pelajar kita dengan alat-alat AI supaya mereka lebih berupaya di dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI)," tambahnya lagi.

Perkara ini turut dialu-alukan oleh Encik Amirnorashid Amari, seorang bapa kepada peserta MTP.

"Satu cadangan daripada saya ialah supaya badan-badan seperti MENDAKI dapat menganjurkan program-program baharu yang merangkumi topik seperti pengurusan kewangan, kemahiran hidup, pemikiran kritikal, dan terutamanya bidang digital seperti AI. Dalam hal AI ini, saya rasa aspek yang penting ialah Prompt Engineering, iaitu cara yang betul dan berkesan untuk menggunakan AI," kata Encik Aminorashid.

"Saya rasa murid-murid atau kanak-kanak patut belajar cara penggunaan AI yang betul, demi masa depan mereka. Mungkin dalam 5 hingga 10 tahun akan datang, kebanyakan pekerjaan akan berkait rapat dengan AI," tambahnya lagi.

Bagi beliau, dengan adanya kemahiran hidup di dalam kalangan para pelajar, ia akan membuatkan mereka menjadi pekerja yang serba boleh.

Dr Noraslinda turut menjelaskan bahawa ramai ibu bapa dan pelajar telah membesar dalam sistem di mana keputusan peperiksaan dianggap sebagai jalan paling selamat untuk mobiliti sosial.

"Mereka mungkin berasa tidak pasti bagaimana untuk mengemudi sistem yang lebih terbuka dan kurang berstruktur," kata Dr Noraslinda.

Maka itu, MENDAKI turut mengambil langkah mendekati golongan ibu bapa agar mereka memahami perubahan kepada landskap pendidikan hari ini.

"Pada 15 November ini, kami akan menganjurkan acara tahunan kami iaitu Pathway to Success bagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak berusia di bawah 12 tahun. Di acara ini, ibu bapa berpeluang menyertai pelbagai sesi perkongsian mengenai pembangunan anak-anak dan juga anak-anak berpeluang untuk menyertai pelbagai Learning Journey. Ini semua adalah perlu kerana kami ingin meningkatkan kesedaran mengenai landskap pendidikan hari ini buat para ibu bapa," tambahnya lagi.

Pendekatan yang diambil MENDAKI seiring dengan tumpuan pemerintah seperti yang ditekankan Perdana Menteri Lawrence Wong di Parlimen pada 24 September lalu.

PM Wong menyatakan bahawa persaingan untuk mendapatkan kelayakan akademik semakin sengit dan menegaskan bahawa golongan muda kadangkala merasakan mereka terperangkap dalam perlumbaan yang tiada penghujung, dari bilik darjah ke alam pekerjaan.

Perkara ini, kata beliau mesti dihentikan kerana objektif utama penggal pemerintah kali ini, adalah untuk mengurangkan kebergantungan kepada satu peperiksaan semata-mata, meluaskan lagi takrif kejayaan, dan memberi setiap anak peluang untuk meneroka dan mengembangkan kekuatan mereka, sama ada dalam bahasa, sains, sukan, seni mahupun kemahiran teknikal, tanpa segala-galanya bergantung kepada satu ujian sahaja.

Pemerintah menurutnya akan memperluas skim-skim pemerintah yang menyediakan bantuan kewangan serta sumber kepada keluarga kurang kemampuan agar anak-anak mereka diberikan peluang untuk mencapai kemajuan dalam kehidupan.
Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita