Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MENDAKI akan perluas jangkauan KelasMateMatika, rintis program celik huruf tahun depan

Dalam usaha memperkuatkan lagi asas-asas anak Melayu sebelum memasuki Darjah 1, Yayasan MENDAKI mahu menarik sehingga 1,600 ibu bapa dengan anak prasekolah, supaya menyertai program KelasMateMatika (KMM) tahun depan.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Dalam usaha memperkuatkan lagi asas-asas anak Melayu sebelum memasuki Darjah 1, Yayasan MENDAKI mahu menarik sehingga 1,600 ibu bapa dengan anak prasekolah, supaya menyertai program KelasMateMatika (KMM) tahun depan.

Tahun hadapan juga ia akan merintis program celik huruf seperti format KMM sebagai satu program bantuan susulan.

Timbalan Pengerusi MENDAKI Zaqy Mohamad mendedahkan demikian semasa diminta berkongsi lebih lanjutmengenai tumpuan lebih besar badan bantu diri itu dalam bidang prasekolah.

AGAR ANAK MELAYU TIDAK KETINGGALAN

Baru-baru ini MENDAKI mendedahkan, ia akan memberi fokus dan bantuan yang lebih besar kepada pendidikan prasekolah pula.

Ini memandangkan prestasi pelajar Melayu/Islam di peringkat sekolah rendah hingga posmenengah, sudah semakin memberangsangkan saban tahun.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan tahun ini menggesa agar lebih ramai ibu bapa Melayu menghantar anak-anak bagi pendidikan prasekolah di peringkat lebih awal lagi.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli pada Ogos tahun ini juga pernah menggesa para ibu bapa Melayu/Islam supaya menghantar anak-anak mereka ke prasekolah lebih awal lagi - iaitu seawal usia 3 atau 4 tahun.

Timbalan Pengerusi MENDAKI, Encik Zaqy Mohamad kini memberi jaminan bahawa lebih banyak tumpuan dan tenaga akan diperuntukkan menerusi rangkaian kerjasama MUIS, MESRA dan MENDAKI (M³).

"Anak-anak yang mungkin telah menjalani pendidikan prasekolah selama tiga, empat tahun, mempunyai kelebihan jika dibandingkan dengan seseorang itu yang tidak memasuki kepada prasekolah ataupun pada peringkat akhir dimasukkan kepada K2.

"Di sini amat penting kita memberi fokus kepada prasekolah supaya lebih ramai anak kita tidak ketinggalan apabila mereka memasuki Darjah 1," kongsi Encik Zaqy yang juga Menteri Negara Pembangunan Negara merangkap Tenaga Manusia.

PENINGKATAN PESERTA KELAS MATEMATIKA

Satu usaha untuk membantu pendidikan prasekolah anak-anak Melayu seawal usia 3 tahun
adalah menerusi program KelasMateMatika (KMM) yang akan terus dipertingkat.

KMM melengkapi ibu bapa dengan kemahiran mengajar anak-anak mereka matematik.

Program kendalian M³ itu, yang disasarkan kepada ibu bapa dengan anak prasekolah berusia antara 4 hingga 6 tahun, tahun ini menyaksikan bilangan pesertanya melonjak kepada tiga kali ganda.

Jika 15 tahun dahulu, KMM menarik hanya 300 ibu bapa dan anak-anak mereka, tahun ini ia berjaya menarik lebih 1,200 orang.

Pada tahun depan, KMM akan diperluaskan ke lebih banyak kawasan dan menyasarkan untuk menarik 1,600 peserta pula.

"Sebelum ini kita telah mendekati lebih daripada 300 anak-anak prasekolah dan juga ibu bapa dan pada tahun ini kami telah mendekati lebih 1,200 anak murid dan ibu bapa mereka.

"Kami berharap pada tahun 2020 kami akan terus meluaskan program ini kepada lebih banyak Kelab Masyarakat dan kepada lebih banyak keluarga - kepada 1,600.

"Melhat trajektori dari segi pendekatan MENDAKI kepada keluarga-keluarga yang memerlukan, ini saya kata merupakan satu inisiatif yang boleh diperluaskan lagi dan membawa manfaat kepada lebih banyak keluarga," ujarnya.

BUKAN "SEKOLAH MAKAN-MAKAN"

Encik Zaqy berkata penting bagi ibu bapa Melayu untuk mengambil peluang ini dengan sebaik mungkin dan tidak menganggapnya sebagai "sekolah makan-makan" sahaja.

Beliau mendedahkan MENDAKI akan memperkenalkan sebuah program celik huruf kepada golongan kanak-kanak yang dikenal pasti memerlukan lebih banyak bantuan susulan dalam program KMM.

"Kami akan juga melihat bagaimana kita dapat mengadakan program-program celik huruf di mana mereka yang mungkin lebih lemah dalam bahasa Inggeris misalnya kita ingin mendekati mereka juga untuk memberi mereka program-program celik huruf dan juga membawa ibu bapa bersama juga, seperti format KMM.

"Ini seperti satu program perintis buat masa sekarang, kita ingin melihat bagaimana kita boleh menjalankannya dan insyaAllah boleh memperluaskannya," tambah beliau lagi.

Semua ini akan dilaksanakan pada tahun depan kata Encik Zaqy. 

Sumber : BERITA Mediacorp/UR/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan