Skip to main content

Singapura

MENDAKI akan luaskan pendedahan masyarakat kepada kegiatan, kerjaya dalam industri sedang berkembang

Yayasan MENDAKI menekankan pihaknya akan terus mengembangkan pendedahan masyarakat kepada kegiatan dan peluang kerjaya dalam industri-industri sedang berkembang.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Yayasan MENDAKI menekankan pihaknya akan terus mengembangkan pendedahan masyarakat kepada kegiatan dan peluang kerjaya dalam industri-industri sedang berkembang.

Ini di tengah-tengah landskap pekerjaan dan pasaran ekonomi yang berubah-ubah dan menunjukkan pelbagai jenis trend.

Pendedahan sedemikian dilakukan menerusi acara seperti kempen Raikan Ilmu yang diadakan sepanjang bulan Julai ini.

Pengerusi MENDAKI yang juga Menteri Negara Kanan Pertahanan, Zaqy Mohamad berkongsi demikian semasa acara Raikan Ilmu@Kejiranan, di Yishun pada Sabtu (26 Jul).

Suasana hiruk-pikuk di pusat beli-belah Northpoint City lebih terasa hari ini apabila ramai pengunjung mengerumuni reruai-reruai Raikan Ilmu@Kejiranan anjuran MENDAKI.

Kanak-kanak kelihatan 'menggodeh' peralatan canggih, manakala golongan dewasa yang sibuk pula meneroka peluang kerjaya baharu.

Menteri Negara Zaqy Mohamad juga turun padang meninjau-ninjau pelbagai jenis kegiatan yang disediakan.
Pengerusi MENDAKI yang juga Menteri Negara Kanan Pertahanan, Zaqy Mohamad di acara Raikan Ilmu@Kejiranan di Northpoint City pada 26 Julai 2025. (Gambar: BERITA Mediacorp/Hakim Irwan)
Beliau berbesar hati melihat anggota masyarakat Melayu/Islam, khususnya golongan muda, mencuba dan mencari tahu tentang industri-industri sedang berkembang.

"Raikan Ilmu membawa pendedahan dari segi trend baharu terkini dalam pekerjaan dan pendidikan, juga bagaimana anak kita dapat menceburi bidang-bidang seperti teknologi, penjagaan, kemampanan dan sekitaran.

"Di sini kita mempunyai kuiz dan sebagainya dalam pelbagai ketetapan. Seperti BERITA Mediacorp, yang mempunyai reruai di mana mereka dapat mencuba dalam pekerjaan dalam media.

"Saya berharaplah ia membuka minda anak kita supaya apabila mereka menceburi pendidikan mereka, mereka memilih kursus dalam pendidikan tinggi atau IHL. Ini memberikan mereka satu bayangan akan apakah mereka mendapatkan peluang dalam pekerjaan akan datang," kata Encik Zaqy.

Di reruai BERITA Mediacorp, para pengunjung berpeluang menyelami sekilas dunia media dan penyiaran seperti penerbitan buletin BERITA.
Para peserta di acara Raikan Ilmu@Kejiranan di Northpoint City pada 26 Julai 2025. (Gambar: BERITA Mediacorp/Hakim Irwan)
Ramai yang tidak melepaskan peluang mencuba sendiri pengalaman membaca berita di hadapan kamera serta membaca secara duet bersama para penyampai BERITA Mediacorp.

Acara di Northpoint City itu akan berlangsung sehingga Ahad (27 Jul), sekali gus menutup kempen Raikan Ilmu@Kejiranan yang berlangsung di tiga kerjiranan - termasuk sebelum ini Choa Chu Kang dan Tampines.

Encik Zaqy menjangkakan, jumlah pengunjung bagi tiga hujung minggu acara Raikan Ilmu termasuk sesi rangkaian #MakingConnections dan Simposium MENDAKI, akan mencecah lebih 90,000 pengunjung.

Pelbagai acara di Raikan Ilmu yang diadakan sepanjang bulan ini juga menjadi wadah bagi pembangunan pelan lima tahun MENDAKI bermula tahun depan.

"Kami dalam proses ini di mana kita sedang mendapatkan maklum balas masyarakat di mana kita mahu juga mendengar daripada mereka apakah kelainan yang MENDAKI dapat lakukan dalam lima tahun akan datang. Saya rasa pandangan masyarakat amat penting bagi kami.

"Sebelum ini mendapatkan hampir 600 maklum balas dan kita berharap akan teruskan usaha ini dalam bulan Ogos," kata Encik Zaqy.
Sumber : BERITA Mediacorp/HK/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita