MENDAKI, 4PM ambil langkah dinamik untuk tarik dan kekalkan tenaga relawan
SINGAPURA: Pengalaman kali pertama sebagai sukarelawan M³ pada 2021 menjadi pembuka mata bagi Ummul Wafeeqa Nuha, 20 tahun kepada realiti sebenar yang dihadapi golongan kurang bernasib baik.
Beliau mendaftarkan diri untuk menjalankan tinjauan di flat-flat sewa.
"Saya tidak pernah berjumpa atau mengenali sesiapa yang tinggal di rumah flat sewa. Saya melihat Singapura sebagai (sebuah negara yang maju) dan kita jarang sekali untuk melihat bahagian lain. Jadi, apabila saya dapat peluang untuk melibatkan diri dalam program ini, saya dapat belajar dan bermuhasabah," kata Ummul Wafeeqa Nuha kepada wartawan Rosli A Razak.
Pengalaman berinteraksi dengan sebuah keluarga memerlukan sukar untuk dilupakan oleh mahasiswi tahun kedua jurusan pendidikan awal kanak-kanak di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) itu.
"Ketika saya melakukan lawatan dari rumah ke rumah, saya berjumpa dengan seorang budak perempuan yang berusia 12 tahun. Beliau menceritakan yang beliau harus menjaga ibu dan tidak ada masa untuk pergi ke sekolah. Beliau juga tidak tahu apakah bantuan yang boleh didapatkan dari sekolah atau sebarang pertubuhan," kongsi beliau.
Atas dorongan kakaknya, Wafeeqa mendaftar pula untuk menyumbang masa dan tenaga sebagai mentor program #AmPowered yang memadankan para pelajar pengajian tinggi dengan murid-murid Program Tuisyen MENDAKI.
Secara keseluruhannya, MENDAKI mempunyai 1,200 sukarelawan yang membantu badan itu menjalankan program-program jangka panjang.
Sekitar 83 peratus daripada jumlah itu merupakan relawan aktif.
Mereka membantu dalam program-program tetap seperti Tuisyen MENDAKI (MTP), KelasMateMatika (KMM) dan #AmPowered.
Bakinya, melibatkan diri secara ad hoc di acara-acara lain seperti pameran bergerak dan acara besar seperti pesta Raikan Ilmu.
CABARAN MENDAPATKAN DAN KEKALKAN TENAGA RELAWAN
Namun bagi sukarelawan seperti Wafeeqa, bukan mudah baginya untuk kekal komited disebabkan tuntutan lain sebagai mahasiswi dan masa bersama keluarga dan rakan-rakan.
.jpg)
Akur dan faham dengan cabaran tersebut, pertubuhan-pertubuhan seperti MENDAKI cuba mencari huraian terbaik untuk terus menarik para sukarelawan untuk menjayakan program-programnya.
"Kami tidak terlalu membebankan sukarelawan di mana jangka masa walaupun panjang selama enam bulan ataupun sembilan bulan bagi sesuatu program itu, tetapi masa yang diperlukan untuk sukarelawan itu datang hanyalah mungkin sebulan sekali. Ia walaupun pendek tetapi secara berterusan. Jadi, dengan itu, kami dapat menampung minat mereka secara berterusan," kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MENDAKI, Zulaiha Yusuf.
Menurutnya, golongan sukarelawan kini sudah berubah dan lebih peka dengan tuntutan tugasan mereka.
"Kalau kita membandingkan dalam 10, mungkin 12 tahun yang lalu di mana seseorang akan tampil ke hadapan dan mengatakan 'berilah saya apa-apa tugas' dan saya akan cuba untuk membantu tetapi sekarang ini mereka lebih terdedah kepada banyak informasi. Kami dapati ada di kalangan yang muda dan yang lebih terpelajar mereka akan membuat kajian mengenai latar belakang sesebuah organisasi itu dan juga latar belakang projek yang mereka ingin sertai.
"Mereka akan bertanya banyak soalan kerana mereka akan mencari makna dan juga apakah ada impak ataupun kesan daripada khidmat mereka itu, bukan sahaja kepada golongan yang dibantu tetapi apakah makna itu kepada diri mereka," jelas Cik Zulaiha.
Tambahnya, para sukarelawan belia lazimnya kurang pengalaman dan kemahiran yang diperlukan untuk mengambil peranan tertentu.
Walaupun ghairah untuk menyumbang, mereka mungkin mendapati diri mereka kurang bersedia untuk memikul tugas yang diberikan.
Bagi terus mendorong mereka untuk menyumbang dalam bidang yang diminati, latihan juga diberikan untuk mereka bina kemahiran.
"Kami adakan acara khas untuk sukarelawan ini di mana mereka akan dipadankan dengan sukarelawan yang lebih matang. Ini adalah satu ekosistem sukarela yang kami adakan rangkaian profesional dan sebagainya di mana mereka juga dapat bertukar-tukar pengalaman," kata Cik Zulaiha.

Bagi Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) pula, menawarkan fleksibiliti dari segi jadual masa juga penting untuk terus menarik para sukarelawan untuk menjayakan program-program mereka.
Ini termasuk mengadakan program-program yang lebih bersifat ad hoc dan musiman.
Menurut 4PM, daripada sejumlah 2,300 sukarelawan dalam pangkalan datanya, hanya 26 peratus daripada mereka yang menyumbang secara aktif.
"Para sukarelawan kami datang dari pelbagai perjalanan hidup. Kita ada murid murid yang masih belajar. Ibu bapa yang sudah bertugas. Ada juga golongan warga emas yang masih dalam kesihatan yang baiklah," kata Naib Presiden, 4PM Encik Mohd Hasni Mohd Hashim.
4PM mempunyai empat program teras iaitu Ramadan on Wheels, Frenz Mentoring, Project bITE /Bestari ITE dan Bahas 4PM.
Ini di samping acara berskala lebih kecil seperti pengagihan daging korban, dialog dan perbincangan kumpulan fokus.
Menurut Encik Hasni, 4PM secara lazimnya tidak mempunyai masalah untuk menjalankan program-program yang ia kendalikan.
"Kita sebenarnya boleh mendapatkan jumlah sukarelawan yang banyak yang bersedia untuk tampil membantu tetapi jika berdasarkan komitmen berterusan, ia boleh menjadi agak mencabar. Memandangkan jadual yang sibuk untuk, ramai sukarelawan dan ketersediaan yang berbeza, kami menawarkan fleksibiliti bagi sukarelawan untuk memilih masa yang setanding dengan jadual mereka," kata beliau
Lantaran itu, ia penting bagi pertubuhan seperti 4PM untuk mengenal pasti faktor-faktor yang mempengaruhi motivasi para sukarelawan untuk terus menyumbang masa dan tenaga secara konsisten.
"Ada beberapa cabaran termasuk persaingan untuk masa sebab jadual mereka yang agak berat dan bercanggah. Soal mencari masa untuk melakukan kerja sukarela ini boleh menjadi mencabar untuk ramai individu.
"Juga boleh menjadi sukar jika ia tidak selaras dengan keperluan organisasi sebab tidak semua sukarelawan sesuai untuk setiap peranan. Jadi mencari padanan yang tepat mungkin menyebabkan orang ramai sukar untuk tampil ke hadapan," jelas Encik Mohd Hasni.
SELARI DENGAN TUMPUAN PERTUBUHAN & JADUAL FLEKSIBEL JADI TARIKAN
.jpg)
Faktor padanan dengan keperluan organisasi ini penting bagi sukarelawan muda seperti Encik Kamal Ashraf Kamil Jumat.
Beliau sendiri menyertai 4PM kerana mempunyai minat yang selari dengan pertubuhan itu yang lebih menumpukan kepada golongan muda.
"Saya tertarik kepada identiti dan matlamat 4PM, organisasi yang memberi banyak peluang kepada pemuda pemudi untuk berkhidmat kepada masyarakat," kata beliau.
Bekas peserta pertandingan Bahas 4PM 2019 itu meneruskan minatnya dalam bahas dan kini berkhidmat selaku Pengerusi Akademi Bahas 4PM.
Dua tahun lalu, beliau menyertai anggota Jawatankuasa Pentadbir 4PM.
Jadual acara yang lebih bersifat musiman dan fleksibel juga menjadi kunci baginya untuk terus terdorong bagi menyumbang masa dan tenaganya.
_0.jpg)
Dengan faktor tersebut, mahasiswa jurusan undang-undang di Universiti Nasional Singapura (NUS) itu berkata beliau dapat mengimbangi tuntutan pengajian di universiti dan kerja-kerja di 4PM.
"Ada juga rakan-rakan sebaya saya yang mungkin lebih minat untuk membuat kerja sukarela secara ad hoc sebab ini memberikan mereka kebebasan untuk membuat pertimbangan antara komitmen mereka yang lain termasuk sekolah keluarga. Saya berpendapat bahawa dalam pertubuhan dan dalam program yang lebih berterusan, pertimbangan ini memang boleh dicapai dengan sifat bersefahaman antara sukarela dan juga antara satu sama lain," kata beliau.
Selain faktor masa, 4PM juga kata Encik Hasni juga menumpukan perhatian kepada peluang-peluang latihan dan sokongan kepada tenaga relawannya.
Ini selain meraikan mengiktiraf sumbangan mereka setiap tahun.
Ini lebih-lebih lagi tahun ini dengan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) menggelarkannya sebagai Tahun Meraikan Relawan untuk menghargai sumbangan para relawan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.