Menara pengawal serba canggih di Pulau Jurong pertingkat keselamatan prasarana
Dalam satu lagi usaha untuk memanfaatkan teknologi bagi menangani isu kekurangan sumber, Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) mendedahkan menara pengawal tanpa manusia (UWT).

Menara setinggi enam meter. (Gambar: Aqil Haziq Mahmud)
SINGAPURA: Dalam satu lagi usaha untuk memanfaatkan teknologi bagi menangani isu kekurangan sumber, Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) mendedahkan menara pengawal tanpa manusia (UWT).
Menara itu boleh memperketat kawalan dan mengurangkan jumlah tenaga manusia yang diperlukan untuk melindungi prasarana-prasarana (installations) penting.
SAF akan membangunkan tiga UWT di Pulau Jurong, di mana ia sekarang menjalankan beberapa kawalan pantai dengan mengerahkan pasukan-pasukan keselamatan di menara pengawal di merata negara.
UWT akan dikendalikan dari unit ibu pejabat di Pulau Jurong.
UWT, direka dan dibina oleh DSO National Laboratories, hanyalah satu daripada beberapa inisiatif teknologi yang diumumkan oleh Menteri Pertahanan Ng Eng Hen dalam perbahasan Jawatankuasa Peruntukan (COS) bagi kementeriannya hari ini (2 Mac).
"Menara pengawai tanpa manusia itu adalah tambahan penting yang memperkukuh pertahanan Pulau Jurong secara keseluruhannya," kata Komander (COL) Angkatan Pertahanan Rakyat kedua, Kolonel Dinesh Vasu Dash, yang turut menerajui Pasukan Petugas Pertahanan Pulau.
Sedang pasukan-pasukan keselamatan di Pulau Jurong menggunakan teropong untuk melakukan pemantauan, UWT pula dilengkapi sistem sensor yang terdiri daripada beberapa kamera dan video dengan resolusi tinggi yang boleh merakam dalam suasana gelap. Ini untuk mengesan sasaran secara automatik.
Kamera-kamera itu, yang secara automatik mengubah setting berdasarkan suasana di luar, boleh mengesan sasaran sekecil seseorang yang sedang berenang. Sensor-sensor tersebut menggunakan mesin yang berupaya mengenal pasti ancaman dan mengirimkan amaran audio kepada pasukan keselamatan jika ancaman itu memasuki zon larangan.
"Askar yang menggunakan teropong terdedah kepada hujan, waktu malam malah jerebu," menurut COL Dinesh.
"Sebaliknya pemantauan dari menara tersebut memberikan penglihatan yang lebih jelas dan luas serta membolehkan para pengendalinya memantau ancaman yang menghampiri pulau ini dari jarak jauh."
Atas sebab-sebab keselamatan operasi, SAF tidak dapat mendedahkan jarak keberkesanan UWT.
Teknologi itu juga mengurangkan keletihan mata para askar, yang boleh melakukan pemantauan selama berjam-jam ke atas laut yang suasananya gelap.
"Penglihatan kita menjadi kabur dan proses maklumat akan lebih perlahan," kata Korporal (CPL) James Tan, yang sudah berkhidmat sebagai anggota keselamatan di Pulau Jurong selama lebih setahun.
Namun dengan UWT, isu itu akan dapat ditangani dengan penglihatan yang lebih jelas walaupun pada sebelah malam, tambah CPL Tan, 24 tahun. "Ia memberikan maklumat yang amat tepat tentang kapal-kapal yang datang, supaya kami boleh bertindak pantas."
Dengan adanya UWT, perincian seperti warna dan nama kapal boleh dilihat dengan jelas, kata Sarjan Kedua, Endy Othman, seorang sarjan platun bagi unit di Pulau Jurong.
"Ia memudahkan proses membuat keputusan - sama ada untuk berhubung dengan kapal-kapal yang memasuki perairan Singapura secara haram," tambah beliau.
Apabila itu berlaku, para askar boleh "memilih untuk mendapatkan tindakan pantas daripada SAF atau Pasukan Polis Singapura", kata COL Dinesh. UWT juga dilengkapi alat akustik pembesar suara jarak jauh untuk memberi amaran kepada sesiapa yang menceroboh.
Menjangkaui peningkatan operasi, UWT mengurangkan keperluan tenaga manusia sehingga 30 peratus. Meskipun satu pasukan keselamatan hanya mengendalikan sebuah menara sekarang, dengan adanya UWT pasukan yang sama boleh mengendalikan sehingga tiga menara. SAF bagaimanapun tidak dapat mendedahkan jumlah sebenar atas sebab-sebab keselamatan.
Selain itu, kemudahan automatik UWT membolehkan para askar melakukan tugasan lain. Misalnya, anggota perkhidmatan yang mengalami semput ringan kini boleh dikerahkan kerana mereka tidak lagi diperlukan untuk naik turun bangunan setinggi lapan meter.
"Para askar yang sebelum ini tidak sesuai melakukan tugas penting tersebut kini boleh melakukannya dengan adanya perubahan itu," menurut COL Dinesh.
Pasukan keselamatan yang melindungi prasarana-prasarana utama perlu menjalani latihan selama 11 minggu sebelum membiasakan diri dengan sistem baru itu selama dua hingga tiga hari. Buat masa ini, satu unit sudahpun dilatih untuk mengendalikan UWT.
CPL Tan berkata perubahan itu berjalan lancar. "Ini adalah salah satu teknologi yang boleh kami gunakan dengan mudah, seperti menggunakan telefon bimbit," kata beliau.
UWT pertama akan mula beroperasi di Pulau Jurong pada bulan ini, dengan lagi dua menara mula beroperasi pada bulan September.
UWT juga adalah sistem yang boleh dipasang di mana-mana saja. Ini bermakna ia boleh dipindahkan ke lokasi lain bergantung kepada operasi lain.
SAF akan menjalankan semakan sebelum memutuskan sama ada untuk mengerahkan UWT ke prasarana penting yang lain seperti Sembawang Wharves dan Lapangan Terbang Changi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.