Menara pejabat baharu, pusat beli-belah di Bishan & 'taman destinasi' Orchard di bawah draf pelan induk URA
SINGAPURA: Pusat bandar Bishan mungkin dibangunkan semula menjadi hab perniagaan dan gaya hidup dengan menara pejabat baharu, poliklinik dan pusat beli-belah baharu di bawah Draf Pelan Induk 2025 yang diumumkan oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA).
Pelan itu, yang dikeluarkan pada Rabu (25 Jun), juga termasuk usaha menyegarkan Orchard Road dan bahagian lain di pusat bandar, seperti laluan pejalan kaki yang menghubungkan Dhoby Ghaut Green dengan Fort Canning Park.
Draf pelan induk ialah pelan guna tanah berkanun yang menggariskan keutamaan pembangunan Singapura dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang. Ia disemak setiap lima tahun.
Pelan pembangunan semula untuk kawasan seperti Bishan adalah sebahagian daripada "strategi" yang telah dilaksanakan sejak awal 1990-an, dengan mewujudkan kawasan ekonomi di luar pusat bandar dan mendekatkan tempat kerja dengan rumah.
Pelan untuk pusat bandar Bishan adalah untuk memperkenalkan tempat kerja dan kemudahan baharu, bersama-sama dengan jalan mesra pejalan kaki, ruang awam dan kawasan hijau tinggi yang akan disepadukan dengan pembangunan masa depan.
Menteri Pembangunan Negara Chee Hong Tat berkata semasa melancarkan pameran untuk rancangan URA: "Kami sedang mengkaji usaha memperkenalkan ruang pejabat baharu yang boleh menyaingi Paya Lebar Central."
Menurut URA, agensi-agensi pemerintah sedang mempertimbangkan untuk menukar Bishan Place – yang terletak bersebelahan pusat beli-belah Junction 8 dan pusat pertukaran bas - menjadi "pusat beli-belah yang berlandskap untuk pejalan kaki".
Lebih banyak kemudahan juga sedang dikaji, termasuk poliklinik baharu dan pusat penjaja yang akan disepadukan dengan pusat pertukaran bas yang dinaik taraf dengan ruang menunggu berhawa dingin.
Agensi-agensi pemerintah terpilih sedang meneroka kemungkinan untuk menempatkan semula pejabat mereka di pusat bandar Bishan, tambah URA tanpa memberikan butiran lanjut.
TAMAN BAHARU DI PUSAT BANDAR
"Apabila dilaksanakan, penambahbaikan ini akan mewujudkan ruang hijau yang segar dan bersambung dengan kawasan yang menawarkan pengunjung kawasan mesra keluarga untuk berkumpul di pusat bandar," kata URA.
Di Marina Bay, rancangan baharu termasuk destinasi kesihatan dan ruang rekreasi seperti Dataran NS yang diumumkan sebelum ini dan peluasan resort bersepadu Marina Bay Sands yang akan menampilkan menara keempat dan arena hiburan sebanyak 15,000 tempat duduk untuk meningkatkan kapasiti Singapura menganjurkan acara antarabangsa.
Pemerintah juga bercadang untuk menubuhkan kawasan perindustrian baharu di Seletar East untuk "industri nilai tambah tinggi" seperti pemasangan wafer.
Menurut URA, kajian persekitaran akan dijalankan untuk memastikan tapak seluas 138 hektar, yang terletak antara Punggol Town dan Taman Aeroangkasa Seletar, dibangunkan secara sensitif.
Encik Chee berkata bahawa pemerintah akan melihat semula cara ia merancang kawasan ekonominya dengan beralih daripada "zon penggunaan tunggal" kepada kawasan guna campur yang menawarkan kelonggaran untuk perniagaan dan kemudahan yang lebih baik untuk pekerja.
"URA bekerjasama dengan JTC untuk mengkaji semula garis panduan pengezonan guna tanah perindustrian untuk bertindak balas dengan lebih baik kepada keperluan perniagaan yang semakin berkembang, dengan menyediakan lebih banyak kelonggaran pada penggunaan yang dibenarkan di tanah perindustrian," tambahnya.
"Langkah ini akan memberi manfaat kepada perniagaan dan meningkatkan daya saing ekonomi Singapura, dan kami akan berkongsi butiran lanjut apabila siap kelak."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.