Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Menangani kesalahan COVID-19: Lebih 1,000 kes didakwa di mahkamah dalam 18 bulan

Bayangkan, lebih 1,000 kesalahan berkaitan COVID-19 dihadapkan ke mahkamah. Ini hanya kesalahan berat saja, menurut AGC, kerana kesalahan lebih ringan ditangani di luar mahkamah.

Anggaran Waktu Membaca:
Menangani kesalahan COVID-19: Lebih 1,000 kes didakwa di mahkamah dalam 18 bulan

Mahkamah Negara di Singapura. (Gambar fail: Jeremy Long)

Diterbitkan : 10 Dec 2021 02:04PM Dikemas Kini : 10 Dec 2021 02:12PM

SINGAPURA: Seorang remaja pergi memancing ikan secara haram di sebuah taman bersama sekumpulan rakannya pada 3.00 pagi Jun tahun ini, dan tidak memakai pelitup.

Remaja berusia 17 tahun itu mengaku bersalah atas kesalahannya di bawah Akta COVID-19 2020 (Langkah-Langkah Sementara) dan Peraturan Taman dan Pokok pada Khamis (9 Dis). Namanya tidak boleh didedahkan di bawah Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda kerana dia berusia 16 tahun ketika melakukan kesalahan.

Kes itu adalah antara yang terbaru daripada lebih seribu kesalahan COVID-19 yang didakwa oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) sejak jenayah seperti itu mula berlaku.

PASUKAN BERTINDAK DITUBUH TANGANI KESALAHAN COVID-19

Kes pertama koronavirus dikesan di Singapura pada Januari 2020, dan pada bulan yang sama, AGC menubuhkan Pasukan Bertindak COVID silang divisyen untuk memberi Pemerintah "nasihat undang-undang segera dan rentas bidang" dengan pelbagai isu di tengah-tengah keadaan yang sentiasa berubah-ubah, kata timbalan pendakwa raya Lim Jian Yi kepada Mediacorp.

Di pihak pendakwaan, pasukan khusus yang terdiri daripada lebih 25 timbalan pendakwa raya junior dan kanan ditubuhkan, kata Encik Lim, yang mengetuai bersama pasukan yang mengendalikan kes melibatkan pelanggaran undang-undang berkaitan COVID-19.

Pasukan itu mengendalikan pelbagai jenis kesalahan, seperti melanggar langkah jarak selamat, perhimpunan haram, meninggalkan kediaman bagik tujuan yang tidak dibenarkan, gagal memakai pelitup, menyebabkan gangguan awam, dan gangguan dan/atau mencederakan pegawai awam yang menjalankan tugas untuk memerangi COVID-19.

Pasukan-pasukan juga dibentuk untuk mendakwa kes penipuan melibatkan penipuan dan kesalahan berkaitan harta benda, penipuan online bagi penjualan pelitup, menggunakan nombor kad pengenalan individu lain untuk menebus pelitup dan menyalahguna geran Pemerintah seperti Dana Bantuan Sementara dan Geran Bantuan COVID-19, jelas Encik Lim.

“(Pasukan itu) ditubuhkan untuk memastikan kesalahan berkaitan COVID-19 ditangani dengan adil, cepat dan berkesan,” kata Encik Lim, yang juga timbalan peguam kanan negara.

LEBIH 1,000 KES DIDAKWA

Sejak April 2020 hingga Oktober tahun ini, AGC mendakwa 1,020 orang dan entiti perniagaan kerana melanggar peraturan di bawah Akta COVID-19 (Langkah Sementara) dan Peraturan COVID-19 2020 (Langkah Sementara)(Perintah Kawalan).

AGC juga telah mendakwa tujuh orang atas penipuan berkaitan agihan bantuan COVID-19 daripada pemerintah.

Timbalan pendakwa raya yang menangani kes COVID-19 bekerjasama rapat dengan pasukan bertindak berbilang kementerian dan agensi seperti Kementerian Kesihatan, polis serta Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan untuk memastikan dasar pendakwaan seiring dengan perubahan peraturan COVID-19 dan keutamaan negara dalam menjaga kesihatan awam, kata timbalan pendakwa raya Nicholas Lim.

Memandangkan peraturan COVID-19 dikuat kuasakan oleh pelbagai agensi di lapangan, AGC memainkan peranan penting dalam memastikan garis panduan penguatkuasaan adalah "konsisten dan adil", katanya.

Encik Nicholas Lim, yang juga timbalan peguam kanan negara, mengetuai pasukan yang menasihati pelbagai agensi silang kementerian mengenai protokol untuk merujuk kes penipuan yang disyaki kepada polis untuk disiasat. Beliau terlibat dalam pendakwaan kes penipuan berkaitan geran pemerintah COVID-19.

Memandangkan jenis kesalahan berkaitan COVID-19 terus berubah-ubah dengan pindaan peraturan COVID-19 dan skim-skim baru bantuan dan sokongan pemerintah diperkenalkan, timbalan pendakwa raya perlu menyesuaikan diri dengan pantas untuk mengambil tindakan tegas dan cepat terhadap individu dan perusahaan yang melakukan kesalahan, kata Encik Lim Jian Yi.

Bagaimanapun, kesalahan COVID-19 dikendalikan oleh beberapa agensi penguatkuasaan dan hanya "kes paling berat atau rumit" dikendalikan secara langsung oleh AGC, jelasnya. Pendakwaan di mahkamah "hanya salah satu daripada banyak pilihan untuk menangani pesalah", tambahnya.

“Kebanyakan orang yang melakukan kesalahan kecil COVID-19 seperti tidak memakai pelitup di khalayak ramai diberi nasihat, amaran, atau diberi denda komposisi yang merujuk kepada penyelesaian antara pengadu dan tertuduh. Hanya dalam kes yang lebih serius pesalah akan didakwa di mahkamah,” katanya.

MEMILIH TINDAKAN YANG SESUAI

Dalam memutuskan tindakan yang sesuai serta hukuman yang setimpal dituntut dalam kes-kes pendakwaan, pelbagai faktor diambil kira, kata Encik Nicholas Lim.

Misalnya, betapa seriusnya kesalahan, sama ada penipuan dilakukan terhadap institusi awam dan melibatkan dana awam, cara kesalahan itu dilakukan, kesan daripada kesalahan itu dan sama ada pelakunya pesalah berulang, diambil kira katanya.

“Pendakwaan kesalahan berkaitan COVID-19 adalah perlu kerana kita perlu mengeluarkan mesej yang jelas bahawa langkah kesihatan awam mesti diambil serius untuk mengawal penularan virus dalam masyarakat, dan penyalahgunaan skim sokongan tidak akan diterima,” tegasnya.

“Ini adalah masa-masa yang mencabar dan kami faham bahawa pelbagai peraturan COVID-19 mungkin merimaskan. Bagaimanapun, kita semua perlu memainkan peranan masing-masing untuk memastikan Singapura bangkit lebih teguh daripada pandemik ini.”

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan