Menaikkan had penghuni rumah lebih besar 'huraian jangka pendek' untuk stabilkan pasaran sewa, kata penganalisis
Gambar: iStock
SINGAPURA: Langkah sementara untuk menaikkan had penghunian bagi rumah yang lebih besar mungkin menawarkan huraian jangka pendek untuk menstabilkan pasaran sewa buat sementara waktu sedang bekalan semakin meningkat, tetapi kesannya terhadap pasaran masih "tidak dapat dipastikan", kata para penganalisis hartanah.
Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) mengumumkan pada Rabu (20 Dis) bahawa had penghuni akan dinaikkan dari enam kepada lapan orang yang tidak mempunyai hubungan antara satu sama lain, dari 22 Jan 2024 hingga 31 Dis 2026.
Had penghuni yang dinaikkan itu akan meliputi flat HDB yang mempunyai empat bilik atau lebih besar, serta tempat tinggal hartanah komersial HDB yang tempat tinggalnya setara atau lebih besar daripada flat empat bilik. Ia juga akan merangkumi hartanah privet yang lebih besar iaitu sekurang-kurangnya 90 meter persegi (969 kaki persegi).
Penghunian termasuk pemilik hartanah dan penghuni, serta penyewa.
KESAN TERHADAP PASARAN RUMAH SEWA TIDAK PASTI
Menurut HDB dan URA, peningkatan mendadak pada sewa kediaman dari 2022 mencerminkan "pasaran ketat yang luar biasa" disebabkan oleh COVID-19, ditambah pula dengan "permintaan sewa yang kukuh".
Encik Lee Sze Teck, pengarah kanan analisis data di Huttons Asia, berkata langkah itu mungkin menawarkan "huraian jangka pendek" untuk menstabilkan pasaran sewa buat sementara waktu, sedang bekalan semakin meningkat, tetapi ia tidak dijangka akan memberikan kesan ketara terhadap sewa.
Sewa mungkin meningkat jika terdapat lebih banyak permintaan untuk rumah privet dan flat HDB yang lebih besar. Sebaliknya, sesetengah penyewa mungkin melepaskan rumah privet dan flat HDB yang lebih kecil untuk menyewa yang lebih besar, katanya, sambil menambah bahawa sewa untuk rumah yang lebih kecil mungkin "menghadapi sedikit tekanan".
"Sewa berkemungkinan akan stabil dan mungkin juga menghadapi tekanan akan jatuh dalam jangka pendek."
Cik Christine Sun, naib presiden kanan penyelidikan dan analisis di OrangeTee and Tie, berkata membenarkan lebih ramai orang dalam rumah sewa yang lebih besar boleh "mengurangkan tekanan permintaan dalam pasaran sewa".
“Ini seterusnya boleh menyumbang ke arah keseimbangan yang lebih besar antara bekalan dan permintaan dan menurunkan kadar pertumbuhan harga sewa,” tambahnya.
SIAPA YANG AKAN RAIH MANFAAT?
Sesetengah syarikat yang menggajikan pekerja hijrahan, seperti pekerja dari sektor makanan dan minuman (F&B) serta perkhidmatan, akan mendapat manfaat daripada peningkatan sementara pada had penghuni kerana mereka akan memerlukan rumah sewa untuk menempatkan kakitangan mereka, kata pegawai eksekutif kanan ERA Singapore, Eugene Lim.
Sesetengah firma menyewa flat HDB atau apartmen privet untuk pekerja hijrahan mereka.
Langkah ini juga dijangka akan memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah, pelajar, pekerja hijrahan kolar biru, dan keluarga besar, menurut Cik Christine Sun, naib presiden kanan penyelidikan dan analisis di OrangeTee dan Tie, yang turut menambah bahawa penyewa seperti ini akan mempunyai pilihan untuk berkongsi unit dengan lebih ramai orang dan menjimatkan kos sewa.
“Ini bukan sahaja akan memanfaatkan individu sedemikian tetapi juga membantu menarik dan mengekalkan pekerja hijrahan yang memainkan peranan penting dalam menyokong sektor-sektor seperti pengilangan, kejururawatan, perkhidmatan dan runcit,” tambahnya.
PERTIMBANGAN LAIN
Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee berkata had yang dinaikkan itu hanya akan digunakan untuk hartanah yang lebih besar kerana ia boleh "menampung lebih ramai penghuni dengan kesan minimum pada orang di sekeliling mereka, untuk mengekalkan persekitaran hidup yang kondusif untuk masyarakat yang lebih besar".
Selepas had yang dinaikkan itu dikuatkuasakan, pihak berkuasa akan "memantau keadaan dengan teliti dan mengambil tindakan terhadap sebarang pelanggaran yang serius, termasuk membatalkan kelulusan sewa pemilik rumah," tambahnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.