Skip to main content

Singapura

Memupuk generasi pemikir kreatif akan datang: Sekolah masukkan pendidikan reka bentuk dalam kurikulum

Sekolah-sekolah di sini akan memasukkan pendidikan reka bentuk dalam kurikulumnya menjelang 2050, dengan tujuan agar pelajar menggunakan konsep reka bentuk untuk menyelesaikan masalah yang rumit.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sekolah-sekolah di sini akan memasukkan pendidikan reka bentuk dalam kurikulumnya menjelang 2050, dengan tujuan agar pelajar menggunakan konsep reka bentuk untuk menyelesaikan masalah yang rumit.

Langkah tersebut diharap dapat memupuk generasi pemikir kreatif Singapura akan datang, yang diharapkan akan menggunakan pengetahuan mereka untuk menangani isu-isu yang membelenggu dunia seperti perubahan iklim dan penduduk yang semakin tua.

Beberapa sekolah bahkan sudah menjadikan pendidikan reka bentuk sebahagian dari kurikulumnya. Rekaan pelajar juga sudah membuat perbezaan, terutama bagi golongan tua, menurut sekolah-sekolah tersebut.

Di Sekolah Menengah Northland, misalnya para pelajar menggunakan gogal khas dan simulator yang dapat menghasilkan kesan penuaan, seperti daya penglihatan yang semakin merosot dan tangan bergetar. Alat-alat tersebut dapat membantu pelajar mengalami sendiri keadaan warga tua yang menghadapi masalah pergerakan dan penglihatan.

Sekolah di Yishun itu menawarkan Program Pembelajaran Gunaan atau ALP, yang memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi untuk memperbaiki keadaan warga tua. ALP bertujuan membantu mereka belajar secara amali.

MEMAHAMI MASALAH

Pelajar Kyara Akber berkata dia dapat belajar mengenai isu penuaan dan cabaran yang dialami golongan tua, termasuk melakukan tugas mudah "yang dapat kami lakukan dalam beberapa saat, namun mengambil beberapa minit bagi mereka," katanya.

"Sekarang, saya memahami apa yang mereka lalui setiap hari, dan ia bukan perkara yang mudah," tambahnya.

Para pelajar, dengan bantuan guru, juga dapat menghasilkan beberapa ciptaan berbeza untuk membantu golongan tua.

Seperti contoh, mereka menghasilkan bekas tanaman yang boleh mengingatkan warga emas untuk menyiram pokok mereka. Koding yang mudah digunakan dengan lampu merah akan menyala apabila tanah kering dan perlu disiram.

TANGANI ISU RUMIT

Institut Pengajian Tinggi (IHL) juga menggunakan reka bentuk untuk menangani isu-isu yang rumit.

Di Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD), beberapa pelajar bekerja sama dengan Hospital Besar Changi untuk membina sebuah astaka bersebelahan Blok 70 Bedok South Road, untuk menggalak warga emas kekal bergiat aktif.

Pasukan tersebut mempertimbangkan beberapa ciri mesra usia, termasuk reka bentuk ergonomik, bagi struktur itu, kata pelajar seni bina SUTD, Ian Chung.

"Kami juga sertakan tempat letak tangan dan meja besar bagi mereka anjurkan kegiatan sendiri serta beberapa kawasan berkebun," katanya.

Selain reka bentuk, SUTD berharap dapat menambah penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam reka bentuknya.
Sumber : CNA/AE/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita