Memperingati 200 tahun Masjid Omar Kampong Melaka - masjid tertua dan tempat ibadat pertama S'pura
Ini perlu anda tahu... masjid tertua di Singapura kini sudah berusia 200 tahun! Ia juga tempat ibadat pertama yang dibina di negara ini - terletak tidak jauh dari Sungai Singapura.
SINGAPURA: Ini perlu anda tahu... masjid tertua di Singapura kini sudah berusia 200 tahun! Ia juga tempat ibadat pertama yang dibina di negara ini - terletak tidak jauh dari Sungai Singapura.
Masjid itu adalah Masjid Omar Kampong Melaka di Keng Cheow Street, benar-benar di belakang bangunan Kementerian Tenaga Manusia.
Ia awalnya dibina sebagai sebuah surau oleh seorang saudagar dermawan bernama Syed Omar Ali Aljunied dari Tarim, sebuah bandar di Yaman, yang tiba di Singapura tidak lama selepas Sir Stamford Raffles bertapak di sini.

Gambar lama Masjid Omar Kampong Melaka. (Ihsan: Keluarga Aljunied)
"Pada masa beliau datang ke sini, beliau banyak menolong masyarakat Islam pada masa itu sehingga diberi jolokan ‘Justice of Peace’ (Jaksa Pendamai) untuk menolong Pemerintah mengendalikan masyarakat Islam ketika itu," cerita Sharifah Zahra Aljunied, keturunan generasi kelima Syed Omar.
Sejak dibina pada 1820, Masjid Omar tidak sahaja menjadi tempat orang ramai beribadah. Ia juga menjadi tempat keluarga besar Aljunied berkumpul.
"Keluarga berkumpul di sini untuk acara-acara besar seperti acara tahunan yang kita panggil 'Haul'. Majlis Haul ini adalah untuk memperingati pemergian Syed Omar Aljunied dan juga keluarga Aljunied yang lain," kata Sharifah Zahra.

Beliau menambah, keluarga besar Aljunied juga berkumpul pada setiap malam 27 Ramadan.
"Ini sebenarnya satu tradisi yang serupa seperti yang diamalkan oleh keluarga-keluarga di Hadhramaut di Tarim - kampung kita semua."
LEBIH 30 KUBUR ANGGOTA KELUARGA DI TAPAK MASJID
Menariknya, Masjid Omar Kampong Melaka juga menjadi tapak perkuburan pengasasnya.
Kubur Allahyarham Syed Omar dan lebih 30 anggota keluarganya terletak di bahagian tepi pintu masuk masjid.
Syed Omar meninggal dunia pada 6 November 1862 - tepat 138 tahun lalu. Beliau awalnya dikebumikan di Jalan Kubor. Namun pada tahun 2000-an, saki baki jasad Allahyarham dan kaum kerabatnya dipindahkan ke Masjid Omar.

Penggalian semula kubur kaum kerabat Syed Omar. (Ihsan: Keluarga Aljunied)
"Yang terawal sekali adalah bapa saudara kepada Syed Omar Aljunied, iaitu Syed Mohammed Harun Aljunied. Beliau datang bersama Syed Omar dari Palembang ke sini. Kemudian dia meninggal beberapa tahun selepas mereka tiba di Singapura," terang Sharifah Zahra.

Batu nisan Syed Omar dan beberapa anggota keluarganya juga tersirat sejarah, yang mana ada pengaruh Tarim, Yaman.
"Batu itu seperti diperbuat daripada tanah liat. Di Tarim, semuanya diperbuat daripada tanah liat ataupun 'mudbrick'."

Unsur-unsur sejarah seperti inilah, kata Sharifah Zahra, kurang diketahui ramai.
"Walaupun masjid ini adalah masjid yang tertua di Singapura tetapi saya rasa tak ramai yang mengetahui hakikat ini. Dengan adanya tokoh Syed Omar, mungkin kita dapat menjadikan sifat-sifat yang ada pada dirinya sebagai satu sumber motivasi - sifat dermawan, sifat yang memberi kembali kepada masyarakat," ujarnya.
PERNAH HAMPIR DIROBOHKAN
Hakikatnya, tidak mudah bagi Masjid Omar Kampong Melaka untuk tetap tersergam indah sehingga ke saat ini. Ia sempat ingin dirobohkan bagi membuka laluan kepada arus pemodenan di kawasan bandar itu.
Encik Abu Bakar Abdul Rahman, yang aktif berkhidmat selama lebih 40 tahun di masjid tersebut, menjadi saksi. Beliau mula aktif meluangkan masa di masjid tersebut dari sekitar 1968 dan pernah menggalas tanggungjawab sebagai setiausaha dan pengerusi masjid.

"Apabila kita diberitahu bahawa masjid ini ingin dirobohkan, jemaah banyak buat petisyen. Mereka minta kepada pemerintah pada waktu itu supaya jangan dirobohkan masjid," cerita Encik Abu Bakar.
Menurut beliau, rayuan mereka tidak mendapat sebarang jawapan selama beberapa tahun lamanya.
"Pada 1979, (pihak) Kementerian Pembangunan Sosial menghubungi kami tentang masjid. Mereka tanya tentang masjid. Kita jawab ini masjid orang ramai, bukan masjid kita, kita seorang Muslim. Kalau Pemerintah nak robohkan, paling-paling saya nangis untuk satu hari. Itu yang saya katakan," kata Encik Abu Bakar mengimbau kembali zaman silamnya.

Tidak lama setelah mengisytiharkan masjid mempunyai sekitar S$300,000 untuk dibina semula, pihaknya menerima khabar baik bahawa Masjid Omar Kampong Melaka dapat dikekalkan.
Encik Abu Bakar tidak pasti apakah sebab-sebab sebenar di sebalik keputusan tersebut tetapi beliau percaya sejarah di sebalik masjid itu menjadi faktor utama.
"Saya rasa faktor sejarah yang membolehkan masjid ini untuk dikekalkan sebab Syed Omar seorang saudagar terkemuka. Raffles menulis kepadanya supaya datang ke sini."

Dua anak lelaki Syed Omar. (Ihsan: Keluarga Aljunied)
KELEGAAN 'PENUNGGU' SETIA
Namun ada satu lagi perkembangan yang akan terus terpahat dalam memori Encik Abu Bakar yang menyifatkan dirinya ibarat 'penunggu masjid'. Beliau mula berjinak-jinak dengan urusan Masjid ketika usianya belasan tahun.
"Pada 2001 Lembaga Warisan Negara (NHB) mendekati kami dan berkata bahawa mereka ingin jadikan masjid ini tapak sejarah. Saya gembira kerana ini bermakna, masjid ini tak boleh robohlah," ujarnya.
Sepanjang 200 tahun ini, Masjid Omar sudah beberapa kali menjalani kerja-kerja naik taraf.

Pada 1855, ia diubah daripada sebuah surau menjadi masjid yang dibina semula menggunakan batu-bata. Kerja-kerja peningkatan besar-besaran di dewan solat pula dijalankan pada 1984.
"Saya ukur sendiri masjid ini untuk lakar draf yang perlu diserahkan kepada pihak berkuasa agar mendapat lampu hijau ubah suai masjid," cerita Encik Abu Bakar.
Masjid Omar turut menjalani kerja-kerja naik taraf pada 2010.
Lebih banyak kisah sejarah tentang Masjid Omar Kampong Melaka akan diterbitkan dalam bentuk sebuah buku bertajuk 'A Reverent Journey', dalam waktu terdekat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.