Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Memerintah SG 'bukan setakat lakukan perkara mudah', seringkali libatkan keputusan sukar: PM Lee

Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata memerintah Singapura "bukan sahaja tentang melakukan perkara yang mudah" dan ia seringkali melibatkan perlu membuat pilihan  yang sukar.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 06 Nov 2022 02:30PM Dikemas Kini : 06 Nov 2022 10:17PM

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata memerintah Singapura "bukan sahaja tentang melakukan perkara yang mudah" dan ia seringkali melibatkan perlu membuat pilihan  yang sukar.

Begitu juga tanggungjawab  pembangkang yang harus dipertanggungjawabkan atas apa yang dicadangkan dan bantah dan "tidak boleh berdiam diri dan menghilangi" apabila timbul isu-isu sukar, kata Encik Lee semasa berucap di persidangan Parti Tindakan Rakyat (PAP), pada Ahad (6 Nov).

Sama ada untuk memutuskan bagaimana untuk memastikan jagaan kesihatan terus dalam kemampuan penduduk yang semakin menua atau mengurangkan tawaran perkhidmatan yang kurang digunakan, Pemerintah perlu "katakan 'ya' atau 'belum lagi' walaupun kepada permohonan yang munasabah" disebabkan kurangnya sumber.

"Ia adalah tugas Pemerintah untuk membuat pilihan yang sukar ini, bukan sahaja secara berhemah tetapi juga secara peka," kata Encik Lee, yang merupakan setiausaha agung parti tersebut. "Dan pihak pembangkang yang bertanggungjawab harus dipertanggungjawabkan atas apa yang ia cadangkan dan bantah."

Beliau menarik perhatian bahawa pihak pembangkang kadangkala "berdiam diri" apabila isu-isu sukar timbul seperti keputusan untuk memansuhkan Seksyen 377A Kanun Keseksaan.

Encik Lee berkata Pemerintah perlu menilai masalah, mempertimbangkan hujahan yang diberikan dan menentukan apakah cara betul ke hadapan di tengah-tengah pelbagai pandangan berbeza yang lantang diutarakan penduduk Singapura.

Beliau menambah bahawa beberapa menteri meluangkan masa berminggu dan berbulan-bulan untuk bertemu dengan pihak yang mempunyai pandangan berbeza.

"Mereka mendengar dengan teliti; mereka menjelaskan dengan penuh kesabaran; mereka meminta setiap pihak untuk menerima bahawa untuk isu sedemikian, semua orang perlu bertolak ansur... Jadi, di mana pembangkang ketika perbincangan Seksyen 377A?

"Adakah mereka mengkritik  pendekatan Pemerintah? Adakah mereka menyokong atau menentang apa yang dilakukan Pemerintah? Adakah mereka menawarkan cadangan alternatif? Satu pun tidak."

Encik Lee berkata pihak pembangkang "menghilangkan diri" dengan enggan memberikan sebarang komen sejauh ini.

"Malah, mereka enggan katakan sama ada mereka mempunyai kedudukan parti atau sama ada mereka akan mengangkat 'whip' terhadap anggota parlimen apabila Parlimen mengundi untuk meminda ... Mereka tidak mahu mengguriskan sesiapa, justeru mereka tidak hadir tanpa kebenaran (AWOL)," katanya.

Encik Lee berkata lagi bahawa memerintah Singapura adalah "tugas serius" dan sama juga dengan menjadi pihak pembangkang, terutama sekali jika mereka ingin menang lebih banyak kerusi yang "tentunya bermakna mengambil alih Pemerintah".

"Anda tidak boleh berdiam diri dan menghilangkan diri ikut suka hati anda dan apabila pihak pembangkang lakukan sedemikian, ia menimbulkan tanda tanya tentang keupayaan mereka untuk memimpin Parlimen, apa lagi keupayaan mereka untuk memerintah."

Namun kebimbangan paling utama ialah anggota politik dan parti yang "menimbulkan rasa kebencian demi meraih kelebihan politik," kata Encik Lee.

"Mereka tanpa henti menyasarkan garis kelemahan - penduduk lawan warga asing, rakyat lawan PR, malah penduduk lama lawan penduduk baru. Kadangkala mereka menyentuh isu perkauman," katanya.

"Rakyat Singapura bukan naif, tetapi kami juga tidak kebal kepada retorik yang mengambil kesempatan atas emosi kami, terutama sekali pada masa-masa sukar dan orang ramai berasa bimbang dan tertekan."

"Tindakan tidak bertanggungjawab" sedemikian oleh pihak pembangkang tidak akan meningkatkan taraf hidup rakyat Singapura, katanya, sambil menambah bahawa PAP "tidak akan sama sekali memberi laluan kepada politik sedemikian yang memecahbelahkan negara."

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan