Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Memerangi pengganasan: Usaha asatizah, kaedah kaunseling terus berubah mengikut landskap

Golongan ustaz dan ustazah juga perlu ber-Tiktok. Tidak boleh 'syarah' panjang-panjang. Untuk membimbing anak muda daripada radikalisasi pula, ilmu agama sahaja jelas tidak mencukupi.

Anggaran Waktu Membaca:
Memerangi pengganasan: Usaha asatizah, kaedah kaunseling terus berubah mengikut landskap

(Gambar fail: Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG)/Facebook)

SINGAPURA: Golongan ustaz dan ustazah juga perlu ber-Tiktok. Tidak boleh 'syarah' panjang-panjang. Untuk membimbing anak muda daripada radikalisasi pula, ilmu agama sahaja jelas tidak mencukupi.

Para asatizah juga memerlukan ilmu psikologi anak-anak muda untuk menangkis naratif dan ideologi pengganasan daripada mereka.

Itulah antara renungan para asatizah Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) berhubung evolusi dan perubahan yang perlu mereka lakukan untuk terus menjalankan kaunseling dengan lebih efektif demi membendung kes-kes menjadi radikal secara sendiri.

Hakikatnya, operasi terhadap kumpulan pengganas tempatan iaitu Jemaah Islamiyah Singapura, sudah berlangsung selama 20 tahun sejak ia mula dilancarkan pada 8 Disember 2001. Namun usaha untuk memeranginya masih lagi berterusan.

(Gambar fail: Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG)/Facebook)

(Gambar-gambar fail: Kumpulan Pemulihan Keagamaan/Facebook)

Begitu peranan RRG yang menjadi antara benteng utama terhadap JI. Ia kini dianggotai hampir 50 asatizah dan masih lagi giat dan berterusan dalam usaha memberi bimbingan dan kaunseling kepada tahanan, bekas tahanan dan anak-anak muda yang menjadi radikal secara sendiri.

Kerja-kerja kaunseling kini bagaimanapun kian mencabar. Dari JI, kemudian muncul Al-Qaeda, ISIS dan individu-individu yang menjadi radikal sendiri... landskap pengganasan terus berubah-ubah sehingga ini memerlukan para asatizah RRG melalui suatu evolusi.

"Para pengikut JI dahulu mempelajari agama dalam satu kelas yang dihadiri secara fizikal. Mereka ada buku-buku, bahan-bahan dan nota-notanya. Tetapi pada hari ini kita melihat semua ini semua tidak ada.

"Ada yang menjadi radikal walaupun mereka tidak menghadiri kelas secara fizikal seperti JI," kata Naib Pengerusi RRG, Ustaz Dr Mohamed Ali yang juga merupakan seorang penolong profesor di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS).

"Jadi mereka menjadi radikal dengan membaca bahan-bahan dari Internet. Ini sebenarnya perubahan yang menuntut kita untuk merubah pendekatan kaunseling kami."

Para asatizah yang menyediakan khidmat kaunseling kepada para tahanan radikal misalnya, tambah Ustaz Dr Mohd Ali, perlu memahami ilmu psikologi anak-anak muda - bukan lagi sekadar ilmu agama.

"Dan juga memahami apakah naratif-naratif yang sebenarnya ada di dalam dunia Internet itu. Kalau asatizah tidak mempunyai kemahiran dan maklumat tentang isu-isu dan perkembangan ini, mereka tidak dapat membidas fahaman-fahaman yang salah," jelas Ustaz Dr Mohd Ali.

Berkongsi tentang satu perbezaan dari segi pendekatan yang diambil dalam kaunseling, Ustaz Dr Mohd Ali berkata, kaunseling sekarang tidak lagi sekadar disediakan buat para tahanan seperti 18 tahun lalu ketika RRG baru-baru ditubuhkan.

Kini, seluruh keluarga tahanan mendapat sokongan moral.

"Pada awal-awalnya, sewaktu JI, kita mendapati ramai di kalangan isteri-isteri tahanan juga keliru dengan fahaman suami-suami mereka. Di sini pentingnya kita mendekati keluarga tahanan, isteri dan anak-anak mereka, untuk bukan hanya memberikan fahaman agama, tetapi membantu mereka daripada segi kewangan, mendapatkan pekerjaan dan sebagainya," kata Ustaz Dr Mohd Ali lagi sambil menambah bahawa program sebegini sememangnya suatu pendekatan yang holistik.

WANITA BERPENDIDIKAN TINGGI SEKARANG MUDAH TERPEDAYA

Yang membimbangkan sekarang, golongan wanita muda berpendidikan tinggi juga mudah terpancing kandungan online, kongsi seorang lagi kaunselor RRG, Ustazah Kalthom Muhd Isa.

Di alam maya, terdapat kandungan yang antara lain kononnya mengajak seseorang wanita yang belum berkahwin itu "menuju ke jannah". Tapi malangnya, ia sekadar satu tipu muslihat yang cuma mahu mendorong wanita menjadi radikal.

"Bagi mereka yang saya bimbing, mereka di bawah umur awal 20-an tahun. Dan menjadi radikal sendiri sangat sangat merbahaya. Mereka boleh buat macam-macam melalui Internet - hantar duit dan sebagainya tanpa orang lain tahu," kata Ustazah Kalthom.

"Kalau kita melihat kepada sejarah, ada wanita yang letak bom seluruh badan pun. Kalau mereka menutup aurat, tidak ada orang nampak. Air yang tenang jangan disangka tidak ada buaya. Empati, simpati ini kena berjaga-jaga. Wanita itu mudah tersentuh... jadi dia mudah jadi mangsa."

Ini menegaskan hakikat betapa perlu dan pentingnya golongan asatizah masa kini mengubah cara-caranya mendidik masyarakat agar mereka dapat menilai kandungan yang boleh dijadikan rujukan.

(Gambar fail: Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG)/Facebook)

"Kita tidak boleh lagi seperti katak di bawah tempurung. Hanya ada di sesi ceramah. Kalau boleh Tiktok pun kadang perlu juga. Media-media sosial ini kita perlu mahirkan diri ataupun buat video-video ringkas kerana anak-anak muda sekarang tidak suka cerita panjang-panjang," tambah Ustazah Kalthom.

Kini bagi meluaskan usahanya menangani radikalisme, RRG sedang dalam proses meluaskan pusat kaunselingnya, selain meningkatkan kehadiran di internet demi lebih mendekati golongan muda. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan