Membiaya perjalanan bagi latihan pengganas akan diharamkan dalam pindaan undang-undang
Memberi atau mengumpul dana untuk membiaya perjalanan individu yang berhasrat menjalani latihan pengganasan akan diharamkan di bawah pindaan yang dicadangkan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada Isnin (1 Okt).

Gambar fail sebuah konflik di Iraq (Gambar: AFP)
SINGAPURA: Memberi atau mengumpul dana untuk membiaya perjalanan individu yang berhasrat menjalani latihan pengganasan akan diharamkan di bawah pindaan yang dicadangkan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada Isnin (1 Okt).
Ini meluaskan skop kegiatan yang diharamkan di bawah Akta Pengganasan (Sekatan Pembiayaan) (TSOFA) dan menyelaraskan undang-undang Singapura dengan tanggungjawab di bawah Resolusi 2178 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu - yang diperkenalkan pada 2014 demi menangani ancaman pengganas luar negara.
MHA juga mencadangkan supaya aktiviti berhubung pengubahan wang di bawah Akta Rasuah, Penyeludupan Dadah dan Jenayah Berat Lain (Perampasan Faedah) (CDSA), turut dijadikan satu kesalahan: Memperoleh atau menggunakan harta yang disyaki hasil jenayah dan tidak dapat diterangkan asalnya secara wajar.
Ini membolehkan golongan yang digelar 'keldai wang' dihukum kerana mengalihkan wang bagi sindiket tersusun.
MHA juga mahu menjadikan pengubahan wang haram di luar negara sebagai satu kesalahan. Bermakna, satu jenayah yang dilakukan di luar negara, yang setara dengan jenayah pengedaran dadah atau jenayah berat lain jika dilakukan di Singapura, akan dianggap sebagai dilakukan di negara luar itu.
Dalam pindaan sama yang dibentangkan di Parlimen, MHA mencadangkan supaya hukuman sedia ada ditambah. Antaranya, menaikkan denda daripada S$20,000 kepada S$250,000 dan tiga tahun penjara bagi individu yang gagal memfailkan Laporan Urus Niaga Mencurigakan (STR). Denda bagi kesalahan sama dilakukan oleh sebuah entiti dicadang supaya dinaikkan kepada S$500,000.
STR perlu difailkan apabila terdapat syak bahawa suatu harta itu ada kaitan dengan pengedaran dadah atau jenayah berat lain.
Hukuman bagi kesalahan membocorkan penyiasatan berhubung CDSA atau laporan STR juga mungkin ditambah daripada denda S$30,000 kepada denda S$250,000 dan penjara tiga tahun.
Kegagalan untuk mengisytiharkan perbuatan membawa masuk wang tunai lebih S$20,000 ke Singapura juga boleh membawa denda sehingga S$20,000 dan arahan Mahkamah untuk merampas wang melebihi S$20,000.
MHA juga mencadangkan agar denda S$1 juta bagi syarikat yang didapati bersalah membiaya pengganasan, dinaikkan kepada S$1 juta atau seganda daripada nilai harta atau khidmat yang terlibat dalam jenayah itu, bergantung kepada nilai mana yang lebih tinggi.
Pindaan terakhir yang dibentangkan adalah memperbaiki pengendalian jenayah rentas sempadan - dengan membenarkan Pejabat STR (STRO) untuk berkongsi maklumat dengan penguasa-penguasa lain yang menandatangani Piagam Egmont dan Dasar Perkongsian Maklumat.
Ia adalah suatu peraturan antarabangsa yang bertujuan meningkatkan kerja sama antara Unit-Unit Perisikan Kewangan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.