Membenarkan mana-mana pihak guna laluan air antarabangsa sebagai senjata 'langkah berbahaya': PM Wong
Perdana Menteri Lawrence Wong berucap semasa Sesi Panggilan Maya Kebebasan Navigasi di Selat Hormuz pada 17 April 2026. (Gambar: Kementerian Pembangunan Digital dan Penerangan)
Singapura "merasai perkara ini dengan mendalam" kerana ia terletak di sepanjang Selat Melaka dan Singapura, yang merupakan antara laluan maritim paling sibuk di dunia, katanya.
"Kita tidak mampu untuk mengikuti laluan ini. Jika kita berbuat demikian, kita akan berada dalam dunia yang lebih tidak teratur dan tidak stabil - dunia yang ditadbir oleh paksaan dan kekerasan dan bukannya peraturan," katanya.
Ia adalah kepentingan kolektif masyarakat antarabangsa untuk menegakkan hak dan kebebasan navigasi, dan memastikan laluan air penting kekal terbuka, selamat, dan boleh diakses oleh semua, katanya.
Encik Wong berucap dalam mesyuarat maya yang dihadiri sekitar 40 negara untuk membincangkan sokongan terhadap gencatan senjata di Timur Tengah, kerjasama keselamatan dan pembukaan semula dan pengamanan laluan perkapalan.
Dihoskan oleh Perancis dan Britain, mesyuarat itu bertujuan memberi isyarat kepada Amerika Syarikat bahawa negara-negara yang mengambio bahagian bersedia memainkan peranan untuk memulihkan kebebasan navigasi di Selat Hormuz sebaik sahaja keadaan mengizinkan, lapor Reuters.
Pejabat Perdana Menteri Britain menyatakan perancangan sedang dijalankan untuk kemungkinan usaha ketenteraan gabungan sebaik sahaja keadaan mengizinkan, sambil menambah bahawa misi antarabangsa itu akan bersifat "pertahanan semata-mata".
Sedang mesyuarat tersebut berlangsung, Iran menyatakan Selat Hormuz "akan dibuka semula sepenuhnya" menyusuli gencatan senjata antara Lubnan dengan Israel, manakala Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata kepungan tentera laut Amerika akan kekal "berkuat kuasa sepenuhnya" sehingga satu perjanjian dicapai untuk menamatkan peperangan.
Selama berminggu-minggu setelah perang Timur Tengah meletus pada lewat Februari, Selat Hormuz sebahagian besar ditutup kepada kapal-kapal lain, menganggu bekalan tenaga dan menyebabkan harga melonjak.
Pada 2025, kira-kira 20 juta tong minyak mentah dan produk miniyak melalui selat itu setiap hari, menjadikannya laluan tenaga yang kritikal.
Iran membuka semula selat itu buat sementara waktu selepas bersetuju dengan gencatan senjata dua minggu dengan Amerika Syarikat.
Namun apabila rundingan damai gagal, Amerika Syarikat mengenakan kepungan tentera ke atas pelabuhan-pelabuhan Iran.
MEMASTIKAN LALUAN LAUT PENTING KEKAL TERBUKA
Encik Wong berkata Singapura sedia maklum bahawa gencatan senjata sedia adalah rapuh dan menggesa semua pihak supaya berusaha ke arah penyelesaian yang tahan lama dan berkekalan.
Beliau berkata konflik itu tidak boleh dianggap benar-benar berakhir jika laluan perkapalan yang sempit itu masih ditutup atau tertakluk kepada kawalan sewenang-wenangnya.
"Pemulihan laluan yang selamat, boleh diramal dan tanpa halangan melalui Selat Hormuz harus seiring dengan usaha untuk menamatkan peperangan," katanya, sambil menambah bahawa hak laluan transit, seperti yang termaktub dalam Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) adalah penting.
Beliau menyeru masyarakat antarabangsa supaya menyokong industri perkapalan dan memastikan keselamatan semua pelaut.
"Singapura bersedia untuk memainkan peranan kami dan bekerjasama dengan rakan kongsi bagi memulihkan Selat Hormuz yang bebas dan terbuka, mengikut undang-undang antarabangsa.
"Ini bermakna tiada tol, tiada sekatan dan kembali kepada keadaan sebelum perang," katanya.
Encik Wong berkata Singapura secara konsisten menyokong usaha untuk memastikan laluan laut penting kekal terbuka.
Singapura berucap di perbahasan Majlis Perhimpunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis (16 Apr) bagi pihak negara-negara yang memainkan peranan pengasas dalam UNCLOS, dan merupakan salah satu penaja awal Resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menuntut Iran menghentikan ancaman, provokasi dan tindakannya yang bertujuan mengganggu perdagangan maritim.
Singapura juga menyokong pengisytiharan pada bulan lalu di Majlis Pertubuhan Maritim Antarabangsa yang menegaskan semula kebebasan navigasi di bawah undang-undang antarabangsa dan mengesahkan prinsip-prinsip itu bersama menteri-menteri luar dari Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).
Dari segi kesan ekonomi, Encik Wong berkata Singapura bersetuju bahawa negara-negara tidak seharusnya mengenakan sebarang sekatan yang tidak perlu terhadap aliran perdagangan, tenaga dan bekalan penting.
"Sebagai hab perdagangan global dan pusat penapisan minyak utama, ini adalah pendirian Singapura - ia jelas dan tegas. Kami terus menyokong perdagangan bebas dan terbuka," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.