Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Membaca @ Taman Siber pupuk rasa cinta membaca, daya bingkas dalam kanak-kanak

Yayasan Mendaki menganjurkan acara Membaca @ Taman Siber atau 'Reading @ Cyber Garden' sempena Bulan Raikan Ilmu pada pagi Sabtu (10 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Yayasan Mendaki menganjurkan acara Membaca @ Taman Siber atau 'Reading @ Cyber Garden' sempena Bulan Raikan Ilmu pada pagi Sabtu (10 Okt).

Bertemakan 'Daya Ketahanan: Kisah-Kisah Alam', acara itu buat pertama kalinya diadakan secara online kerana pandemik COVID-19.

Meskipun begitu, ia tidak mematahkan semangat mereka yang menghadiri acara itu untuk terus membaca di manapun mereka berada.

Acara kelolaan Mendaki selama satu jam sempena Bulan Raikan ilmu itu mengajak masyarakat untuk menanamkan minat membaca dalam keluarga, terutamanya golongan muda dan kanak-kanak.

MEMBACA BOLEH DILAKUKAN DI MANA-MANA SAHAJA

Acara Membaca di Taman Siber itu turut dihadiri oleh Menteri Negara Pembangunan Negara Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Beliau melahirkan harapan acara sebegitu dapat memberi inspirasi kepada semua keluarga untuk membaca dan belajar bersama di samping mencipta kenangan-kenangan indah bersama.

Beliau mengakui bahawa pandemik COVID-19 amat mencabar bagi semua orang. Namun beliau gembira warga Singapura dapat menyesuaikan diri dengan pantas kepada pandemik COVID-19.

Beliau yang juga Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merujuk kepada tempoh pemutus rantaian jangkitan apabila ramai ibu bapa turut memainkan peranan sebagai guru untuk menyokong pembelajaran anak mereka di rumah.

Keadaan sebegitu, kata Dr Faishal, boleh dikaitkan dengan tema acara Membaca @ Taman Siber iaitu Daya Ketahanan: Kisah-Kisah Alam.

Beliau berkata: “Apabila kita melihat alam semula jadi, atau membaca buku yang berkaitan dengan alam, kita dapat melihat banyak contoh daya ketahanan yang dapat kita pelajari dan berkongsi dengan anak-anak kita. Misalnya, kita dapat melihat bagaimana sebilangan tanaman dapat bertahan walaupun bertumbuh di persekitaran yang payah.”

“Sama seperti apa yang telah kami lakukan untuk menyesuaikan diri kepada kesan pandemik COVID-19 untuk terus belajar, dan mengadakan acara ini, secara online,” tambahnya lagi.

Dr Faishal turut menyeru kepada ibu bapa untuk terus meluangkan masa bersama anak-anak mereka agar mereka dapat mencapai kejayaan yang lebih menyerlah.

“Daya ketahanan adalah salah satu nilai yang dapat kita pupuk dalam diri anak-anak kita. Membaca juga merupakan salah satu cara paling mudah untuk ibu bapa dapat terlibat secara aktif dalam kehidupan anak-anak kita. Apabila kita sebagai ibu bapa meluangkan masa, anak-anak kita dapat mencapai lebih banyak tanpa mengira status, latar belakang bangsa atau kaum."

SAJIAN KEGIATAN YANG MENARIK

Dari jam 10.00 pagi, para peserta acara itu dapat menikmati sesi-sesi penceritaan oleh pencerita tempatan Jumaini Ariff atau lebih dikenali sebagai Nek Selampit.

Para ibu bapa juga mendapat maklumat tentang cara memilih dan meminjam buka dari perpustakaan selain meraih panduan berguna untuk meluangkan masa bersama anak-anak untuk membaca.

Selain itu, acara itu yang dihoskan oleh personaliti Abang J, turut ‘menjenguk’ keluarga-keluarga yang sedang membaca di dalam rumah mahupun di Taman di Persisiran.

(Gambar: MENDAKI)

Pelbagai kegiatan lain bakal disajikan sepanjang Bulan Raikan Ilmu, bertujuan memupuk budaya ilmu dalam masyarakat Melayu.

Bulan Raikan Ilmu akan berlangsung sepanjang bulan Oktober. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan