Melepasi imigresen kurang 1 minit: Pengalaman guna kod QR di pusat pemeriksaan ICA
Bagi seseorang yang belum pernah memandu ke seberang tambak, anda mungkin menyangka saya akan memastikan pengalaman pertama saya memandu ke Johor Bahru akan bebas daripada sebarang tekanan sebaik mungkin.

(Gambar: ICA)
Sebaliknya, saya memilih untuk memandu ke Johor Bahru pada Selasa (19 Mac) - iaitu hari pertama Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) melancarkan sistem pelepasan imigresen menggunakan kod QR - semasa waktu sibuk sebelah petang. Ia juga hujan ketika itu.
Dengan inisiatif kod QR tersebut, para pelawat yang melakukan perjalanan keluar masuk dari Singapura dengan menaiki kereta di kedua-dua pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas tidak lagi perlu menyerahkan pasport mereka untuk pelepasan imigresen.
Sungguhpun demikian, pasport masih diperlukan untuk melepasi pusat pemeriksaan di Malaysia.
Para pelawat kini boleh menyimpan butiran pasport mereka dalam aplikasi MyICA untuk memperolehi kod QR.
Mereka boleh mengimbas kod QR tersebut sebaik tiba di kaunter imigresen.
Namun pada pendapat saya, ujian sebenar keberkesanan inisiatif itu adalah bagaimana ia beroperasi pada waktu sibuk - seperti pada sebelah petang dari Singapura ke JB atau pada sebelah pagi dari JB ke Singapura pada hari-hari biasa.
Lantaran itu, pada pukul 5.20 petang Selasa, saya menyertai barisan beratur di Pusat Pemeriksaan Woodlands bersama dengan ribuan pemandu lain yang pulang ke JB selepas sehari suntuk bekerja di Singapura, sedang saya berasa
semakin gelisah jika sesuatu akan berlaku ketika saya memandu ke kaunter imigresen.
Mungkin kod QR saya akan ditolak. Mungkin pegawai ICA akan memutuskan saya bukan individu yang terpapar dalam pasport saya.
Mungkin saya akan memandu ke laluan trafik yang menghala ke arah saya.
Mujur, satu-satunya perkara yang salah adalah andaian saya sahaja.
MELEPASI PUSAT PEMERIKSAAN SINGAPURA
Untuk membuat perjalankan saya kurang membosankan, saya pergi ke JB bersama rakan sekerja saya Raydza Rahman, yang kerap memandu ke JB. Beliau akan dapat memberitahu perbezaan masa yang perlu dilalui untuk pelepasan imigresen menggunakan kod QR.
Memandangkan penumpang dalam kenderaan yang sama boleh berkongsi kod QR dengan menyimpan butiran pasport mereka pada aplikasi MyICA, kami berdua telah memasukkan butiran kami ke dalam aplikasi Raydza sebelum kami memulakan perjalanan.
Apabila kami tiba di kaunter imigresen, Raydza meletakkan telefon bimbitnya di hadapan pengimbas QR dari tempat duduk penumpang.
Kami mengambil masa selama 55 saat untuk melepasi imigresen.
Ini termasuk tempoh masa pegawai ICA mengenal pasti identiti kami.
Malah, ia juga adalah masa purata bagi kereta-kereta lain melepasi imigresen.
Di kaunter Malaysia pula, kami mengambil masa kurang daripada itu untuk melepasi imigresen.
Sungguhpun demikian, kami hanya berdua sahaja. Saya bayangkan kenderaan dengan lebih ramai penumpang mungkin dapat menjimatkan lebih banyak masa daripada perlu menyerahkan pasport fizikal mereka - dan menunggu sehingga semua orang disahkan - di pusat pemeriksaan kedua-dua negara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.