Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Melayu bertunjangkan Adat, Adat berlandaskan Islam

Berbeza berbanding tarian-tarian sejenisnya di rantau ini, gerak lemah gemalai tarian Zapin Pulau Penyengat sebenarnya lebih pantas dan bertenaga, bahkan penekanan terhadap setiap gaya dan langkahnya juga lebih menyerlah.

Anggaran Waktu Membaca:
Melayu bertunjangkan Adat, Adat berlandaskan Islam

Al-Quran tulisan tangan yang dipamerkan di Masjid Sultan Riau di Pulau Penyengat. (Gambar-gambar: Razi Salam)

BERITAmediacorp: Berbeza berbanding tarian-tarian sejenisnya di rantau ini, gerak lemah gemalai tarian Zapin Pulau Penyengat sebenarnya lebih pantas dan bertenaga, bahkan penekanan terhadap setiap gaya dan langkahnya juga lebih menyerlah.

Para penari Zapin Penyengat berlatarbelakangkan waktu senja. 

Namun, unsur-unsur kemelayuan yang menjadi tunjang seni tersebut sebenarnya menyatukannya dengan tarian-tarian lain di Nusantara.

Demikian dikongsi oleh penggiat budaya, Cik Melyana Angriani ketika ditemui BERITAmediacorp di pusat latihan Sanggar Lembayu di Tanjung Pinang.

“Sebenarnya negara kita, baik Singapura, Malaysia mahupun Indonesia adalah satu rumpun. Jadi mengenai kesenian budaya Melayu dari segi ragam, gerak, langkah kaki, banyak persamaannya.

“Mungkin perbezaannya hanya dari segi daerah, memiliki pembukaan langkah kaki berbeza. Ada yang tangannya dinaikkan ke atas, ada yang tidak. Tetapi semuanya memiliki persamaan - kita berpegang kepada budaya seni Melayu yang penuh sopan santun dan budi pekerti dengan senyuman dan ramah-tamah,” kata ketua kumpulan tersebut.

Malah, persamaan itu diperkukuhkan lagi dengan sesi-sesi pertemuan antara kumpulan tarian tempatan dengan para penari dari Singapura.
“Saya selalu mengundang orang-orang Singapura untuk datang ke Tanjung Pinang, terutama mereka daripada kelompok penggiat seni.

Malah, para penari Singapura mendapat sambutan yang luar biasa oleh masyarakat kami apabila mereka membuat persembahan di sini,” kongsi Pengarah Pelancongan Tanjung Pinang Syafaruddin Adun Taha.

Selain seni persembahan, Encik Syafaruddin juga giat menulis.

Menurut beliau, rakan-rakan artis dan kumpulan seni seperti Sriwana sering berkunjung ke Bunda Tanah Melayu itu untuk bertukar-tukar ilmu, di samping mengeratkan silaturrahim sesama jiran.

MELAYU BERTUNJANGKAN ADAT

Dalam pada itu, Encik Syafaruddin yang juga seorang budayawan mapan di Tanjung Pinang menekankan peri pentingnya peranan adat dalam tarian Melayu.

“Kita harus berpegang teguh kepada adat Melayu yang mempunyai nilai kesopanan, agar kita Melayu masih lagi mempertahankannya.
“Ia (adat) sebahagian daripada kehidupan ini. Jika ada dalam masyarakat yang melanggar adat, beliau mesti ada rasa sangsi. Paling tidak, beliau mesti ditegur, tidak dilayan oleh masyarakat sebab orang ini sudah melanggar adat,” tegas Encik Syafaruddin.

Hal yang sama turut dititikberatkan oleh masyarakat Tanjung Pinang, terutamanya kerana adat Melayu masih jelas kelihatan dalam kehidupan seharian mereka, kata penduduk Pulau Penyengat, Raja Malik Hafrizal pula.

Raja Malik keturunan kaum Bugis di Pulau Penyengat. 

“Kami di sini, di kepulauan Riau ini berhubungan berhari-hari dengan masyarakat biasa-biasa saja. Masyarakat yang sangat peduli dengan warisan. Masyarakat yang kalau berjumpa, bertegur sapa di jalan.

“Masyarakat yang ketika kenduri, kita dijemput untuk datang ke rumah orang itu. Dan ketika ada kematian, kita datang beramai-ramai, kita ziarah, kita takziah dan kita menghantar jenazah sampai ke situ. Dan kalau ada acara-acara nikah kahwin, kita luar biasa bergotong-royong untuk membantu supaya lebih berhasil seperti itu. Jadi, itulah perkara-perkara seperti itu lebih dipelihara di sini, di kepulauan Riau, terutama di Pulau Penyengat,” ujar beliau yang giat mengkaji sejarah tanah tumpah darahnya itu selaku Pengelola Yayasan Kebudayaan Indera Sakti Pulau Penyengat.

Manuskrip cetakan Singapura yang disimpan. 

ADAT BERLANDASKAN ISLAM

Berkongsi tentang topik tersebut, Profesor Vivienne Wee, seorang ahli akademik yang sudah berpuluh-puluh tahun membuat kajian di Pulau Penyengat, akur bahawa adat resam disanjung tinggi oleh para penduduknya. 

Gerbang Masjid Sultan Riau di Pulau Penyengat. 

“Pulau Penyengat pernah menjadi pusat kerajaan Riau-Lingga pada awal abad ke-19. Jadi apabila sesuatu kawasan digelar pusat kerajaan, ia juga pusat adat dijunjung. “Kata orang, Melayu bersendikan Adat, Adat bersendikan kitab Allah,” kata beliau.

Sememangnya, orang Melayu berkait rapat dengan Islam, menurut seorang lagi penduduk Pulau Penyengat, Tengku Fuad Muhd Yusuf yang juga adalah anggota jawatankuasa Masjid Sultan di pulau tersebut. “Melayu ini dia seperti mata hitam dan mata putih. Dia tidak boleh jauh dipisahkan dengan keislaman. Melayu ini kami mentafsirkan Melayu itu patuh, tunduk, takluk hanya kepada yang satu. Melayu hanya kepada Allah, tidak melayu kepada yang lain. Itu erti Melayu sebenarnya yang kita dapati seperti itu,” kata beliau.

Tengku Fuad Muhd Yusuf anggota Jawatankuasa Masjid Sultan Riau.

Tambahnya: “Ini filosofi Melayu. Mim itu Muhammad, Lam itu Lailahaillallah, Ya itu dunia, Wau itu warak. Sehingga Mim itu dibentuk dalam perahu itu haluan, Lam itu layarnya. Ya itu dunia, badan daripada perahu itu. Kemudian Wau itu warak, menjadi kemudi. Jadi harus, kemudi itu mengarahkan perahu menentukan itu, harus warak. Orang-orang warak yang membawa perahu itu, itu lambang Melayu.”

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan