Melakar Hala Tuju S'pura: Rakyat dipelawa kongsi pandangan tentang pendidikan, pembelajaran sepanjang hayat
Menteri Pendidikan Chan Chun Sing melancarkan laman mikro 'Forward Singapore Equip' pada Isnin (5 Sep), dengan beliau turut menggalak rakyat Singapura supaya memberikan maklum balas mereka.

Menteri Pendidikan Chan Chun Sing (berdiri) bercakap kepada para penuntut Politeknik Republik pada 5 Septmber 2022. (Gambar: CNA)
Menteri Pendidikan Chan Chun Sing melancarkan laman mikro 'Forward Singapore Equip' pada Isnin (5 Sep), dengan beliau turut menggalak rakyat Singapura supaya memberikan maklum balas mereka.
"Kami tidak mahu ia menjadi satu agenda di mana kami memberitahu setiap orang apa yang akan kami lakukan dan ia setakat berhenti di situ saja," kata Encik Chan ketika menyampaikan ucapan penutupnya selepas sesi pendampingan bersama 74 pelajar Politeknik Republik (RP) pada petang Isnin.
Sesi pendampingan di bawah tunggak 'Equip' itu akan menumpukan perhatian kepada usaha mencapai kata sepakat dan memupuk tanggungjawab bersama tentang bagaimana untuk melengkapkan setiap rakyat Singapura dengan peluang untuk "berkembang maju, meningkatkan diri dan merealisasikan aspirasi mereka", tanpa mengira titik permulaan kehidupan mereka, menurut Kementerian Pendidikan (MOE) dalam kenyataan media berasingan.
Encik Chan, Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Tenaga Manusia Zaqy Mohamad dan Menteri Negara Kanan Perhubungan dan Penerangan merangkap Pembangunan Negara Tan Kiat How akan menerajui tunggak 'Equip' dalam inisiatif Melakar Hala Tuju Singapura.
Sesi pendampingan itu akan tertumpu kepada lima bidang utama: Asas kukuh bagi setiap kanak-kanak, model pembelajaran yang rencam bagi pelbagai keupayaan, pelbagai laluan kejayaan, menghulurkan jagaan untuk pelajar dengan keperluan pendidikan khas dan perkembangan sepanjang hayat untuk setiap individu, menurut MOE.
Sesi tersebut akan diakhiri dengan sesi pendampingan kumpulan besar pada pertengahan November, dengan pelbagai pihak berkepentingan menghimpunkan dapatan masing-masing.
Encik Chan, Encik Zaqy dan Encik Tan, di samping Menteri Negara Pendidikan merangkap Tenaga Manusia Gan Siow Huang, pada Isnin membincangkan dengan para pelajar tentang apa yang diharapkan mereka dalam landskap pendidikan serta pembelajaran sepanjang hayat di Singapura.
Tunggak 'Equip' bertujuan untuk mengukuhkan kata sepakat dan mendengarkan aspirasi anak muda Singapura, kata Encik Zaqy kepada para wartawan berikutan sesi tersebut.
"Apakah perspektif mereka berhubung bagaimana Pemerintah meneliti dasar-dasar yang menjejas mereka. Pada masa yang sama, apakah perubahan yang ingin mereka saksikan pada hari muka serta bagaimana keadaan boleh berkembang dan berubah," tambah beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.