Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Melakar Hala Tuju S'pura: Rakyat digesa cari titik persamaan demi tangani cabaran mendesak

Objektif inisiatif Melakar Hala Tuju Singapura bukan sekadar untuk mendengar aspirasi dan juga cabaran-cabaran yang dihadapi warga Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAMediacorp: Objektif inisiatif Melakar Hala Tuju Singapura bukan sekadar untuk mendengar aspirasi dan juga cabaran-cabaran yang dihadapi warga Singapura.

Ia memberi peluang kepada Pemerintah untuk memberi huraian ataupun penyelesaian bagi isu dan cabaran seperti bagaimana untuk menggalakkan lebih ramai pekerja untuk menajamkan kemahiran mereka dan meraih peluang-peluang ekonomi masa depan.

Demikian menurut Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia, Zaqy Mohamad dalam satu wawancara bersama BERITAmediacorp semalam (14 Sep) tentang Gerakan Melakar Hala Tuju Singapura atau 'Forward Singapore'

Inisiatif itu merangkumi enam tunggak kritikal untuk menyuntik kesegaran dalam kompak sosial Singapura.

Enam teras tersebut termasuk ekonomi, pendidikan, kesihatan, perumahan, persekitaran serta identiti Singapura.

Usaha selama setahun itu diterajui barisan kepimpinan 4G yang akan mengkaji semula kompak sosial negara dan menetapkan hala tuju Singapura untuk dekad-dekad akan datang.

Encik Zaqy adalah anggota kumpulan yang menerajui tunggak ‘Equip’ atau ‘Melengkapi' dan juga tunggak ‘Empower’ atau ‘Memperkasa'.

“Ada yang bertanya mungkin mengapa kita melakukan sesi “Forward Singapore” ini walaupun kita mempunyai cabaran inflasi, kos kehidupan dan sebagainya. Tetapi saya rasa ini memang isu-isu yang pemerintah sedang menangani dan akan membantu rakyat Singapura.

"Kita mempunyai peluang untuk melihat ke hadapan dan melakar strategi untuk negara kita, untuk ekonomi kita supaya lebih kukuh dan membawa pekerja-pekerja bersama melalui program-program melalui kedua-dua tunggak tersebut,” jelas Encik Zaqy.

Menurutnya terdapat tiga matlamat yang mahu dicapai melalui inisiatif tersebut.

“Pertama sekali, mendapatkan peluang. Bagaimana kita dapat menolong pekerja kita dan juga rakyat Singapura mencapai aspirasi mereka dalam pekerjaan. Yang kedua, kita mahu pekerja kita rasa terjamin dalam pekerjaan mereka dan juga dalam hala tuju mereka terutama sekali dalam dunia yang semakin tidak menentu. Kita melihat keadaan ekonomi yang sedang beralih dengan teknologi dengan geopolitik dan juga isu-isu iklim. Ketiga, kita juga memupuk perpaduan dan penyatuan dalam dunia yang semakin berbelah bagi,” kata beliau, yang juga Menteri Negara Kanan Pertahanan.

Maka itu, menurut Encik Zaqy, rakyat tempatan harus mencari titik persamaan yang dikongsi demi menangani beberapa cabaran mendesak di dunia.

CIPTA PELUANG BERMANFAAT UNTUK SEMUA

Menjawab soalan tentang bagaimana Singapura boleh bangkit sebagai sebuah negara selepas pandemik, beliau berkata sebagai sebuah ekonomi yang kecil dan kota yang bertaraf global, negara ini mesti kekal terbuka dan terhubung dengan dunia untuk terus bertahan dan maju ke hadapan.

Ini boleh dilakukan dengan mencipta peluang yang bermanfaat bagi Singapura dan juga bagi semua lapisan masyarakat.

Walau bagaimanapun, ini memerlukan kerjasama di pihak individu, majikan, kesatuan dan juga perikatan tiga pihak.

"Seorang individu misalnya harus menyedari bahawa setiap orang memiliki kemahiran dan minat yang berlainan. Juga terdapat berbilang laluan untuk berjaya. Pada masa sama, kita juga mahu melihat individu itu menyumbang kembali kepada masyarakat di mana mereka dapat meningkatkan kehidupan kumpulan yang bagi mereka yang kurang bernasib baik.

"Dan bagi pihak pekerja adalah sangat penting juga di mana dia dapat mendakap pembelajaran sepanjang hayat oleh kerana ini amat penting dalam sektor yang berkembang dan juga hala tuju ekonomi hari ini.

"Kita harus sentiasa berusaha secara proaktif untuk meningkatkan kemahiran kita dan jika boleh kita harus menguruskan perjalanan kerjaya kerana kita juga harus melihat akan hala tuju industri dan peralihan ekonomi," beliau memberitahu BERITAmediacorp.

Menurut Encik Zaqy, pihak kesatuan sekerja pula membantu dari segi "mind share" iaitu membawa perspektif yang baru kepada pekerja kita mengenai keadaan baru dan bagaimana mereka harus sesuaikan diri dan kekal relevan.

"Bagi (perikatan) tiga pihak pula, kita akan melihat bagaimana ia dapat memberi perlindungan lebih baik dan sokongan yang lebih kukuh terutama sekali bagi kumpulan yang mudah terjejas. Oleh kerana kita membuka ekonomi kita, kita membuka kepada bakat asing, kita harus pertingkatkan lagi sokongan dari segi perlindungan supaya kita memberi pekerja kita keyakinan dan rasa terjamin," jelasnya.

MEMBANGUNKAN BAKAT TEMPATAN

Encik Zaqy juga menyentuh tentang daya usaha untuk menarik dan mengekalkan bakat asing dalam sektor yang mempunyai potensi baik.

"Kita perlu melihat bagaimana industri kita harus berkembang dan bagaimana untuk membawa masuk kemahiran atau bakat-bakat asing yang boleh membantu kita. Ada di sini dalam sektor-sektor yang memerlukan kemahiran yang tertentu atau yang boleh menjana pekerjaan atau membawa pelaburan ke Singapura. Saya rasa ini amat penting," ujar beliau

Namun beliau menekan perlunya untuk mencungkil bakat tempatan yang dapat mengisi jawatan-jawatan yang lebih tinggi.

"Bagi saya juga amat penting untuk kita juga dapat bersaing dengan bakat-bakat global dan juga bakat-bakat asing. Di sini saya rasa melalui inisiatif ini dan program-program kami ini dapat membantu lebih ramai rakyat Singapura untuk meraih manfaat daripada industri yang berkembang.

"Pada masa yang sama ini juga, membina bakat di Singapura supaya kita dapat memberi majikan-majikan syarikat pilihan dalam bakat yang boleh diraih di Singapura," kata beliau.

BUKAN SETAKAT MENDENGAR TAPI USAHA CARI HURAIAN

Encik Zaqy berkata inisiatif 'Melakar Hala Tuju Singapura' bukan sekadar untuk mendengar dan mengumpul maklum balas dari rakyat tetapi mencari huraian kepada isu dan cabaran yang dihadapi sekarang in.

Sumbangan mereka akan menjadi sebahagian daripada pelan ‘Melakar Hala Tuju Singapura’ yang akan dikeluarkan pada pertengahan tahun depan.

Ia akan membantu dari segi cadangan melakar dasar dan bagaimana pelbagai segmen masyarakat boleh menyumbang kepada matlamat bersama negara, berdasarkan nilai rakyat yang bersatu padu serta masyarakat yang adil dan saksama.

"Kita akan mendapatkan pandangan daripada rakyat, pandangan daripada pekerja, majikan dan melihat adakah kita harus melakar dasar-dasar baru, terutama sekali untuk menyokong pekerja kita atau majikan kita untuk memberi lebih banyak peluang untuk meningkatkan kemahiran misalnya.

"Adakah kita memerlukan skim-skim baru, kita perlukan kursus baru ataupun laluan pembelajaran yang baru ataupun juga mungkin bukan saja dasar baru. Misalnya, jika anda mahu bekerja sambil mengikuti kursus separuh masa untuk pertingkatkan kemahiran. Bagaimana kita sebagai Pemerintah dapat menyokong anda untuk menjalankan transformasi ini," rumus Encik Zaqy.

Laman mikro 'Forward Singapore Equip' yang sudahpun dilancarkan pada 5 September menggalak rakyat Singapura berkongsi harapan, aspirasi dan janji mereka untuk menyumbang kepada usaha pendidikan dan pembelajaran sepanjang hayat di Singapura.

Tunggak 'Empower' akan dilancarkan dengan dialog bersama dengan peserta Perikatan Bagi Tindakan Pekerja Bergaji Rendah pada 24 September ini.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan