Melakar Hala Tuju S'pura: MSE akan dampingi setiap lapisan masyarakat dalam usaha atasi perubahan iklim
SINGAPURA: Demi mencapai masa depan yang lebih mesra alam, tolak ansur dan kompromi diperlukan.
Semua pihak termasuk pemerintah, perniagaan dan individu perlu memutuskan bagaimana beban melaksanakannya perlu dikongsi.
Demikian menurut Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu, sebagai sebahagian daripada perbincangan Melakar Hala Tuju Singapura.
Dalam satu wawancara bersama Mediacorp, Cik Fu berkata Singapura kini memasuki zaman yang sangat mencabar, iaitu fasa yang juga membawa perubahan asas dan kesan jangka panjang terhadap masa depan negara.
Tambah Cik Fu, selain isu geopolitik dan dunia pasca-COVID, cabaran besar perubahan iklim juga perlu ditangani.
Perubahan iklim, contohnya, memberi kesan terhadap soal bekalan tenaga, jaminan makanan dan juga jaminan bekalan air.
"Jadi bagaimana kita, generasi rakyat Singapura sekarang, mengemudi soal sekitaran menuju masa depan, supaya kita boleh mengadakan masa depan yang lebih mesra alam dan lebih baik bagi generasi akan datang?
"Jika kita tidak mengurangkan, tidak melakukan langkah meredakan yang diperlukan sekarang, mungkin kita akan meninggalkan banyak kesan perubahan," ujarnya lagi.
Lantaran itu, Cik Fu menekankan Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) akan mendampingi setiap lapisan masyarakat termasuk golongan muda.
Ini termasuklah mendidik mereka mengenai perubahan iklim menerusi sistem persekolahan.
"Kami akan mendidik tentang kemampanan dengan cara amat luas. Kami sedang meneroka satu kit pendidikan bagi sekolah-sekolah kita dan juga menyertakan topik kemampanan dan sains sekitaran di institut-institut pengajian tinggi (IHL), universiti dan politeknik. Dengan berbuat begini dengan cara yang sangat meluas, kami berharap generasi demi generasi pelajar yang melalui sistem itu akan memahami kesan kita terhadap iklim dan apa yang boleh kita lakukan," kata Cik Fu.
Bagiamanapun, Cik Fu menekankan bahawa ini sesuatu yang perlu diperjuangkan - bukan oleh golongan muda sahaja, tetapi oleh semua golongan.
"Semua orang perlu mengambil bahagian, bersetuju dengan proses yang harus diambil, sasaran untuk bergerak ke hadapan, dan rentak untuk melaksanakannya. Mudah-mudahan, kita mendapat lejangan yang diperlukan."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.