Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Melakar Hala Tuju S'pura: Komitmen iklim perlu kerjasama semua pihak

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Rakyat Singapura wajar memikirkan keadaan negara ini apabila ia diserahkan sebagai warisan kepada generasi akan datang.

Setiausaha Parlimen Kanan Undang-Undang merangkap Kesihatan Rahayu Mahzam membuat seruan itu dalam wawancara bersama BERITAmediacorp tentang tunggak 'Teraju', salah satu tumpuan Gerakan Melakar Hala Tuju Singapura atau Forward Singapore.

"Usaha melakarkan hala tuju Singapura melalui Forward Singapore adalah satu usaha yang penting kerana dalam keadaan sekarang ini kita lihat ada peperangan berlaku, ada pandemik yang kita hadapi, ada isu iklim yang kita lihat dan juga tentang inflasi, jadi keadaan hidup semakin tidak menentu dan mencabar untuk ramai dalam masyarakat kita," kata Cik Rahayu.

Keadaan dunia yang tidak menentu ini katanya menekankan pentingnya rakyat membuat renungan tentang bagaimana mereka bukan hanya bertahan tetapi juga berkembang.

"Kita perlu fikirkan sama ada kompak sosial kita, apa yang telah dipersetujui sebagai nilai-nilai sebagai satu masyarakat itu harus diubah. Apakah yang harus kita fikirkan bersama agar Singapura dapat terus maju," tambah Cik Rahayu.

ISU KEMAMPANAN LIBATKAN TUKAR GANTI

Beliau bagaimanapun akui usaha mencapai komitmen iklim negara melibatkan tukar ganti. Pada masa yang sama ia dapat diatasi dengan kerjasama semua pihak berkepentingan.

"Kita harus fikirkan bagaimana kita dapat capai jalan tengah, kita harus pastikan ada jalan yang terbaik untuk kita semua. Kita harus lihat bagaimana mungkin ada pengorbanan yang kita boleh lakukan sekarang. Misalnya dengan cukai karbon," kata Cik Rahayu.

Untuk mencapai matlamat iklim, Singapura akan menaikkan kadar cukai karbon.

Menjelang 2030 ia akan mencecah antara S$50 dengan S$80 bagi setiap tan pelepasan berbanding S$5 sekarang.

"Ini adalah sesuatu yang mungkin akan menjejas perniagaan dan peniaga-peniaga mungkin akan mengatakan ini tidak adil bagi mereka, ini sukar untuk mereka hadapi kerana lonjakannya mendadak sedikit. Jadi kita harus fikirkan bagaimana kita dapat bantu semua untuk terus lakukan ini. Di sini pemerintah harus fikirkan bagaimana kita boleh memainkan peranan untuk menyokong peniaga-peniaga melakukan perkara ini. Tapi peniaga juga perlu faham bahawa ini adalah sesuatu yang perlu dilakukan," jelas Cik Rahayu.

PENGLIBATAN BELIA DALAM KOMITMEN IKLIM

Dalam perbualan dengan anggota masyarakat, Cik Rahayu mengambil perhatian tentang tahap kesedaran tinggi mengenai isu perubahan iklim dalam kalangan anak-anak muda.

"Kita mahu mengajak mereka bersama dalam usaha ini untuk melihat bagaimana mereka dapat sama-sama menerajui dan memikirkan penyelesaian dalam hal ini dan membina masyarakat dan infrastruktur dengan memberi saranan bagaimana kita dapat gunakan inovasi, teknologi dan berusaha dengan dengan generasi-generasi lain," kata Cik Rahayu.

Dalam satu tinjauan dalaman yang dijalankan oleh Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) baru-baru ini, ia mendapati rakyat paling prihatin tentang bekalan makanan.

Ini diikuti paras air laut yang meningkat dan menjadikan Singapura negara sifar sisa.

Salah seorang belia yang aktif memperjuangkan isu kemampanan ini ialah pengasas bersama kumpulan eko Islam, Fitree, Cik Farah Sanwari.

Tiga tahun lalu, beliau menerima Anugerah EcoFriend atas usahanya memelihara alam sekitar.

Ini termasuk tindakan mengurangkan sisa barangan dan makanan.

"Oleh kerana belia bakal mewarisi dunia ini, saya dapati bahawa belia lebih peka dan lebih mengambil berat tentang isu perubahan iklim dan dampaknya kepada mereka dan mungkin anak mereka juga. Jadi dalam perbincangan mengenai perubahan iklim, saya dapati mereka lebih bersemangat untuk mencari penyelesaian dan jawapan untuk mengatasi perubahan iklim," kata Cik Farah.
Gambar: Farah Sanwari
Antara program yang dianjurkan kumpulan eko Islam beliau adalah 'Fitreeworks'. Mereka berganding dengan kumpulan pencinta alam sekitar lain untuk meneroka alam semula jadi.

Cik Farah percaya komitmen Singapura untuk mencapai iklim sifar bersih boleh dicapai jika semua pihak berkepentingan bekerjasama.

"Jadi pemerintah harus memberikan undang-undang yang bagus, industri juga harus mematuhi undang-undang tersebut dan masyarakat pula harus memberi tekanan yang lebih kepada industri dan juga pemerintah agar hidup lebih nyaman di Singapura," katanya.

Orang ramai boleh memberi ikrar negara hijau di laman Forward Singapore. Mereka juga dijemput menyertai perbincangan seperti skim pulangkan bekas air.

Ia adalah sebahagian daripada inisiatif penglibatan sepanjang bulan September dan Oktober di bawah tunggak 'Teraju' Melakar Hala Tuju Singapura.
Sumber : BERITA Mediacorp/EM/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan