Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Melakar Hala Tuju SG: Sokongan golongan bergaji rendah akan diselaraskan dengan lebih baik

Anggaran Waktu Membaca:
Program-program sokongan bagi golongan berpendapatan rendah wajar diperhalusi.

Ini memandangkan isu-isu yang mereka hadapi semakin rumit.

Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zulkifli berkata demikian dalam satu wawancara dengan BERITAmediacorp.

Beliau ditemui di luar sesi maklum balas gerakan Melakar Hala Tuju Singapura bagi mengukuhkan kompak sosial.di HomeTeamNS Khatib pada Khamis (20 Okt).

"Kalau mungkin 50 tahun yang lalu, cukup saja kita memberikan rumah untuk mereka berteduh, tetapi sekarang ini mereka memerlukan banyak lagi untuk menempuh perjalanan hidup di kota Singa ini. Umpamanya perlu mengakses telefon bimbit untuk mendapat maklumat untuk mendapat layanan yang lebih baik umpamanya. Termasuk juga mendapatkan bantuan daripada pemerintah seperti baucar CDC," kata Encik Masagos.

KEPERLUAN GOLONGAN BERPENDAPATAN RENDAH

Antara warga yang menerima bantuan pemerintah ialah Encik Hassan Abdul Majid yang usianya mencecah 101 tahun pada November ini.

Beliau tinggal seorang diri di flat sewa dua bilik.

Encik Hassan mempunyai dua anak namun mereka tidak dapat menyokongnya dari segi kewangan kerana sudah lanjut usia dan masing-masing menghadapi isu kesihatan.
(Gambar: Emillia Amin)
Untuk biaya seharian, Encik Hassan menerima bantuan jangka panjang ComCare sebanyak S$640 sebulan. Selain itu beliau juga menerima bayaran Skim Ihsan Senja berjumlah S$360 setiap tiga bulan.

"Saya tak ada apa-apa, saya sihat saja. Saya pergi hospital cuma dipanggil saya baru saya pergi. Saya pergi hospital ke doktor satu sen saya tak bayar kerana saya ada kad kebajikan. Baru dihantar ubat dan enam kotak susu," kata Encik Hassan

Umumnya keadaan kesihatan beliau baik kecuali tekanan darah tinggi yang terkawal.

Pendengaran dan penglihatan Encik Hassan bagaimanapun semakin berkurangan.

Dalam membantu golongan berpendapatan rendah sepertinya, sokongan di pelbagai tahap kehidupan mereka menjadi lebih genting.

Encik Masagos yang menerajui bersama tunggak 'Keprihatinan' agenda Melakar Hala Tuju Singapura, akui pendekatan berbeza diperlukan untuk memahami keperluan keluarga-keluarga berpendapatan rendah dengan lebih mendalam.

Ini kerana isu-isu yang dihadapi juga mungkin lebih rumit dan memerlukan perhatian berterusan.

"Kita perlu menyelaraskan program-program yang sedia ada. Kedua kita harus siap untuk menjalani perjalanan ini secara lebih lama dengan program tersebut. Ketiga kita juga perlu memahami keperluan dan kehendak para klien kita supaya bukan hasrat kita yang sampai untuk mereka memenuhi tapi hasrat mereka yang kita harus memahami dan mengatasi masalah-masalah yang mereka hadapi supaya sampai kepada matlamat yang mereka mahu bersama-sama," tambah Encik Masagos.

Ini antara usaha untuk mengukuhkan kompak sosial Singapura.

Sungguhpun Singapura sudah maju sebagai sebuah negara, beliau akui tentunya ada rakyat yang ketinggalan.

Isu-isu yang dihadapi sesebuah keluarga itu juga menurutnya pelbagai termasuk aspek kewangan, pendidikan dan pekerjaan.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/EM/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan