Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Melakar Hala Tuju SG: Bangunkan SG lebih baik dengan kompak sosial yang adil dan saksama - Dr Maliki

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Haikal Afiq, seorang siswa universiti, terpanggil untuk menyertai pertubuhan masyarakat Merpati Kaki setelah terbaca iklan bagi mendapatkan tenaga sukarelawan.

Pertubuhan itu membantu penduduk di Blok 12, 13 dan 14 di Merpati Road yang perlu berpindah menjelang akhir tahun ini bagi memberi laluan kepada pembangunan semula kawasan itu.

Kebanyakan penduduk flat sewa jenis dua bilik itu sudah menetap di situ sejak ia dibina pada tahun 1961.

"Sumbangan saya kepada Merpati Kaki adalah untuk melawat penduduk rumah sewa ini, berbual dengan mereka, berbincang dengan mereka tentang proses pemindahan mereka. Juga untuk kami dapat tahu cabaran-cabaran yang dihadapi atau ada apa-apa pertolongan yang boleh kami berikan untuk menolong mereka dalam proses pemindahan tersebut," kata mahasiswa tahun ketiga jurusan Sosiologi di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) itu.

Menurut Haikal, pemindahan tersebut bukan setakat menyediakan penduduk yang terjejas dengan tempat tinggal baru.

"Saya rasa mereka bimbang dengan proses tersebut. Proses bagaimana untuk memindahkan barang-barang mereka, tentang bil api air. Kebanyakan mereka bimbang dan merasa agak tertekan dengan proses tersebut sebab
mereka sudah lama duduk di sini," kongsi beliau.

Namun ini bukan kali pertama pemegang biasiswa Persatuan Rakyat (PA) tersebut terlibat dalam kerja-kerja kemasyarakatan.

Di sebalik tuntutan pengajian di universiti, beliau juga aktif menyumbang tenaga sebagai seorang mentor belia bersama MENDAKI.
Gambar: Haikal Afiq
"Saya rasa saya juga ada taruhan dalam masyarakat. Jadi sedikit sebanyak saya rasa kalau saya boleh tolong saya rela tolong. Saya juga rasa masyarakat kita kadang-kadang terlalu mementingkan diri sendiri dan kita tidak lagi berbual dengan jiran-jiran tetangga.

"Saya rasa kalau saya boleh menyumbang kembali atau mungkin mendorong hubungan antara jiran tetangga saya, walaupun sumbangannya kecil saya rasa kalau ia sedikit sebanyak dapat menolong mereka yang memerlukan, saya rasa saya rela untuk menolong," ujarnya lagi.

TUNGGAK MENYATUPADUKAN MELAKAR HALA TUJU SINGAPURA

Semangat yang ditonjolkan Haikal selaras dengan teras ''Menyatupadukan", salah satu daya usaha Melakar Hala Tuju Singapura untuk membangunkan sebuah Singapura yang lebih baik dengan kompak sosial yang adil dan saksama.

Menteri Kedua Ehwal Luar merangkap Pendidikan, Dr Mohamad Maliki Osman memberitahu BERITAmediacorp bahawa sebagai sebuah masyarakat, Singapura mesti melakukan lebih banyak lagi untuk rakyat dan penduduknya.

"Pertama ialah bagaimana kita meningkatkan rasa kekitaan kita kerana kita tahu bahawa Singapura merupakan negara yang terbuka. Jadi rakyat Singapura keluar dan ada juga mungkin pendatang baru ke Singapura. Apakah semangat kekitaan ini boleh kita terus kukuhkan ataupun perkuatkan?"

"Kedua, dari aspek menyepadukan ini ialah bagaimana kita memperkuatkan rasa ikatan kita ataupun 'bonding' antara rakyat Singapura kerana kita tahu kepelbagaian wujud dalam masyarakat kita. Bagaimana kita menjalin ikatan yang lebih kuat di antara kumpulan-kumpulan yang mungkin mempunyai perspektif yang berbeza dalam negara kita oleh masyarakat kita.

Yang ketiga, menurut beliau, adalah bagaimana untuk membina sebuah masyarakat yang bersatu, memahami cabaran Singapura sebagai satu negara yang kecil, yang terbuka serta berhadapan dengan cabaran dunia yang begitu mencabar sekali dalam masa hadapan.

Dr Maliki berkongsi bahawa sebanyak enam sesi perbincangan melibatkan penuntut institut pengajian tinggi dan pertubuhan Melayu/Islam sudah dijalankan setakat ini.

"Apa yang kita harus akur hari ini ialah Singapura merupakan satu negara dan masyarakat yang begitu 'diverse' atau kepelbagaian yang begitu ketara sekali bukan sahaja dari segi keagamaan dari segi kebudayaan tapi juga dari segi pemikiran dari segi keperluan masing-masing," tegas beliau.

Antara perkara-perkara yang ditimbulkan berhubung isu pekerjaan pendatang asing, memahami cabaran-cabaran sebilangan anggota masyarakat dengan keperluan khas serta bagaimana untuk mewujudkan sebuah masyarakat inklusif yang menerima golongan yang mempunyai perspektif dan cara hidup yang berlainan.

"Kita juga telah mengadakan sesi perbincangan dengan anggota masyarakat Melayu kita juga. Kami melihat keprihatinan mereka tentang cabaran-cabaran yang mereka hadapi ke hari ini dan juga masa depan, dan keinginan mereka juga untuk mengambil bahagian dalam proses membina sebuah masyarakat Islam yang lebih inklusif yang lebih progresif dan bagaimana kita boleh menyumbang kepada pembangunan negara kita," kongsi Dr Maliki lagi.

Langkah seterusnya, tambah beliau,adalah untuk mengajak kumpulan-kumpulan berbeza itu untuk memikirkan apakah kompak baru dapat diwujudkan.

"Bagaimana kita boleh terus hidup dengan kepelbagaian ini. Macam mana kita terus meningkatkan rasa kekitaan kita sebagai sebuah masyarakat, sebagai satu negara, membina satu negara yang lebih inklusif lebih responsif dengan keperluan kumpulan-kumpulan yang berbeza-beza kepada mereka," kata beliau lagi.

Ini ujar beliau merupakan semangat yang harus diterapkan dalam sanubari setiak rakyat iaitu Singapura adalah hak mereka di mana mereka mempunyai tanggungjawab bersama.
Sumber : BERITA Mediacorp/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan