Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mediacorp, WWF-SG jalin kerjasama saji lebih banyak kandungan hiburan pendidikan sains kanak-kanak

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Mediacorp dan Tabung Alam Sedunia - Singapura (WWF-Singapura) mengumumkan kerjasama untuk meningkatkan sajian kandungan hiburan berbentuk pendidikan yang berasaskan sains di program Okto, khusus buat kanak-kanak.

Ia merupakan satu inisiatif strategik untuk mendekatkan penonton lebih muda itu kepada isu-isu kemampanan dan alam semula jadi di Singapura, sekali gus memperkasa mereka untuk mengambil tindakan demi sebuah masa depan yang berdaya tahan iklim. 

Demikian menurut kenyataan bersama Mediacorp dan WWF-Singapura pada Khamis lalu (27 Okt)

WWF-Singapura menyokong Mediacorp dengan menyajikan pelbagai kandungan dan rakaman video berasaskan sains, di mana pakar-pakar turut akan membuat penampilan dalam rancangan bagi mengukuhkan lagi intipati kandungan. Ini akan memperhebat usaha rangkaian media nasional tersebut untuk membina sumber hiburan pendidikan yang bukan sahaja menarik buat kanak-kanak, tetapi lebih penting lagi, tepat dari segi fakta.

Khususnya, WWF-Singapura akan menjadi rakan kongsi pengetahuan rasmi Mediacorp bagi rancangan 'Lil Wild Season Three' dan 'Eco Rangers'. Kedua-dua rancangan itu akan ditawarkan di platform meWATCH serta program okto di Saluran 5 dan saluran YouTube okto. 

Kedua-dua program itu juga akan dipromosikan di Saluran 8, Vasantham dan Suria bagi menjangkau lebih ramai penonton daripada pelbagai latar belakang.

"Kami berharap program kanak-kanak yang diciptakan secara bersama ini akan mencetus perbincangan mengenai isu-isu penting dan memberi inspirasi kepada seluruh keluarga untuk mempelajari tentang tindakan-tindakan yang boleh diambil demi melindungi ruang hijau dan biodiversiti yang dinikmati di Singapura," kata Ketua Pegawai Eksekutif Mediacorp Tham Loke Kheng. 

WWF-Singapura dirujuk berhubung spesies haiwan dan topik-topik untuk disertakan ke dalam jalan cerita 'Lil Wild'. Selain itu, ia juga menyediakan kajian kandungan dan rakaman simpanan bagi segmen-segmen trivia. 

Di samping itu, WWF-Singapura juga menyediakan nasihat perundingan, kajian kandungan serta rakaman video dan gambar-gambar bagi rancangan 'Eco Rangers'.

Dalam setiap episod, seorang pakar WWF-Singapura akan ditampilkan untuk berkongsi fakta-fakta menarik mengenai pelbagai topik termasuk pembasmian hutan, pencemaran plastik, perdagangan haram hidupan liar serta keselamatan makanan. 

"Kerjasama ini terus berkait rapat dengan pelancaran tunggak dan program tematik kami baru-baru ini, khususnya tema 'Closer To Home', untuk membesarkan kanak-kanak di Singapura agar menjadi Pemimpin Kemampanan Masa Depan,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif WWF-Singapura R Raghunathan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan