Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mediacorp Untukmu@One Punggol eratkan ikatan dengan masyarakat

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Selepas tiga tahun ditiadakan, siaran BERITAmediacorp di luar studio kembali pada Sabtu (25 Feb) dalam acara khas Mediacorp Untukmu@One Punggol.

Sebelum ini, BERITAmediacorp pernah menjelajah ke kawasan Orchard Road, Jurong dan Geylang Serai tetapi terpaksa direhatkan kerana pandemik COVID-19.

Kali terakhir warga kerja BERITAmediacorp turun padang menemui para pengikutnya adalah pada 18 Mei 2019 di Wisma Geylang Serai.

Mediacorp Untukmu@One Punggol bakal menggandingkan pelbagai platform Melayu Mediacorp, iaitu Suria, Warna 942 dan juga BERITAmediacorp dan adalah usaha untuk mendekati para pengikut setia Mediacorp.

"Sepanjang dua tahun pandemik ini, Mediacorp sebagai media nasional memainkan peranan strategik menyebarkan maklumat, memberikan penjelasan kepada kepada masyarakat. Kami ingin bertemu kali ini untuk merakamkan terima kasih kami kerana mengharungi pandemik ini bersama-sama. Inilah tujuan utama untuk mengakrabkan lagi silaturahmi yang sudah lama terjalin dan agak terputus sedikit sewaktu COVID-19," kata Ketua Editor BERITA & Ehwal Semasa Melayu Mediacorp, Sujadi Siswo.

Pelbagai aktiviti diatur sepanjang hari untuk disertai seisi keluarga.

Ini termasuk demonstrasi memasak bersama Cef Bob, segmen Gerak Warna dan penampilan hos dan peserta Mic Junior.

Selain itu, tayangan dokumentari khas 'Selera Kita', forum kesihatan bersama Setiausaha Parlimen Kanan Kementerian Kesihatan, Rahayu Mahzam dan juga Dr Elly Sabrina akan diadakan.

"Kita cari satu tema agak dekat dengan hati masyarakat. Sesuatu yang masyarakat boleh bawa pulang, boleh memanfaatkan daripada apapun kegiatan yang mereka ikuti. Jadi kami fikir gaya hidup sihat itu adalah sesuatu yang agak terkini dan agak akrab dengan masyarakat," tambah Encik Sujadi.

Para pengunjung juga berpeluang mencuba bakat membaca berita, beramah mesra bersama para penyampai BERITAmediacorp dan menyaksikan BERITA 8 malam yang bersiaran secara langsung dari One Punggol.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan