Mediacorp tayangkan semula kemenangan bersejarah Loh Kean Yew di Kejuaraan Dunia BWF pada 25 Dis
Penyiar nasional, Mediacorp akan menyiarkan semula detik kemenangan bersejarah pemain badminton Singapura Loh Kean Yew di Kejuaraan Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di Sepanyol pada Hari Krismas (25 Dis).

SINGAPURA: Penyiar nasional, Mediacorp akan menyiarkan semula detik kemenangan bersejarah pemain badminton Singapura Loh Kean Yew di Kejuaraan Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di Sepanyol pada Hari Krismas (25 Dis).
Mediacorp pada Khamis (23 Dis) menyatakan ini akan membolehkan penonton mengikuti perlawanan pusingan akhir acara perseorangan lelaki antara Loh dengan pemain India, Srikanth Kidambi pada pukul 5.15 petang hari itu menerusi wadah digital dan saluran percuma ke udara (FTA).
Ia termasuk majlis penyampaian pingat.
Sepanjang tempoh kejohanan itu, Loh menumpaskan beberapa pemain handal dunia seperti pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen dan Anders Antonsen yang menduduki tempat ketiga di dunia, sebelum dinobatkan juara.
Dalam pusingan akhir, Loh berjaya menewaskan Srikanth 21-15, 22-20 sekali gus menjadikannya rakyat Singapura yang pertama untuk memenangi kejuaraan itu.
Pada Selasa, ranking dunianya naik dari 22 kepada 15.
Pada hari yang sama, Mediacorp juga akan menyiarkan aksi kedua perlawanan separuh akhir antara Singapura dengan Indonesia dalam Piala AFF Suzuki 2020 pada pukul 8.20 malam.
Pasukan Singa akan berjuang mati-matian untuk mendapatkan tempat dalam pusingan akhir pada 29 Disember dan 1 Januari.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.