Mediacorp, SP meterai MOU gilap bakat karyawan media generasi seterusnya
Mediacorp dan Politeknik Singapura (SP) memeterai satu perjanjian untuk membantu menyediakan para pelajar dengan peluang bekerja sambil belajar, pembelajaran amali, sesi perkongsian dan peluang-peluang lain.

(Gambar: Politeknik Singapura/Facebook)
SINGAPURA: Mediacorp dan Politeknik Singapura (SP) memeterai satu perjanjian untuk membantu menyediakan para pelajar dengan peluang bekerja sambil belajar, pembelajaran amali, sesi perkongsian dan peluang-peluang lain.
Kedua-dua pertubuhan itu menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) bagi membangunkan secara bersama pelbagai program berkaitan industri dan inisiatif-inisiatif yang akan menyokong perkembangan dan pembangunan para pelajar SP sepanjang kursus diploma sepenuh masa mereka.
Kerjasama ini berkuat kuasa serta- merta dan bertujuan untuk "memupuk generasi karyawan media seterusnya" dengan memanfaatkan kepakaran kedua-dua pertubuhan, menurut kedua-dua pertubuhan itu dalam satu kenyataan media pada Isnin (29 Mac). Para pelajar akan ditawarkan latihan berpusatkan industri bagi mempersiapkan mereka untuk kerjaya dalam industri media, tambah kenyataan tersebut.
"Para pelajar SP boleh menjangkakan aktiviti-aktiviti yang dirancang khususnya untuk mempertingkatkan lagi kemahiran dan pengetahuan mereka," menurut kenyataan media itu lagi.
Aktiviti-aktiviti itu termasuk peluang bekerja sambil belajar dan pembelajaran amali, seperti bimbingan mentor secara rasmi bersama dengan Mediacorp dan peluang bekerja sambil belajar dengan Bloomr.SG, iaitu rangkaian pencipta kandungan digital Mediacorp.
Para pelajar juga akan ditawarkan peluang untuk bekerja dengan Mediacorp mengenai penciptaan kandungan dan penyelesaian untuk cabaran perniagaan bagi projek tahun akhir masing-masing.
Peluang-peluang ini termasuk elektif untuk melatih para pelajar yang bercita-cita menjadi pencipta kandungan YouTube, dengan kurikulum kursus direka bersama oleh para pencipta Bloomr.SG dan Sekolah Media, Seni dan Reka Bentuk SP.
Langkah ini menyokong komitmen Mediacorp untuk memupuk bakat digital selepas mengumumkan pada Ogos 2020 mengenai statusnya sebagai rangkaian berbilang wadah pertama Singapura bagi para pencipta kandungan Youtube, menurut kenyataan media itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.