Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mediacorp rangkul 39 anugerah di Festival Media Sedunia 2023, termasuk 22 emas

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Mediacorp merangkul 39 anugerah keseluruhannya di Anugerah Televisyen & Media Korporat Festival Media Sedunia tahun ini, termasuk 22 anugerah emas.

Syarikat tersebut juga membawa pulang 16 anugerah perak serta satu anugerah utama yang berprestij, yang mengiktiraf karya terunggul dalam setiap kategori. Laporan berita CNA, "What causes mental illnesses? The human brain and its link to mental health" menerima pengiktirafan tersebut.

Laporan berita tersebut juga menerima anugerah emas dalam kategori Laporan dan Ciri Berita.

Demikian menurut syarikat tersebut dalam satu kenyataan media pada Khamis (27 Apr).

"What causes mental illnesses? The human brain and its link to mental health" disiarkan di CNA Oktober lalu dan meninjau punca penyakit mental serta pelbagai bahagian otak manusia yang menjejas kehidupan seharian seseorang.

"Disampaikan oleh penyampai CNA Steve Lai, laporan berita tersebut memberi para penonton paparan visual yang mendalam terhadap fisiologi otak dan kaitannya dengan kesihatan mental," menurut syarikat tersebut.

CNA berjaya membolot sembilan emas dan empat perak di acara anugerah tahun ini. Daripada sembilan anugerah emas tersebut, salah satu daripadanya disumbang sebuah episod Talking Point dan dua lagi dimenangi dua episod Undercover Asia.

Daripada 22 anugerah emas yang dimenangi Mediacorp, salah satu daripadanya diraih dalam kategori Dokumentari: Aktivis menerusi sebuah program hal ehwal bertajuk "Looted", yang merungkai bagaimana aktivis, ahli arkeologi dan media sosial berusaha untuk mendapatkan semula artifak yang tidak ternilai yang dicuri semasa era penjajahan.

Diterbitkan Make Waves, program tersebut memaparkan bagaimana bagaimana mereka mengumpulkan testimoni langsung daripada pencuri, dengan bukti fotografi dan forensik untuk membuktikan dari mana dan bila ia dicuri.

Lagi satu anugerah emas dirangkul drama Melayu Mediacorp yang bertajuk "Kaki Bola" menerusi kategori Hiburan: kategori Keluarga Khas.

Diterbitkan Millenia Motion Pictures, rancangan tersebut menyingkap kisah legenda bola sepak Singapura seperti Fandi Ahmad dan Sundram Moorthy, yang menyarung jersi pasukan bola sepak kebangsaan The Lions semasa tahun-tahun menjelang Piala Malaysia.

Dalam kategori Pemasaran dan Promosi: Pembuka Program dan Tajuk, "Abyss of Greed" merangkul anugerah emas. Siri tersebut turut membawa pulang anugerah perak dalam kategori Dokumentari: Dokudrama.

Dihoskan artis Mediacorp Ayden Sng, siri tersebut mengikuti bagaimana Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) berjaya menjadikan Singapura sebagai salah satu daripada negara paling rendah amalan rasuah di dunia. Siri tersebut juga menampilkan beberapa kes rasuah yang diketahui ramai di dalam sektor awam serta swasta dalam beberapa dekad ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Mediacorp Tham Loke Kheng mengucapkan terima kasih kepada rakan kongsi penerbitan serta rakan kerja syarikat tersebut kerana meletakkan Mediacorp "teguh di peta dunia penciptaan kandungan sekali lagi" bagi anugerah 2023 itu.

Program-program yang diiktiraf tersebut boleh ditonton di mewatch, perkhidmatan penstriman video Mediacorp.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan