Skip to main content

Singapura

Mediacorp raih Anugerah Pencapaian Alam Sekitar SG 2026 bagi kepimpinan, advokasi

Anggaran Waktu Membaca:
Mediacorp raih Anugerah Pencapaian Alam Sekitar SG 2026 bagi kepimpinan, advokasi

Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu bergambar bersama wakil Mediacorp di Anugerah Pencapaian Alam Sekitar Singapura pada 26 Ogos 2026. (Gambar: CNA/Mak Jia Kee)

Diterbitkan : 26 Aug 2026 05:54PM
  • Mediacorp menerima Anugerah Pencapaian Alam Sekitar Singapura 2026 atas kepimpinan dan advokasi dalam kemampanan, bersama OCBC.
  • Majlis anugerah anjuran Majlis Sekitaran Singapura (SEC) berlangsung di PARKROYAL COLLECTION Marina Bay, dihadiri Menteri Grace Fu.
  • Mediacorp diiktiraf kerana mengurangkan kesan operasi terhadap alam sekitar serta memanfaatkan kandungan media untuk meningkatkan kesedaran awam.
  • Beberapa syarikat lain seperti FedEx, Orient Overseas Container Line, dan Singapore LNG Corporation turut menerima anugerah atas sumbangan mereka dalam inovasi dan pengurusan alam sekitar.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Mediacorp menerima Anugerah Pencapaian Alam Sekitar Singapura 2026 bagi kepimpinan dan advokasi pada Rabu (26 Ogos), antara beberapa pertubuhan yang diiktiraf tahun ini atas sumbangan mereka terhadap penjagaan alam sekitar.

Anugerah anjuran Majlis Sekitaran Singapura (SEC) itu berlangsung di PARKROYAL COLLECTION Marina Bay dan meraikan pertubuhan di pelbagai peringkat dalam usaha kemampanan masing-masing.

"Para syarikat menangani cabaran alam sekitar yang paling relevan dengan operasi mereka, dengan memanfaatkan keupayaan, sumber dan pengaruh untuk membawa perubahan bermakna," menurut SEC.

Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu, yang menghadiri acara itu, berkata perniagaan memainkan peranan penting dalam melindungi Singapura dan rakyatnya daripada perubahan iklim.

"Syarikat yang akan berkembang maju adalah syarikat yang memahami risiko iklim sebagai risiko perniagaan, dan kemampanan sebagai peluang perniagaan," kata Cik Fu.

Beliau berkata syarikat juga perlu mengimbangi antara kos jangka pendek dengan daya saing jangka panjang, produktiviti dengan kesan terhadap alam sekitar serta transformasi perniagaan dengan keperluan pekerja dan pengguna.

MEDIACORP MANFAATKAN KUASA, JANGKAUAN MEDIA

Mediacorp menerima anugerah bagi kategori syarikat berbilang negara untuk kepimpinan dan advokasi bersama OCBC.

Dalam kenyataannya, SEC menyatakan Mediacorp memainkan peranan unik dan berpengaruh dalam memajukan kemampanan dengan menerapkannya dalam operasi serta kandungannya.

Menurut SEC, menerusi amalan mesra alam sekitar yang kukuh, kandungan yang dipercayai dan kerjasama strategik, Mediacorp berusaha mengurangkan kesannya terhadap alam sekitar, meningkatkan kesedaran awam serta menggalak tindakan bagi menyokong matlamat kemampanan Singapura.

Antara inisiatif yang diketengahkan termasuk penggunaan tenaga boleh diperbaharui, perakaunan karbon, pemerolehan mampan dan kecekapan sumber.

SEC turut menekankan keupayaan Mediacorp memperluas kesannya menerusi kewartawanan, dokumentari yang memenangi anugerah, rancangan ehwal semasa dan kandungan digital.

Kandungan tersebut membawa isu alam sekitar yang kompleks seperti perubahan iklim, pemuliharaan biodiversiti, ekonomi kitaran dan kehidupan mampan ke dalam perbincangan awam yang lebih luas.

Ketua Editor merangkap Ketua Pegawai Kemampanan Mediacorp Walter Fernandez berkata syarikat itu sedang berusaha mengurangkan kesan operasinya terhadap alam sekitar, termasuk mengukur dan mengurus pelepasan karbon, menjana tenaga boleh diperbaharui menerusi panel suria serta meningkatkan kecekapan tenaga.

"Tindakan ini penting dan kami sedar masih banyak lagi yang perlu dilakukan," kata Encik Fernandez.

Namun, beliau berkata Mediacorp mempunyai satu lagi tanggungjawab dan peluang unik kerana jangkauan terbesarnya bukan menerusi bangunan atau operasi, sebaliknya menerusi kandungannya.

Sebagai rangkaian media nasional Singapura dan menerusi jangkauan Mediacorp di Asia serta rantau lain, Mediacorp boleh membantu jutaan orang memahami dengan lebih baik perubahan iklim, pilihan yang dihadapi masyarakat dan penyelesaian yang sedang muncul, tambahnya.

"Jika kisah yang kami sampaikan dapat membantu membuat keputusan, mengubah tabiat, memberi inspirasi kepada sesebuah pertubuhan atau menggalak masyarakat untuk bertindak, kesannya dapat digandakan berkali-kali," kata Encik Fernandez.

PERTUBUHAN LAIN TURUT DIIKTIRAF

Antara syarikat berbilang negara lain yang diiktiraf ialah FedEx dan Orient Overseas Container Line bagi kategori inovasi dan reka bentuk serta Top Trend Manufacturing dan Pacific Basin Shipping SG bagi kategori sistem dan pengurusan.

Singapore LNG Corporation pula menerima anugerah bagi kategori sistem dan pengurusan untuk perusahaan kecil dan sederhana (SME), manakala Rentalworks SG menerima anugerah bagi kepimpinan dan advokasi.

Singapore Island Country Club turut menerima anugerah dalam kategori Green Spirit Awards.

Bagi kategori pencapaian keseluruhan cemerlang, Orient Overseas Container Line memenangi anugerah serantau, manakala OCBC dan Redux SG masing-masing dinamakan pemenang bagi kategori syarikat berbilang negara dan SME.
Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita