Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mediacorp, NTU meterai MoU pupuk golongan karyawan media masa depan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Mediacorp dan Sekolah Pengajian Komunikasi dan Maklumat Wee Kim Wee (WKWSCI) Universiti Teknologi Nanyang (NTU)  bekerjasama untuk membangunkan kegiatan dan program mendampingi mahasiswa dengan tujuan memupuk karyawan media pada masa depan dan mempersiapkan mereka untuk industri tersebut selepas menamatkan pengajian. 

Satu Memorandum Persefahaman (MoU) tiga tahun ditandatangani kedua-dua pihak pada Isnin (12 Dis) antara Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mediacorp Tham Loke Kheng dan Pengerusi WKWSCI NTU Profesor May O.Lwin.

''
 
Secara khususnya, kerjasama itu ingin memanfaatkan daya pengetahuan kedua-dua institusi untuk membangunkan pelbagai program dan kegiatan dalam bidang berita dan ehwal semasa serta hiburan untuk membekalkan pelajar WKWSCI dengan kemahiran yang relevan kepada industri menerusi pendedahan amali  dan pembangunan portfolio. 

Usahasama itu juga akan memastikan para mahasiwa akan  meraih peluang di pelbagai peringkat termasuk melibatkan diri dalam latihan amali serta menghadiri sesi-sesi perkongsian dan program penempatan industri.

CEO Mediacorp, Cik Tham Loke Kheng berkata: "Mediacorp komited untuk memupuk generasi seterusnya karyawan media dengan mengongsi pengetahuan dan pengalaman kami dalam ruang media yang sentiasa berubah-ubah."

"Kerjasama dengan WKWSCI untuk melancarkan lebih banyak insiatif bagi menghubungkan mahasiswa dengan industri media, membolehkan kami  melengkapkan  mereka dengan kemahiran dan pengalaman yang diperlukan dalam bidang perniagaan ini. Mediacorp juga akan meraih manfaat daripada hubungan rapat yang terjalin bersama mahasiswa untuk memberi khidmat lebih baik kepada mereka sebagai pelanggan dan kerja masa depan dalam ekosistem media ini," tambah beliau. 

Ketua WKWSCI NTU, Profesor May O.Lwin pula berkata: "Kerjasama kami dengan Mediacorp akan membantu memajukan lagi pembangunan bakat dalam industri media tempatan. Program-program kerjasama seperti latihan amali  menerusi pelbagai wadah Mediacorp akan mengukuhkan  usaha NTU dalam melatih karyawan yang bersedia untuk menyumbang secara positif kepada sekitaran media yang dinamik." 

PELUANG UNTUK HASIL KANDUNGAN, PENDEDAHAN KEPADA PROJEK-PROJEK INDUSTRI

Menerusi kerjasama tersebut,  mahasiswa WKWSCI NTU akan berpeluang  menghasilkan bersama kandungan projek-projek pendek bersama Mediacorp, dalam wadah digital.

Pelajar juga akan berpeluang menghasilkan  kandungan untuk golongan belia dalam pelbagai genre, termasuk drama, hiburan, podcast, mahupun program-program CNA. 

Mereka juga diberi pendedahan kepada projek-projek kajian pengguna termasuk dalam bidang kecerdasan buatan (AI), analitik data dan projek infografik. 

Selain itu, mahasiswa juga berpeluang melibatkan diri dalam kempen pemasaran Mediacorp dan projek yang memberi tumpuan kepada pengguna belia di bilik berita TV, Radio dan Digital.

Pada Mac lalu, Mediacorp dan NTU telah menandatangani dua Perjanjian Hadiah Endowmen untuk menganugerahkan Pingat Emas Mediacorp kepada mahasiswa cemerlang program Sarjana Muda Pengajian Komunikasi NTU dan program ijazah Sarjana Media dan Komunikasi. 
 

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan