Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mediacorp menang 34 anugerah di Pesta Media Sedunia 2022

Program-program berita, ehwal semasa dan dokumentari CNA memenangi 23 anugerah di Anugerah Media Televisyen & Korporat Pesta Media Sedunia 2022 di Hamburg, Jerman.

Anggaran Waktu Membaca:
Mediacorp menang 34 anugerah di Pesta Media Sedunia 2022

Petikan skrin dokumentari-dokumentari CNA 'Regardless of Race: 5 Years On' dan 'Inside Maximum Security'.

Diterbitkan : 23 Jun 2022 08:12PM Dikemas Kini : 23 Jun 2022 08:12PM
SINGAPURA: Program-program berita, ehwal semasa dan dokumentari CNA memenangi 23 anugerah di Anugerah Media Televisyen & Korporat Pesta Media Sedunia 2022 di Hamburg, Jerman.

Anugerah itu termasuk 13 anugerah emas, sembilan perak dan satu anugerah khas.

Ini membentuk sebahagian besar daripada 34 anugerah yang dimenangi Mediacorp, iaitu syarikat besar CNA.

Anugerah antarabangsa tahunan itu - yang menarik penyertaan daripada lebih 250 syarikat media dari merata dunia seperti NHK, National Geographic, Deutsche Welle dan iQiyi - meraikan huraian media korporat dan televisyen di peringkat global, terutama sekali penerbitan audiovisual dan online dalam bidang maklumat, pendidikan dan hiburan.

Program ehwal semasa CNA 'Regardless of Race: 5 Years On' memenangi kedua-dua anugerah emas bagi dokumentari terbaik (masyarakat dan isu sosial) dan Anugerah Khas "Hand in Hand".

Anugerah tersebut mengiktiraf kandungan yang menekankan tindakan oleh negara, pemerintah, korporasi, pertubuhan atau individu yang menyebabkan peningkatan dalam kehidupan individu atau dalam masyarakat secara keseluruhan.

Siri dua bahagian itu, yang juga siaran lanjut bagi dokumentari CNA pada 2016 mengenai kaum, mengkaji semula isu tersebut menyusuli beberapa laporan insiden perkauman di Singapura sejak pademik melanda.

Melalui sisi eksperimen sosial, ia berhasrat menyelongkar kebenaran-kebenaran sukar tentang bagaimana dan mengapa seseorang itu berat sebelah kepada sesuatu kaum.

Program itu dihoskan Menteri Kanan Negara Janil Puthucheary.

Mediacorp mengumumkan kemenangan itu dalam kenyataan medianya pada Khamis (23 Jun).

Dalam ruang hiburan, drama Cina Mediacorp My Mini-Me and Me, yang diterbitkan dengan kerjasama Infocus Asia, memenangi emas dalam kategori Hiburan: Siri Mini dan juga Anugerah Khas "Magic Waves", yang mengiktiraf muzik asli terbaik.

Drama itu menang bagi aplikasi muzik yang kreatif, bukan hanya untuk saling melengkapkan visual skrin tetapi juga untuk mengisahkan cerita dan melanjutkan plot.

Ketua Pegawai Eksekutif Mediacorp Cik Tham Loke Kheng berkata: "Kami berbesar hati sekali lagi menerima banyak anugerah di Pesta Media Sedunia. Anugerah-anugerah ini mengesahkan kelebihan Mediacorp dalam menerbitkan kandungan yang boleh dipercayai dan berwawasan dengan tarikan global, dan tidak mungkin dapat dilakukan tanpa bakat, kerja keras dan dedikasi pasukan-pasukan dalam syarikat dan rakan-rakan produksi.

"Terima kasih kerana sentiasa memastikan bendera Singapura dapat dikibarkan dan tahniah atas pencapaian cemerlang anda!"

CNA MENANG EMAS BAGI LAPORAN SIASATAN, DOKUMENTARI KEMAMPANAN

Antara anugerah-anugerah emas yang dimenangi CNA adalah episod keempat siri hit Inside Maximum Security, yang memenangi anugerah bagi dokumentari terbaik (hubungan manusia dan nilai-nilai).

Siri dokumentari popular itu yang menawarkan pandangan bersahaja ke dalam kehidupan lima banduan di Penjara Changi Singapura, memenangi kategori bagi dokumentari (hubungan manusia dan nilai-nilai). Ia mempunyai hampir 10 juta tontonan di YouTube. Ia juga ditayangkan di Netflix dan Discovery Asia.

Bagi kategori laporan-laporan berita dan ciri khas, dua laporan khas CNA Correspondent, Inside Taiwan's Phone Scam Rings dan Saving Endangered Animals in Malaysia, juga merangkul emas.

Dalam kategori laporan siasatan koresponden Taiwan CNA Victoria Jen bercakap dengan para 'penipu' dan mangsa-mangsa penipuan dan meneroka mengapa pembanterasan polis dan liputan media berprofil tinggi selama bertahun-tahun lamanya gagal menangkap 'scammer' yang mana mangsanya datang dari luar negara juga.

Bagi kategori dokumentari berita, koresponden Malaysia CNA Afifah Ariffin memberi tumpuan kepada usaha-usaha para pemulihara dalam menyelamatkan spesies haiwan yang terlindung seperti harimau Malaya, gajah Asia dan orang utan Borneo, daripada terus pupus.

Episod siri dokumentari Undercover Asia CNA, yang memberi tumpuan kepada Ekonomi China turut menerima anugerah emas.

Pemenang anugerah emas lain bagi CNA termasuk dokumentari kemampanan dan perubahan iklim A Wicked Problem and The Electric Race; Singapore in Red, Green and Blue.
Sumber : CNA/IM/im

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa