Mediacorp lantik Angeline Poh dari IMDA sebagai Ketua Pegawai Pembangunan Korporat
Jawatan baru itu bertujuan antaranya, mengembangkan jenama Mediacorp di luar Singapura

Angeline Poh. (Gambar: Mediacorp)
SINGAPURA: Mediacorp mengumumkan pelantikan Cik Angeline Poh semalam (16 Jul) sebagai Ketua Pegawai Pembangunan Korporat iaitu satu jawatan baru yang dibentuk bertujuan membangun strategi-strategi jangka sederhana dan jangka panjang syarikat, serta menjalin perkongsian antarabangsa. Pengumuman itu dibuat semalam.
Pelantikan itu akan berkuat kuasa mulai 1 September dan Cik Poh akan melapor terus kepada CEO Tham Loke Kheng.
Sebelum menyertai Mediacorp, Cik Poh bertugas dengan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) di mana beliau merupakan penolong ketua eksekutif bertanggungjawab bagi Kumpulan Pembangunan Industri (IDG).
Dalam peranan baru beliau di Mediacorp, Cik Poh akan memanfaatkan pengalamannya dalam bidang infokom dan media, serta rangkaian meluas untuk mengenal pasti dan mengusahakan perkongsian peringkat antarabangsa bermatlamat mengembangkan jenama syarikat di luar Singapura.
Sebelum bertugas di IMDA, beliau merupakan pengarah urusan di syarikat McGraw-Hill Education (Asia). Dalam tempoh 12 tahun pertama kerjayanya, beliau bertugas di Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB).
Menurut IMDA, Encik Howie Lau akan bertanggungjawab ke atas portfolio Cik Poh, iaitu selaku ketua pegawai pembangunan industri dan ketua kumpulan IDG mulai 17 September.
Encik Lau kini sedang menjalani tempoh notis sebagai ketua pegawai pemasaran StarHub.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.