Mediacorp lancar wadah pengiklanan layan diri
Mediacorp pada Rabu (24 Feb) melancarkan satu wadah pengiklanan layan diri, dalam satu langkah yang bertujuan menjadikan pengiklanan lebih menarik dan dapat digunakan semua pemilik perniagaan.
Mediacorp Campus.
SINGAPURA: Mediacorp pada Rabu (24 Feb) melancarkan satu wadah pengiklanan layan diri, dalam satu langkah yang bertujuan menjadikan pengiklanan lebih menarik dan dapat digunakan semua pemilik perniagaan.
Diberi nama Mediacorp AdDirect, wadah sehenti itu membolehkan para pengiklan mencipta, menempah dan menjejaki kempen media mereka. Ia dihasilkan oleh Mediacorp dengan kerjasama rakan kongsi teknologi Amobee.
Mediacorp AdDirect boleh membantu para pelanggan mencipta pelan media yang disesuaikan berdasarkan sasaran khalayak dan belanjawan yang dikehendaki, membangunkan aset kreatif, membuat tempahan dan menjejak prestasi kempen yang sedang dijalankan.
Wadah itu juga menyokong penghasilan pelan media optimum menggunakan data yang boleh menyasarkan pengguna secara cekap dan memenuhi matlamat kempen dalam satu aliran kerja, justeru mengurangkan kerumitan proses pembelian, menurut Mediacorp.
Ia menggunakan kecerdasan buatan preskriptif, data pihak pertama dan pihak ketiga dan analitik lanjutan untuk membantu para pengiklan mendapatkan huraian inovatif di seluruh wadah televisyen dan digital.
"Mediacorp sentiasa berusaha untuk menjadikan pengiklanan lebih lancar, mudah digunakan dan berkesan dari segi kos," kata ketua pegawai komersil dan digital Mediacorp, Encik Parminder Singh.
"Mediacorp AdDirect menawarkan teknologi canggih kepada para pengiklan untuk meraih pulangan pelaburan maksimum dan membantu perniagaan mereka berkembang. Kami berbesar hati kerana dapat menawarkan huraian ini kepada industri itu ketika ia memerlukan segala sokongan untuk mengatasi cabaran ekonomi masa kini," katanya.
Wadah baru itu akan bermula dengan memudahkan pembelian ruang iklan bagi televisyen, diikuti dengan digital dan akhir sekali kesemua platform dalam rangkaian media Mediacorp.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.