Mediacorp lancar kempen Pelan Hijau CNA, tingkatkan usaha kemampanan
SINGAPURA: Mediacorp melancarkan kempen merata negeri pada Khamis (16 Dis) untuk meningkatkan kesedaran tentang isu kemampanan bertujuan "memberi inspirasi kepada penduduk untuk mengambil langkah pertama ke arah gaya hidup lebih menghijau."
Fasa pertama Pelan Hijau CNA tersebut merangkumi satu siri kegiatan mendampingi orang ramai secara online dan fisikal, menurut Mediacorp dalam satu kenyataan media.
Ia memberi tumpuan pada lima tunggak di bawah Pelan Hijau Singapura 2030 yang melakarkan hala tuju bagi masa depan yang lebih mampan dalam dekad seterusnya yakni Bandar dalam Alam Semula Jadi, Masa Depan Berdaya Tahan, Tetapan Semula Tenaga, Ekonomi Hijau dan Kehidupan Mampan.
"Cabaran ini akan membantu peserta lebih memahami isu-isu berkaitan kemampanan dan mendorong mereka untuk mengambil tindakan bagi mengurangkan jejak karbon masing-masing," kata Mediacorp.
Ia termasuk tumpuan kepada perubahan iklim dan kesannya terhadap Singapura, ke arah masa depan yang mampan dan penggunaan tenaga.
"Setiap daripada lima tema itu akan ditangani tiga bandar dengan sebanyak 15 bandar kesemuanya. Semua penduduk dijemput untuk mengambil bahagian dalam pelbagi kegiatan yang berhubung kait dengan lima tunggak dalam Pelan Hijau Singapura 2030 itu," tambah Mediacorp.
Cabaran-cabaran di lapangan dijadual bermula pada 6 Jan. Orang ramai boleh mendaftarkan minat mereka di laman "CNA Green Plan" sebelum tarikh tersebut. Kegiatan-kegiatan yang dianjurkan "menggabungkan ciri-ciri kompetitif seperti dalam meneka spesis flora dan fauna tertentu," kata Mediacorp.
"Kegiatan menarik lain bagi seisi keluarga termasuk kursus berkebun setengah hari mengenai dengan pertandingan mini menanam sayur sendiri di rumah serta mendidik orang ramai tentang hasil tanaman tempatan."
Para peserta juga berpeluang menyaksikan "pertembungan"15 personaliti terdiri daripada lima penyampai CNA, lima artis dari The Celebrity Agency dan lima pempengaruh dari Bloomr.SG.
Bagi cabaran di wadah online, orang ramai boleh memuat naik video dan kandungan visual mereka di laman media sosial mereka.
45 individu dengan penyertaan terbaik berpeluang untuk memenangi kad EZ-link bernilai S$500. Peraduan online ini sudah dibuka dan tarikh akhirnya ialah 20 Februari 2022.
Acara cabaran fisikal akan dirakam dan disiarkan dalam satu rancangan lima episod, kata Medicorp.
Ia dijadual disiarkan pada April 2022, dan akan juga memaparkan beberapa penyertaan terpilih daripada cabaran online.
Ketua Editor dan ketua pegawai kemampanan, Walter Fernandez berkata:
"Insiatif merata negeri ini merupakan satu usaha jabgka panjang Mediacorp untuk meningkatkan kesedaran tentang kemampanan serta juga cabaran dan isu berkaitan dengannya.
"Sebagai rangkaian media negara, kami berada dalam kedudukan unik untuk memanfaatkan bakat kreatif kami, kewartawanan yang diyakini serta jangkauan luas personaliti dan platform kami untuk menggembleng tenaga masyarakat bagi memajukan Pelan Hijau Singapura.
"Saya berharap penonton kami akan menyertai sama misi dan usaha kami untuk mendorong masyarakat supaya merenungkan dan memberi lebih banyak perhatian untuk mengamalkan gaya hidup menghijau".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.