Skip to main content

Singapura

Mediacorp, Grab ganding bahu hasilkan kandungan, jana peluang pendapatan

Mediacorp dan syarikat Grab memeterai satu Memorandum Persefahaman hari ini (23 Apr) untuk menghasilkan kandungan bagi para penumpang selain memberi peluang kepada para pemandu Grab untuk menjana lebih banyak pendapatan di Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Mediacorp, Grab ganding bahu hasilkan kandungan, jana peluang pendapatan

Mediacorp dan Grab meterai MOU untuk kerjasama hasilkan kandungan media.

Diterbitkan : 23 Apr 2018 07:00PM Dikemas Kini : 23 Apr 2018 07:05PM

SINGAPURA: Mediacorp dan syarikat Grab memeterai satu Memorandum Persefahaman hari ini (23 Apr) untuk menghasilkan kandungan bagi para penumpang selain memberi peluang kepada para pemandu Grab untuk menjana lebih banyak pendapatan di Singapura.

"Mediacorp dan Grab akan bekerjasama untuk menghasilkan kandungan untuk ditonton penumpang melalui tablet dalam kenderaan Grab. Kandungan itu juga akan disediakan di platform dan rangkaian pengedaran Mediacorp yang lain." Demikian menurut kedua-dua syarikat itu dalam satu kenyataan bersama.

"Ini bagi memberi para penumpang akses kepada kandungan media yang bermutu tinggi secara percuma semasa dalam perjalanan ke destinasi mereka."

Bagi para pemandu privet, mereka yang berminat diberi pilihan untuk memasang tablet Grab atau aset syarikat media lain dalam kenderaan mereka.

Selain itu, para pemandu dan penumpang Grab berpeluang untuk ditampilkan dalam siri kandungan khas serta menghadiri acara-acara bersama artis-artis atau personaliti Mediacorp.

Grab turut mendedahkan bahawa MOU itu adalah lanjutan kepada program iklan yang membolehkan para pemandu untuk menjana pendapatan tambahan, selain tambang yang diperolehi melalui khidmat Grab. Program tersebut, yang bermula sejak Mac 2017, sudah membantu menjana lebih S$300,000 secara kolektif bagi para pemandu yang mengambil bahagian.

Menurut Indeks Media Nielsen, Mediacorp menjangkaui 99 peratus rakyat Singapura setiap minggu. Syarikat penyiaran itu juga diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Aplikasi Grab pula merupakan platform mudah alih yang paling sering digunakan di Asia Tenggara. Lebih lima juta pengguna menggunakan platform itu, dan aplikasi tersebut sudah dimuat turun ke sekitar 90 juta peranti mudah alih.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita