Skip to main content

Singapura

Mediacorp dinobat Rangkaian TV Terbaik di Anugerah Cannes Corporate Media & TV

Mediacorp dinobat sebagai Rangkaian TV Terbaik di Anugerah Cannes Corporate Media & TV, hasil empat kemenangan CNA, jenama berita global Mediacorp, yang meraih dua anugerah emas dan dua perak.

Anggaran Waktu Membaca:
Mediacorp dinobat Rangkaian TV Terbaik di Anugerah Cannes Corporate Media & TV

Wartawan Kanan CNA Wei Du menerima anugerah Rangkaian TV Terbaik daripada pengasas dan pengarah festival Anugerah Cannes Corporate Media & TV, Alexander Kammel (kiri), serta piala yang dimenangi Mediacorp (kanan). (Gambar: CNA)

Diterbitkan : 25 Sep 2026 01:39PM
  • Mediacorp dinobat sebagai Rangkaian TV Terbaik di Anugerah Cannes Corporate Media & TV selepas CNA meraih dua Gold Dolphin dan dua Silver Dolphin.
  • Kejayaan ini melengkapkan tiga pengiktirafan besar Mediacorp tahun ini, selepas menang di World Media Festivals di Berlin dan New York Festivals.
  • Walter Fernandez berkata kemenangan itu membuktikan mutu kandungan CNA, laporan bebas dan kekuatan membawa perspektif Asia kepada isu dunia.
  • Dokumentari pemenang menyentuh sejarah, budaya, politik dan isu sosial, manakala 'Bones of Contention' menerima Diploma Finalis dalam kategori alam sekitar.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Mediacorp dinobat sebagai Rangkaian TV Terbaik di Anugerah Cannes Corporate Media & TV, hasil empat kemenangan CNA, jenama berita global Mediacorp, yang meraih dua anugerah emas dan dua perak.

Pengiktirafan tertinggi itu melengkapkan tiga kemenangan besar Mediacorp tahun ini, selepas dinobat sebagai Penyiar Terbaik Tahunan di World Media Festivals dan New York Festivals TV & Film awal tahun ini.

Mediacorp menggandakan jumlah kemenangannya di Anugerah Cannes kepada empat tahun ini, berbanding dua pada tahun lalu.

"Pengiktirafan tersebut menandakan satu lagi pencapaian penting dalam tahun yang menyaksikan Mediacorp meraih pengiktirafan antarabangsa yang cemerlang, mencerminkan penerimaan global yang semakin meluas terhadap penceritaannya serta komitmennya untuk membawa kisah-kisah menarik dan perspektif Asia yang tersendiri kepada penonton di seluruh dunia," menurut Mediacorp dalam satu kenyataan media pada Jumaat (25 Sep).

Ketua Editor Mediacorp Walter Fernandez berkata: "Dinobatkan sebagai Rangkaian TV Terbaik Tahunan dan memenangi Blue Dolphin di anugerah televisyen Cannes yang berprestij merupakan satu penghormatan besar di peringkat global bagi Mediacorp.

"Pengiktirafan ini, selepas kami dinobat sebagai Penyiar Terbaik Tahunan di World Media Festivals di Berlin dan sekali lagi di New York Festivals awal tahun ini, melengkapkan tiga pengiktirafan antarabangsa yang belum pernah dicapai sebelum ini dalam tempoh setahun," kata beliau.

Anugerah Cannes Corporate Media & TV mengiktiraf kecemerlangan dalam filem korporat, media online dan dokumentari dari seluruh dunia, dengan memberi penghargaan kepada penceritaan dan mutu penghasilan yang cemerlang.

Empat dokumentari CNA yang meraih anugerah ialah 'One "Orphan” Every Hour' (Gold Dolphin), 'Walk the Line: ICE Nation' (Gold Dolphin), 'Chiang Kai-shek: Shadow Across the Strait' (Silver Dolphin) dan 'The Mark of Empire: Kingdoms of the Sea' (Silver Dolphin).

"Kemenangan Rangkaian TV Terbaik Tahunan di Cannes diraih hasil empat anugerah – dua Gold Dolphin dan dua Silver Dolphin – yang diberikan kepada CNA, jenama berita global Mediacorp," kata Encik Fernandez.

"Empat anugerah antarabangsa ini membuktikan mutu penghasilan dan kandungan bertaraf dunia yang dihasilkan oleh pasukan CNA bersama rakan-rakan penerbitan mereka. Lebih penting lagi, kemenangan ini mengiktiraf kekuatan tersendiri CNA di pentas global.

"Keupayaannya membawa perspektif Asia kepada isu-isu utama dunia menerusi laporan mendalam dan bebas, serta komitmennya mengenal pasti dan menyiasat kisah-kisah penting dari Asia – meskipun penuh kontroversi – untuk khalayak global."

Merangkumi sejarah, budaya, politik dan isu sosial yang mendesak, empat dokumentari yang memenangi anugerah tersebut menunjukkan keluasan penceritaan berasaskan fakta Mediacorp serta komitmennya dalam membawa kisah-kisah penting dan perspektif Asia kepada khalayak lebih luas, menurut Mediacorp.

"Dengan akses rapat kepada para migran yang berdepan perubahan besar pada dasar imigresen Amerika Syarikat, 'ICE Nation' melangkaui perdebatan politik untuk meneliti kesannya terhadap kehidupan manusia," kata Encik Fernandez.

"'Chiang Kai-shek: Shadow Across the Strait' bukan sahaja meneliti legasi beliau yang dipertikaikan, malah bagaimana legasi tersebut dilihat dan ditangani secara berbeza di kedua-dua belah Selat Taiwan.

"'One “Orphan” Every Hour' membawa pendekatan berbeza daripada laporan tradisional berhubung pengambilan anak angkat Korea di peringkat antarabangsa dengan meneliti peranan dan kebertanggungjawaban pihak lain yang terlibat, termasuk pemerintah Barat, pertubuhan agama dan agensi pengambilan anak angkat," kata Encik Fernandez.

'Bones of Contention', yang diterbitkan oleh Elefant Films, turut menerima Diploma Finalis dalam kategori "Alam Sekitar, Ekologi dan Kemampanan".

"Anugerah-anugerah ini menjadi pendorong kepada bilik berita CNA untuk terus memaklumkan, melibatkan dan memberi impak kepada para penontonnya setiap hari," kata Encik Fernandez.

Para penonton boleh menyaksikan dokumentari-dokumentari yang memenangi anugerah tersebut di mewatch dan menerusi platform CNA.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita