Skip to main content

Singapura

Mediacorp 'bertandang', bersahur bersama penghuni Rumah Kanak-kanak PERTAPIS

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Seawal jam 3 pagi lagi, lebih dari 30 artis dan personaliti Mediacorp telah 'bertandang' ke Rumah Kanak-kanak PERTAPIS bagi bersahur bersama para penghuni di situ pada Ahad (1 Mac).

Acara Tandang Sahur yang dianjurkan oleh Mediacorp merupakan sebuah inisiatif yang membawa para artis dan personaliti untuk meluangkan masa serta bersahur bersama penghuni rumah-rumah kebajikan dan tumpangan.

Hos acara, DJ Radio WARNA 942, Aura Shai, mengongsikan bahawa acara seperti ini merupakan sebagai satu peluang bagi Mediacorp untuk menyumbang semula kepada masyarakat.

"Selain dari bantuan kewangan, tentunya ini adalah salah satu cara untuk kami menyumbang kembali kepada masyarakat, memberikan keceriaan kepada adik-adik kita dari Rumah Kanak-kanak PERTAPIS," kongsi Aura Shai.
 
Related article image
(Gambar: Hidir Ezat)
"Jadi pada hari ini, pada hujung minggu, kami hadir pada hari ini sebab ada di antara mereka yang tidak dapat pulang untuk bersahur berbuka bersama keluarga. Jadi setidak-tidaknya mudah-mudahan dengan adanya kami, dapatlah menceriakan bukan saja hari mereka tetapi juga memberikan semangat kepada mereka untuk menjalani ujian ini dengan lebih baik lagi," tambahnya lagi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PERTAPIS, Firdaus D'Cruz, acara seperti ini dapat menyuntik keceriaan kepada kanak-kanak ini.

"Acara seperti ini membawakan suasana yang amat berbeza daripada rutin harian mereka. Bila ada tetamu khas datang dan suasana menjadi lebih meriah, kanak-kanak rasa teruja dan gembira," kata Encik Firdaus.

"Keceriaan itu bukan sekadar pada hari ini sahaja tetapi kenangan dan pengalaman yang positif yang mereka akan membawa dengan mereka selepas itu juga memberi kesan positif kepada emosi dan semangat mereka," tambahnya lagi.

Menurutnya lagi, terdapat rancangan dari PERTAPIS untuk meluaskan lagi acara Tandang Sahur pada masa-masa akan datang.
Related article image
Antara personaliti yang turut hadir ialah Hisyam Hamid dan Hetty Sarlene. (Gambar: Hidir Ezat)
"Jika ada peluang untuk melibatkan lebih lagi ramai rakan-rakan kerjasama antara komuniti, kami sangat mengalu-alukannya. Matlamat kami adalah untuk terus memberi pengalaman bermakna kepada kanak-kanak kami dan memastikan mereka sentiasa rasa disokong oleh masyarakat," kongsi Encik Firdaus.

CERIAKAN, TANAM SEMANGAT DALAM DIRI ANAK-ANAK DI PERTAPIS

Ketua, Hubungan Masyarakat Melayu, Mediacorp, Sujadi Siswo mengatakan bahawa ini merupakan antara keindahan Ramadan yang kita hayati dan usaha untuk menanam semangat dalam diri anak-anak di PERTAPIS.

"Ini adalah antara keindahan Ramadan yang kita jalani. Manifestasi rasa empati yang wujud dan lahir daripada ibadah puasa yang kita jalani. Jadi di sini kita berbagi keindahan Ramadan bersama anak-anak ini," kata Encik Sujadi.

"Ini merupakan undangan daripada kanak-kanak ini untuk kami datang dan mereka membuka pintu ini kepada Mediacorp untuk berbagi dan inilah semangat yang kita ingin tanamkan pada anak-anak ini. Tanamkan semangat dalam diri mereka. Kita ingin sampaikan mesej kepada mereka bahawa mereka juga berhak untuk mempunyai kehidupan yang lebih baik. Kita ingin mereka berjaya dan kita tidak ingin tidak mahu mereka merasa terpinggir," tambahnya lagi.
Related article image
(Gambar: Hidir Ezat)

Inisiatif 'Tandang Sahur' oleh Mediacorp itu telah dimulakan sejak 2010.

Encik Sujadi turut berkongsi rancangan untuk meneruskan usaha murni ini pada masa hadapan.

"Kita ingin teruskan dengan usaha murni ini tapi mungkin dengan skala yang bagaimana pula. Apakah kita di sini atau kita bergabung pula dengan MMO, rumah-rumah kebajikan yang lain nanti kita akan bincangkan," kata Encik Sujadi.

"Inilah sesuatu yang unik untuk Mediacorp membina jambatan silaturahim dengan MMO kerana dengan kolaborasi inilah baru kita dapat melihat bagaimana kita dapat membantu bersama-sama, bahu-membahu untuk memberi bantuan pertolongan dan juga kerjasama dengan MMO yang ada dalam masyarakat kita," tambahnya lagi.

Tahun ini, seramai 38 kanak-kanak rumah telah berpeluang untuk bersahur bersama barisan artis dan personaliti Mediacorp.

Antara personaliti yang turut hadir bagi meriahkan acara ialah Hisyam Hamid, Hans Hamid, Fadli Kamsani, Hetty Sarlene, Lydia Izzati dan Syafiqah Zainal.

Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita