Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mediacorp bekerjasama dengan syarikat global terbit pelbagai projek baharu

Anggaran Waktu Membaca:
 Mediacorp bekerjasama dengan syarikat global terbit pelbagai projek baharu

Mediacorp tandatangani MOU dengan Linmon Media. (Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 06 Dec 2024 12:45PM Dikemas Kini : 06 Dec 2024 12:50PM
SINGAPURA: Hari kedua acara Asia TV Forum & Market 2024 pada Khamis (5 Dis) menyaksikan syarikat media Mediacorp, mengumumkan lebih banyak projek dan kerjasama dengan jenama-jenama antarabangsa.

Selain bekerjasama dengan Netflix dan syarikat media kanak-kanak Britain, Moonbug Entertainment, Mediacorp akan bekerjasama dengan syarikat penerbitan China Linmon Media dan juga firma dari Taiwan Three Giant Production untuk menghasilkan pelbagai karya pada masa akan datang.
Kerjasama Mediacorp- Linmon Media menyasarkan untuk memudahkan pertukaran bakat kreatif dan penerbitan antara China dengan Singapura. (Gambar: Mediacorp)
Bagi tujuan itu, Mediacorp menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Linmon Media yang popular dengan judul Cina seperti Nothing But Thirty dan A journey To Love.

Sebagai sebahagian daripada MOU itu, kedua-dua syarikat akan meneroka kerjasama dalam bidang penerbitan dan memudahkan pertukaran bakat kreatif dan perbitan antara China dengan Singapura.

Dalam kenyataannya, Ketua Pegawai Kandungan Mediacorp Virginia Lim berkata: "Kerjasama dengan Linmon Media membolehkan kami menghasilkan kandungan berkesan yang dapat menarik perhatian penonton di seluruh dunia. Kami tidak sabar untuk menggabungkan kepakaran kami dalam bidang penceritaan dan penerbitan sedang kami bekerjasama untuk menampilkan yang terbaik dari Singapura dan China."

Pengasas bersama Linmon Media, Zhou Yuan menambah: "Kerjasama ini menandakan langkah penting untuk mencapai visi kami untuk saling bertukar-tukar budaya dan mencapai sinergi dalam kandungan yang dihasilkan di peringkat global. Dengan memanfaatkan gabungan kekuatan kami, kerjasama ini akan dengan ketara mempertingkat penerbitan, pengedaran dan promosi kandungan antarabangsa, sekali gus membolehkan kami menjangkau penonton yang lebih meluas dan lebih rencam."

Mediacorp juga mengumumkan bahawa pihaknya memeterai MOU dengan Three Giant Production dari Taiwan - syarikat di sebalik siri hit Bump Off Lover yang memenangi tiga anugerah di Anugerah Golden Bell ke-41.

Sebagai sebahagian daripada kerjasama itu, kedua-dua syarikat akan menghasilkan drama Cina bertema fantasi romantik berjudul Our Midnight Scary Tales - berdasarkan sebuah novel dengan nama yang sama.

Ia akan dirakamkan di Taiwan dan Singapura.

Our Midnight Scary Tales mengisahkan seorang budak lelaki yang berupaya melihat roh yang melakukan perjalanan ke Singapura dan kemudian jatuh cinta dengan seorang gadis yang mahu dihubungkan semula dengan datuknya yang sudah meninggal dunia.

Penerbitan Taiwan itu juga melibatkan artis dan kru dari Taiwan dan Singapura.

"Kisah romantis, seram dan supernatural merupakan tema popular di banyak rantau. Our Midnight scary Tales tidak hanya akan menggabungkan elemen-elemen tersebut dalam satu drama menakjubkan, tetapi juga menampilkan kisah-kisah unik rakyat Singapura dan kekayaan budaya tempatan kita," kata Cik Virginia Lim.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan