Mediacorp bakal siarkan pelbagai rancangan NDP2020; program lain sempena ulang tahun ke-55 S'pura
Meskipun rakyat Singapura tidak berpeluang berkumpul secara beramai-ramai untuk menyaksikan Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) tahun ini akibat pandemik COVID-19, mereka masih boleh mengambil bahagian dalam upacaranya pada Ahad nanti (9 Ogos).
Raptai NDP pada 26 Jul 2020. (Gambar: Nuria Ling/TODAY)
SINGAPURA: Meskipun rakyat Singapura tidak berpeluang berkumpul secara beramai-ramai untuk menyaksikan Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) tahun ini akibat pandemik COVID-19, mereka masih boleh mengambil bahagian dalam upacaranya pada Ahad nanti (9 Ogos).
Ini termasuk upacara menaikkan bendera negara di Padang dan beberapa lokasi lain merata negara selain melafazkan ikrar - semuanya menerusi siaran langsung yang bakal disiarkan melalui wadah-wadah Mediacorp.
Dalam satu kenyataan media pada Selasa (4 Ogos), Mediacop - penyiar nasional NDP, menyatakan ia akan menyiarkan Amanat Hari Kebangsaan pada 10.00 pagi Ahad ini di televisyen, radio serta wadah lain. Amanat itu akan disampaikan dalam empat bahasa rasmi Singapura oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan para Menteri Kabinet lain.
Ini bakal disusuli dengan siaran langsung selama 75 minit pertunjukan NDP yang diadakan di Padang. Buat julung-julung kalinya dalam sejarah NDP, Tembak Hormat Kepresidenan 21-Das akan dijalankan di Padang. Saat Nyanyian Lagu Kebangsaan akan dipimpin oleh Presiden Halimah Yacob sedang upacara menaikkan bendera negara diadakan di Padang dan merata Singapura.
Perbarisan kali ini akan menampilkan bahagian-bahagian tradisional yang digemari ramai seperti terbang lalu bendera negara, pertunjukan udara dan Red Lions serta kontinjen kenderaan di kawasan-kawasan kejiranan. Semua itu akan memberi tumpuan khas kepada "penghargaan dan sanjungan kepada para pejuang barisan hadapan, pekerja khidmat penting serta wira masyarakat atas semangat dan kecekalan mereka dalam melawan COVID-19".
Pada jam 7.00 malam Ahad ini, Mediacorp akan menyiarkan secara langsung Pertunjukan Malam NDP 2020 yang bakal berlangsung di The Star Performing Arts Centre. Ia akan menampilkan siri filem pendek yang memaparkan 31 cerita. Semua itu akan disulamkan dengan lagu serta persembahan oleh barisan artis tempatan yang dibahagikan kepada enam babak.
Babak pertama yang bertajuk 'Singapura Kita' bertujuan untuk menyuntik rasa nostalgia menerusi pemandangan dan bunyi yang dekat di hati. Sementara itu, babak-babak kedua serta ketiga, masing-masing berjudul "Apabila Keadaan Berubah" dan "Cabaran-Cabaran Yang Kita Hadapi", pula menggariskan cabaran yang ditempuhi negara tahun ini serta bagaimana rakyat Singapura belajar menyesuaikan diri.
Babak-babak keempat dan kelima akan memaparkan usaha luar biasa rakyat Singapura serta memberi penghargaan kepada para pekerja dalam khidmat penting dan mereka yang bertugas di barisan hadapan untuk melawan COVID-19.
Pertunjukan terakhir bertajuk "Bersama, Untuk Singapura Yang Lebih Teguh" akan menyatukan semua peserta dalam "aksi optimis yang berpandangan jauh di mana Singapura akan bangkit lebih kukuh sebagai sebuah negara".
Pertunjukan itu akan sampai ke kemuncaknya pada "detik melafaz ikrar" pada jam 8.20 malam di mana rakyat Singapura digalak melafazkan ikrar negara secara bersama-sama di mana sahaja mereka berada. Setelah itu, rakyat Singapura digalak untuk melampirkan pelekat obor merah dari pek cenderahati Singapura Bersama di telefon bimbit mereka untuk menerangi langit malam dalam "paparan visual perpaduan yang mempesonakan di seluruh negara".
Upacara kemuncak adalah pertunjukan bunga api yang diselaraskan di beberapa tempat di merata negara.
Selain upacara Hari Kebangsaan, Mediacorp juga akan menyiarkan satu siri rancangan berkaitan Hari Kebangsaan sepanjang cuti hujung minggu yang panjang ini nanti. Ia termasuk program di sebalik tabir pembikinan NDP yang akan disiarkan di Saluran 5 dan mewatch pada 9.30 malam, 7 Ogos ini.
Pada 8.00 malam tanggal 10 Ogos pula, penonton boleh menyaksikan satu konsert Hari Kebangsaan Mediacorp selama sejam yang akan membariskan artis-artis tanah air termasuk Nathan Hartono, Taufik Batisah, Yung Raja dan Inch Chua.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.