Skip to main content

Singapura

Media sosial & tarikan SG tidak diketahui ramai dimanfaat bagi pikat pelancong China

Anggaran Waktu Membaca:
Media sosial & tarikan SG tidak diketahui ramai dimanfaat bagi pikat pelancong China

(Gambar fail: AFP/Roslan Rahman)

SINGAPURA: Agensi-agensi pelancongan di Singapura sedang mempergiatkan usaha untuk memikat para pelancong dari China. Ini menyusuli pembukaan semula sempadan China pada 8 Januari lalu.

Beberapa agensi pelancongan cuba untuk lebih menyerlah berbanding yang lain, dengan merangka jadual perjalanan baru yang menawarkan pengalaman unik, dan memanfaatkan media sosial di China dalam melaksanakan kempen pemasaran secara langsung.

Tawaran-tawaran baru itu termasuk lawatan yang membawa pelancong dari tempat-tempat tumpuan biasa dan pusat beli-belah, ke kawasan yang jarang dikunjungi ramai bagi pengalaman tempatan.

Ini termasuk lawatan ke pulau-pulau luar pesisir Singapura seperti Pulau Lazarus, Pulau St John dan Pulau Ubin, serta makan malam di kelong.

MENJANGKAUI BANDAR TAMAN

Hong Thai Travel Service adalah salah satu agensi pelancongan yang menukar tawaran khidmatnya demi memastikan tawarannya sejajar dengan trend baru pelancongan di pasaran China.

Cik Jasmine Li, pengarah pembangunan perniagaan firma itu, berkata bahawa agensinya menjangkakan gelombang pertama pelancong dari China terdiri daripada pelawat yang biasa ke Singapura dan mendahagakan pengalaman yang berbeza.

"Singapura sentiasa menjadi salah satu destinasi utama untuk pelancong China kunjungi, dan ramai daripada mereka kembali menjadi pelanggan," kata Cik Li dalam bahasa Mandarin.

"Ini bermakna bahawa mereka tidak mahu pergi ke tempat-tempat yang sudah dikunjungi sebelum ini. Pengalaman baru (yang ditawarkan) lebih menarik bagi mereka."

PEMASARAN MEDIA SOSIAL

Agensi tersebut juga sedang mengalihkan taktik pemasarannya disebabkan trend sedia ada.

Sebelum pandemik, ia bergantung kepada rakan agensi pelancongan di China untuk memikat pelanggan dari negara tersebut.

Menurut Cik Li, "Selepas pandemik, kami ingin menggunakan media sosial untuk membawa kami ke pasaran tersebut secara langsung."

Ini memandangkan terdapat penggunaan tinggi media sosial di China, di mana jutaan warga China sedang menggunakan platform sosial seperti Douyin dan Little Red Book untuk hiburan, maklumat dan juga beli-belah.

Cik Li berkata bahawa syarikatnya merancang untuk mendampingi para pempengaruh dan khidmat penyiaran langsung untuk mengiklankan lawatan yang ditawarkan oleh syarikatnya secara langsung kepada para pelanggan.

KEKURANGAN TENAGA KERJA JEJAS STANDARD

Lebih 190 lesen baru dikeluarkan kepada ejen-ejen pelancongan sejak tiga tahun lalu, menurut Lembaga Pelancongan Singapura (STB).

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 94 lesen diberi tahun lalu, iaitu hanya sedikit di bawah jumlah yang dicatat sebelum pandemik.

Jumlah pelancong dari China yang melakukan perjalanan ke Singapura menjelang perayaan Tahun Baru Cina tahun ini meningkat sebanyak 500 peratus berbanding tahun sebelumnya, menurut laman web pelancongan Trip.com.

Sekalipun demikian, Singapura berdepan dengan persaingan sengit dari negara-negara Asia Tenggara seperti Thailand, yang juga merupakan destinasi utama para pelancong China semasa tempoh tersebut.

Agensi-agensi pelancongan tempatan juga menggesa rakan perniagaan untuk memperbaiki standard khidmat yang ditawarkan untuk bersaing.

Pemain industri berkata syarikat-syarikat sedang berusaha untuk kembali berdaya saing, meskipun sedang bergelut dengan kekurangan tenaga kerja dan bekalan.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita