Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Media sosial ruang anak-anak mencari identiti diri, pendedahan negatif bawa petaka

Seawal umur lapan tahun, “Nadia” sudah mempunyai pemikiran untuk mencedarkan diri akibat tertekan dengan ejekan teman-teman sekolah akan dirinya dan masalah keluarga – mengigit lengan dan memecahkan barang supaya beliau tercedara.

Anggaran Waktu Membaca:
Media sosial ruang anak-anak mencari identiti diri, pendedahan negatif bawa petaka

Gambar fail: Murni Yussof/BERITAmediacorp

SINGAPURA: Seawal umur lapan tahun, “Nadia” sudah mempunyai pemikiran untuk mencedarkan diri akibat tertekan dengan ejekan teman-teman sekolah akan dirinya dan masalah keluarga – mengigit lengan dan memecahkan barang supaya beliau tercedara.

Keadaan semakin meruncing ketika beliau meningkat remaja. Beliau mulai mempunyai fikiran untuk bunuh diri atau suicidal ideation sejak berusia 12 tahun ketika beliau semakin aktif di media sosial.

Beliau mengambil ubat-ubatan dan mencedarakan diri dengan mengelar tangan, kaki dan peruntya dalam percubaan untuk membunuh diri akibat kemurungan.

Ini turut diakui oleh kaunselor Club Heal Noraliza Abdul Rahim.

Sesi kaunseling untuk anak-anak yang kesihatan mental terjejas. 

“Ramai murid-murid yang berumur bawah 16 tahun telah mempunyai idea-idea seperti ini dan kadang-kadang mereka meluahkan. Ada kalanya mereka membincangkan sesama mereka tentang apa yang mereka ingin lakukan dan ini amat dikhuatiri bagi kami,” menurut Cik Noraliza berdasarkan pengalamannya.

Buli siber serta paparan-paparan dan saranan-saranan negatif yang diterima daripada wadah-wadah sembang media sosial menjadi penyebab.

RUANG MEDIA SOSIAL RUJUKAN PERSOALAN HIDUP

Ingin mencari jawapan kepada persoalan hidup yang dihadapi, ruang-ruang bertanya soalan tanpa nama seperti Tellonym dan ASKfm menjadi tempat anak-anak bertanya persoalan hidup dan mencari jati diri.

Pengalaman yang sama turut dialami Siti A’dlina Md Yussoff, yang juga berusia 20 tahun akibat terdedah kepada gejala negatif media sosial.

Gambar: BERITAmediacorp

Mental dan emosi kanak-kanak dan remaja boleh tertekan akibat pendedahan negatif media sosial.

Menurut ahli psikoterapi Fajariah Saban yang merupakan Timbalan Pengarah di Hayaa’ Network, anak-anak sering menggunakan media sosial untuk mencari jati diri mereka.

Ia boleh memberikan sokongan kepada pembangunan anak-anak tetapi boleh juga merangsangkan pemikiran negatif tentang diri mereka, cara mereka berhubung dengan teman-teman atau membentuk pandangan tentang dunia mereka.

“Budaya yang telah dibentuk melalui penggunaan sosial media ini, ia membentuk satu budaya yang aktif kalau kita membuat hantaran wadah social media, kita dapat maklum balas serta merta.

Kalau ia untuk tujuan baik, kita akan dapat reaksi yang serta-merta.

Tetapi kalau anak-anak meletakkan satu hantaran di mana teman-teman ataupun orang lain boleh memberi maklum balas yang negatif jadi situasi seperti buli siber.

Teknologi dan media sosial sudah menjadi sebahagian kehidupan kanak-kanak dan remaja hari ini.

Kesannya juga serta-merta jadi hakikatnya dalam zaman teknologi ini saya kira apa-apa kandungan pun boleh diletakkan di wadah media sosial dan kita kadang-kadang tidak boleh mengagak apa kesannya,” tambah Cik Fajariah.

Cik Noraliza pula mendedahkan bahawa media sosial juga digunakan untuk tempat memfitnah seseorang atau tempat penipuan dan menjalankan kerja-kerja jenayah, dan ini pastinya menjejas kanak-kanak dan remaja.

“Di luar sana ramai pemangsa-pemangsa yang mencari cara ataupun semakin berani untuk memancing mangsa-mangsa terutamanya kanak-kanak dan remaja yang senang tergugat.

Kemudian mangsa-mangsa ini akan didedahkan dengan perkara-perkara yang kurang elok.

Contohnya selalunya mereka akan didedahkan dengan kandungan-kandungan seperti kekejaman yang akhirnya akan melibatkan kanak-kanak ini ataupun remaja ini memudaratkan diri mereka sendiri seperti mencedarakan diri sendiri, mengelar pergelangan tangan dan sebagainya.

Mereka juga selalunya akan didedahkan dengan kandungan seperti seksualiti.

Dan kajian menunjukkan tujuan mereka melakukan perkara ini ialah untuk mengantun secara seksual terhadap kanak-kanak dan remaja.

Itulah antara bahaya kerana mereka didedahkan daripada usia yang muda dan perkara ini akan menjejas mereka bukan saja sekarang tetapi ia akan menjejas mereka sehingga mereka dewasa,” tekan Cik Noraliza.

Malah itulah antara pengalaman negatif yang dialami “Nadia” dan Siti A’dlina yang dipaparkan dalam DETIK Semasa yang meninjau kesan media sosial ke atas mental dan emosi kanak-kanak dan remaja melalui segmen Petaka Media Sosial? pada 6 Oktober lalu

“Dia orang post dekat Facebook muka dia macam budak bodoh, macam budak selenge, kemudian mereka tag di media sosial,” menurut Nadia.  

Anak-anak yang terjejas boleh mempunyai pemikiran untuk membunuh diri atau suicide ideation. Lukisan dari pameran As It Is: Complex Rectification of Suicidal Mind yang berlangsung di Aliwal Arts Centre sehingga 10 Oktober 2021.

“Tellonym dan juga ASKfm, di kalangan remaja ia amat popular kerana platform ini dia menggunakan secara anonymous. Tetapi dari itu juga saya dilontarkan soalan-soalan yang mengkritik saya dari segi fizikal,” cerita Siti A’dlina tentang pengalamannya.

IBU BAPA PERLU PANTAU PENGGUNAAN MEDIA SOSIAL ANAK-ANAK

Para pakar kesihatan mental yang DETIK Semasa menekankan pentingnya untuk ibu bapa memantau pengunaan sosial media anak mereka.

Pakar psikoterapi dan konsultan klinik Maimunah Mosli yang juga merupakan Pengarah Hayaa’ Network juga memberi saranan bahawa ibu bapa boleh menggunakan media sosial itu sendiri untuk mendekati anak mereka.

“Ibu bapa kita harus mendekati anak-anak dan kita harus mengendalikan masalah mereka dan sebagainya.

Hakikatnya bila anak-anak dah membesar ataupun mementingkan media sosial kita harus terima hakikatnya yang kita barangkali bukan orang yang lebih sesuai untuk mendekati anak-anak.

Jadi macam mana kita boleh menggunakan media sosial juga untuk berinteraksi dengan anak-anak supaya kita boleh memulakan perbincangan atau perbualan dengan lebih terbuka.

Pernah saya gunakan wadah whatsapp dalam sesi saya dengan keluarga kerana mereka tak boleh nak berbincang atau menyuarakan sesuatu kerana perasaan malu dan benci dah berbaur dalam sesebuah keluarga jadi menggunakan wadah sedemikian membuka ruang sebenarnya untuk ahli keluarga mula membincangkan apa yang penting bagi diri mereka,” saran Cik Maimunah. 

Ibu Bapa memainkan peranan memantau pengunaan media sosial anak-anak.

KESAN PERUBAHAN SIKAP ANAK, DAPATKAN BANTUAN ATASI MASALAH KESIHATAN MENTAL

Ibu bapa juga perlu mengesan perubahan pada perangai anak-anak mereka dan mengambil langkah untuk mendapatkan bantuan untuk anak-anak yang terjejas.

“Ketika anak-anak terkesan dengan apa yang berlaku di social media, apa yang perlu diberi perhatian adalah dunia emosi mereka.

Kadang-kadang sebagai seorang dewasa sebab kita lumrahnya kita nak memperbetulkan atau memperbaikkan, kita begitu ghairah untuk menyuruh anak-anak beritahu apa yang mereka rasa.

Anak-anak mungkin sukar nak meluahkan. Mungkin boleh cari cara yang lain untuk memberi perhatian dan untuk memahami perasaan kadang-kadang kalau anak di sekolah rendah dari segi melukis dan sebagainya dan pastinya kalau ibu bapa dapati rasanya sukar untuk mendekati anak-anak boleh membawa dan mencari bantuan professional seperti kaunseling dan psikoterapi,” tekan Cik Fajariah

Para pakar ini akur bahawa payah meletakkan umur minima yang sesuai untuk mendedahkan anak-anak kepada teknologi dan media sosial kerana ia telah digunakan sejak diperingkat prasekolah.

Namun menjadi celik digital dan menggunakan media sosial secara berhemah penting.

“Syorkan kepada kanak-kanak dan remaja di luar sana, bila mereka menggunakan social media, mereka perlu ingat empat perkara ini.

Perkataannya ialah HEAL, H-E-A-L. H* ialah lebih berhati-hati apabila menggunakan media sosial.

E ialah empati. Maksudnya bila mereka ingin muat naik ataupun memberi komen, mereka perlu ada sifat empati terhadap rakan-rakan dan sebagainya.

A ialah adab. Mereka perlu lebih beradab dalam menggunakan social media ketika memberi komen dan sebagainya.

Dan terakhir sekali ialah L, lindung. Bermaksud mereka perlu lindung diri mereka dan lindung kawan-kawan mereka juga semasa menggunakan media sosial ini,” tekan Cik Noraliza.

Teknologi dan media sosial boleh dimanfaatkan sepenuhnya buat tujuan pendidikan dan permainan.

Namun samada ia menjadi petaka terpulang kepada bagaimana kita memantau pengunaan anak-anak dalam melungsurinya. 

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan