ME1 Noor Syarah antara lebih 900 kadet dapat pentauliahan sebagai spesialis, pakar tentera
SINGAPURA: Bagi ME1 Noor Syarah Natasha Sadeli, 25 tahun, jantina seseorang itu tidak menjadi penghalang untuk menyumbang dan mempertahankan negara.
Hal itulah antara perkara yang mendorongnya untuk sertai latihan dan akhirnya muncul sebagai satu-satunya kadet wanita dalam unit Institut Latihan Logistik Tentera (ALTI).
"Saya rasa sesiapa yang mahu mempertahankan Singapura boleh mencuba dan sama-sama kita menjalankan tugas ini," kata ME1 Noor Syarah.
ME1 Noor Syarah adalah antara 923 kadet SAF yang mendapat pentauliahan sebagai spesialis dan pakar tentera hari ini (19 Mei).
Malah, beliau juga terpilih menjadi antara kadet terbaik dan berjaya meraih bayonet perak.
ME1 Noor Syarah berkata: "Saya tidak sangka untuk menerima anugerah ini tetapi saya gembira. Saya rasa setakat ini perjalanan saya di SAF sangat bermakna untuk saya."
Minat yang mendalam dalam bidang kejuruteraan membakar minatnya untuk menjadi seorang Jurutera Tentera di SAF.
Abangnya yang juga seorang pegawai SAF juga menjadi pendorong untuk menyumbang kepada pertahanan negara.
Malah mereka sering menonton video-video berkenaan kejuruteraan dan menjalani latihan fizikal bersama bagi membantu ME1 Noor Syarah terus kekal berdaya saing dengan kadet-kadet lelaki.
Namun, ME1 Noor Syarah akur bahawa latihan selama 22 minggu itu banyak cabarannya.
"Cabaran yang saya harus hadapi adalah melalui kursus pada bulan puasa. Cuaca sangat panas tetapi dengan sokongan komander platun dan rakan-rakan, saya dapat mencapai objektif saya," ujar ME1 Noor Syarah.
UPACARA PENUH YANG PERTAMA SEJAK PANDEMIK MELANDA
Seramai 923 kadet daripada Angkatan Bersenjata, Laut dan Udara Republik Singapura serta daripada Kumpulan Markas, Kawalan, Perhubungan, Komputer dan Risikan (C4I) ditauliahkan sebagai spesialis dan pakar tentera hari ini (19 Mei) selepas selesai menjalani kursus intensif selama 22 minggu.
Upacara tamat kursus spesialis bagi kohort ke-51 yang diadakan di Kem Pasir Laba itu adalah yang pertama diadakan pada skala penuh sejak pandemik COVID-19 melanda.
Ini bermakna bahawa upacara tamat kursus bagi kadet-kadet itu diadakan pada hari dan di sesi yang sama berbanding dibahagi-bahagikan kepada beberapa kumpulan.
Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri dan Pembangunan Negara, Dr Muhammad Faishal Ibrahim, yang menjadi Pegawai Pemeriksa di majlis tamat kursus menekankan peranan penting para spesialis dan pakar tentera dalam menjaga kedaulatan Singapura.
Beliau menarik perhatian kepada konflik Rusia-Ukraine yang menjadi peringatan buat rakyat Singapura tentang perlunya benteng pertahanan yang kuat.
Dalam pada itu, Dr Faishal juga menekankan kepentingan dalam membangunkan keupayaan SAF dan kekal bersedia untuk menghadapi keadaan geopolitik yang semakin tidak menentu.
Ini termasuk ancaman tradisional dan bukan tradisional di tengah-tengah sekitaran dunia yang sentiasa berubah.
Dr Faishal berkata: "Kita mesti selalu bersedia untuk mempertahankan diri tanpa bergantung kepada bantuan pihak lain. Inilah mengapa Singapura melabur secara konsisten untuk membangunkan keupayaan SAF yang kuat dan berwibawa."
Dr Faishal juga mengingatkan kadet-kadet: "Apabila anda mengambil peranan sebagai pemimpin dalam SAF di tengah-tengah persekitaran keselamatan yang sentiasa berubah, anda mesti sentiasa kekal teguh dan tegas untuk mempertahankan cara hidup dan melindungi orang yang kita sayangi."
Majlis itu turut dihadiri anggota keluarga, rakan-rakan para graduan dan pegawai kanan SAF.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.