Skip to main content

Singapura

Md Munzir dapat 3 gred F9 semasa GCE 'O', tapi kini selangkah daripada diploma

Detik-detik mendapat keputusan GCE 'O' pada 2016 masih segar dalam ingatan Muhammad Munzir Abdul Rahim. Bekas pelajar Madrasah Irsyad Zuhri itu gagal hampir semua subjek.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Detik-detik mendapat keputusan GCE 'O' pada 2016 masih segar dalam ingatan Muhammad Munzir Abdul Rahim. Bekas pelajar Madrasah Irsyad Zuhri itu gagal hampir semua subjek.

Dia mendapat gred F9 bagi tiga mata pelajaran - Matematik, Sains dan Geografi - dan dua gred D7, iaitu bagi Inggeris dan Bahasa Arab. Dia cuma lulus Bahasa Melayu dan Pengetahuan Agama Islam (IRK).

Dengan keputusan yang "memang rabak" itu - pengakuan Munzir sendiri - harapannya untuk ke peringkat pendidikan seterusnya memang sangat tipis.

"Pada mulanya saya terkejut tetapi kalau nak difikirkan, ia seperti dapat dijangkakan," kata Munzir mengimbas kembali saat-saat dia baru mengambil kertas keputusan GCE 'O'nya itu.

"Terus terang saya cakap, semasa Peperiksaan Peringkat 'O' itu, saya langsung tidak ambil peduli tentang pelajaran. Macam rasa diri ini belum matang, masih nak main-main lagi."

Related article image

Munzir ketika masih lagi seorang pelajar menengah. (Gambar-gambar: Md Munzir)

Munzir bahkan mengakui suka "tidur dan duduk belakang" ketika gurunya mengajar dalam kelas.

"Cikgu nasihat pun saya buat bodoh. Masuk kiri keluar kanan," ceritanya lagi secara jujur.

Siapa sangka, walaupun dengan keputusan sebegitu, Munzir kini sebenarnya tinggal setapak lagi untuk menjulang diploma dalam bidang kejuruteraan elektronik dan elektrikal. Ia bakal menjadi kenyataan sekitar empat bulan lagi.

Ini kisah penuh inspirasi pelajar Politeknik Republik itu yang bangkit dari kemalasan dan kegagalan, menuju kepada kejayaan.

INGIN BERHENTI SEKOLAH TAPI... 

Sejujurnya, kalau gagal peperiksaan sekolah sahaja, pasti akan ada rasa kecewa sehingga boleh tertunduk malu. Bayangkan perasaan Munzir. Dia gagal peperiksaan nasional. Tidak hanya itu. Dia gagal membanggakan ibu bapanya sebagai satu-satunya anak mereka.

"Bila lihat kawan-kawan semua dapat keputusan bagus, dapat pergi politeknik, kursus yang bagus-bagus tetapi saya tak dapat pergi politeknik. Masa itu baru saya rasa menyesal," luah Munzir.

Related article image

Munzir (depan, dua dari kiri) bersama rakan-rakannya di madrasah.

Ketika itu dia punya pilihan yang cukup terhad - dalam dua jurusan sahaja - untuk melanjutkan pelajaran di peringkat Nitec Tinggi. Salah satunya adalah bidang kecantikan.

"Saya tak minat. Saya memang sudah nekad nak berhenti belajar sebab saya tengok keputusan saya gini macam... tak boleh pergi mana-mana," tambahnya.

Hasratnya itu bagaimanapun tidak diteruskan. Ini setelah seorang guru tuisyen sukarela di sekolahnya, Encik Muhammad Aadil Dafir, tiba-tiba menghubunginya.

Encik Aadil memang banyak meluangkan masa bersama para pelajar Madrasah Irsyad untuk mengajar tuisyen Matematik, Fizik dan Kimia. Setelah keputusan CGE 'O' diumumkan, beliau kemudian bertanya-tanya anak didiknya tentang keputusan mereka, termasuk Munzir.

"Saya macam biasa tengah lepak-lepak, tidak buat apa-apa, tengok TV tengok telefon bimbit. Tiba-tiba dapat panggilan daripada dia (Encik Aadil), dia suruh 'siap dalam 10 minit.' Saya cakap, 'Ada apa?' Itu yang dia cakap nak pergi Kolej Barat ITE untuk temu duga," cerita Munzir. 

Related article image

Munzir bersama Encik Aadil. 

Dia akhirnya mendapat tempat dalam jurusan Elektronik (Komputer & Rangkaian).

Munzir melanjutkan pelajaran dalam bidang itu, walaupun ia ditawarkan pada peringkat Nitec - bermakna, dia 'terlambat' menyertai kelas kerana program Nitec bermula sebelum keputusan GCE 'O' dikeluarkan. Bukan itu sahaja, kerana Munzir menyertai program Nitec, tempoh pengajian di ITE baginya adalah empat tahun.

JADI PELAJAR CEMERLANG, TAMAT PENGAJIAN DALAM 2 TAHUN

Ibarat diberi peluang kedua, Munzir membuat pilihan untuk menjadi lebih tekun belajar sehingga penguasaan matematiknya menjadi jauh bertambah baik.

Bayangkan, dalam tahun pertama di ITE sahaja, Munzir berjaya masuk senarai dekan kerana menjadi antara 10 peratus pelajar terbaik.

Malah keputusannya bagi tahun kedua cukup cemerlang sehingga layak untuk terus memasuki politeknik. Semua gred yang diraih hanya 'A' dan 'B'.

Related article image

Munzir bersama keluarganya di Majlis Penyampaian Sijil ITE.

"Bila saya dah dapat kursus itu, saya cuba buat yang terbaik. Saya tak nak hampakan ibu bapa saya lagi. Saya tak nak hampakan Encik Aadil yang dah banyak tolong saya," terang Munzir.

"Bila datang sekolah, cuba untuk fokus. Kalau saya ada soalan pun, saya tak pasti apa-apa, saya tanya Encik Aadil," tambahnya.

Segala tekad dan penat lelahnya itu memang cukup berbaloi. Pelajar politeknik Tahun 3 itu bakal menamatkan kursusnya tidak lama lagi. Munzir, 22 tahun, dijangka lulus dengan Diploma dalam Kejuruteraan Elektronik dan Elektrikal dari Politeknik Republik pada April nanti. 

KATA-KATA NASIHAT MUNZIR

Kisah Munzir ini jelas suatu contoh bahawa kegagalan awal tidak semestinya menjadi hambatan. Si pelajar harus ada iltizam dan semangat kuat untuk berubah, untuk belajar. Dibantu pula oleh pihak luar. Dalam contoh ini, bantuan luar itu adalah Encik Aadil. Natijahnya, keciciran dapat dicegah.

Tapi bagi Munzir, apa sebenarnya yang menjadi pendorong utamanya?

"Masa itu bila saya tengah sedihlah, kecewa. Saya ternampak kata-kata semangat ini di Instagram: ‘Dont give up because of one bad chapter in your life'. Jangan pernah berputus asa. Kalau kita putus asa, kita tak akan tahu nasib kita macam mana. Perjalanan kita kalau berhenti di situ, tidak ada sambungannya. Mana tahu pada semuanya akan menjadi lebih baik daripada sekarang," kongsi Munzir yang berharap kata-katanya ini akan menjadi pendorong kepada sesiapa sahaja yang melalui pengalaman yang sama sepertinya.

Related article image

Munzir (paling kanan) bersama kawan-kawannya di politeknik. 

Munzir juga mengucapkan terima kasih kepada Encik Aadil, yang disifatkannya "seperti satu dalam sejuta".

"Saya rasa orang macam Encik Aadil yang kita perlukan dalam masyarakat. Sebab beliau terus menyokong para pelajarnya dan pastikan mereka tidak putus asa."

Daripada seorang remaja yang suatu ketika dahulu pernah dapat banyak gred F9, 'rabak' dan 'nekad' mahu berhenti belajar, Munzir kini ibarat 'Phoenix' yang bangkit dari abu.

Ditanya apa yang mahu dilakukannya selepas NS nanti, ini jawapan pantas dari Munzir:

"Kalau ada rezeki, boleh ambil 'degree'."  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita