Skip to main content

Singapura

MCI beri amaran kepada ketua biro The Economist kerana campur tangan dalam politik SG

Anggaran Waktu Membaca:
MCI beri amaran kepada ketua biro The Economist kerana campur tangan dalam politik SG

(Gambar: Penguin Random House/Jeremy Sutton-Hibbert; laman Jom)

SINGAPURA: Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) mengeluarkan amaran kepada Dominic Ziegler, ketua biro The Economist di Singapura, atas sokongan secara terbuka kepada penerbitan online tempatan Jom yang merupakan satu 'campur tangan" dalam ehwal politik Singapura.

Dalam kenyataannya pada Jumaat (8 Sep), MCI menyatakan bahawa Encik Ziegler telah "membandingkan Singapura dengan negara yang tidak liberal, dan menggalak rakyat Singapura supaya mendakapi visi alternatif dan bukan apa yang ditawarkan oleh negara ini dan media yang tunduk kepada pemerintah".

Encik Ziegler, yang juga menulis bagi ruangan Banyan yang berfokuskan Asia untuk ruangan mingguan itu, dipetik dalam iklan Jom pada 25 Ogos mengatakan bahawa "di negara-negara yang tidak liberal di seluruh dunia, media bebas memerlukan penyokong"; sambil merujuk kepada "negara-negara tersebut dan media yang tunduk kepada pemerintah masing-masing" dan menggambarkan Jom sebagai "menawarkan visi alternatif".

Menurut laman webnya, Jom adalah majalah mingguan tentang Singapura. Pengasas bersamanya ialah Charmaine Poh, Tsen-Waye Tay dan Sudhir Vadaketh.

Menurut MCI, ia telah menyatakan "dengan jelas tentang jangkaannya" kepada Encik Ziegler agar beliau tidak lagi campur tangan dalam politik Singapura.

“Tindakan Ziegler jelas melanggar batas daripada melaporkan mengenai Singapura kepada menyertai hal ehwal Singapura,” tegas kementerian itu.

"Ziegler telah mengambil kesempatan daripada statusnya di Singapura sebagai seorang wartawan dalam penerbitan antarabangsa yang berprestij untuk mendorong rakyat Singapura supaya menyokong pandangannya mengenai politik dalaman Singapura, sedangkan beliau bukan rakyat negara ini."

MCI turut menegaskan, sudah menjadi dasar pemerintah sejak sekian lama bahawa "campur tangan asing" dalam politik Singapura tidak boleh diterima sama sekali.

“Politik Singapura dikhaskan hanya untuk rakyat Singapura,” tambahnya.

Wartawan asing bebas melaporkan dan mengulas mengenai Singapura dalam penerbitan masing-masing untuk pembaca global, dan Encik Ziegler telah melakukannya secara kerap, kata MCI.

“Pemerintah menegaskan haknya untuk membalas bagi memperbetulkan laporan asing yang dianggap tidak tepat atau berat sebelah, tetapi ia tidak menghalang wartawan asing daripada melibatkan sesiapa yang mereka inginkan dan melaporkan tentang Singapura dalam apa jua cara yang mereka fikirkan sesuai.

“Ramai koresponden dan media asing berpengkalan di Singapura. The Economist sendiri telah mengembangkan bironya di sini sejak beberapa tahun kebelakangan ini, memindahkan ramai wartawannya yang sebelum ini berpangkalan di tempat lain di rantau ini ke Singapura," tambah MCI.

"Ia tidak akan berbuat demikian jika ia tidak mendapati Singapura sebagai sebuah pangkalan yang sesuai untuk wartawannya."

MCI menekankan bahawa ia akan terus mengalu-alukan wartawan asing dan agensi media untuk beroperasi dan melaporkan tentang Singapura, termasuk The Economist.

“Bagaimanapun, mereka mesti mematuhi undang-undang kita dan tidak boleh campur tangan dalam politik negara kita.”
 
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita