Skip to main content

Singapura

McDonald's jelaskan kanak-kanak 12 tahun ke bawah belum divaksin dibenar makan di premisnya

Restoran makanan segera McDonald's menjelaskan bahawa kanak-kanak belum divaksin berusia 12 tahun dan ke bawah dibenarkan untuk makan di restorannya, sejajar dengan langkah pengurusan selamat COVID-19 Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Restoran makanan segera McDonald's menjelaskan bahawa kanak-kanak belum divaksin berusia 12 tahun dan ke bawah dibenarkan untuk makan di restorannya, sejajar dengan langkah pengurusan selamat COVID-19 Singapura. Ia berkata demikian selepas seorang pelanggan mengadu baru-baru ini bahawa anaknya tidak dibenarkan makan di restoran makanan segera itu.

Dalam satu catatan di sebuah kumpulan sembang privet di Facebook dipanggil 'Sengkang/Punggol/Hougang Mommies Club, pelanggan itu berkata beliau mengunjungi cawangan McDonald's di Kelab Masyarakat Punggol 21 bersama anaknya yang berusia tujuh tahun untuk makan tengah hari pada Khamis (6 Jan).

Namun diberitahu seorang kakitangan bahawa mereka tidak dibenarkan makan di restoran itu kerana anaknya belum divaksin.

Namun dalam jawapan kepada pertanyaan Mediacorp, McDonald's menjelaskan pada Jumaat (7 Jan) bahawa wanita itu bersama anaknya seharusnya dibenarkan untuk makan di restoran itu.

"Kami menyambut kehadiran pelanggan di restoran kami sejajar dengan langkah pengurusan selamat sedia ada. Ini termasuk bagi kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah yang belum divaksin untuk makan di restoran kami jika mereka ditemani oleh seorang dewasa yang sudah lengkap divaksin," menurut syarikat itu dalam satu kenyataan.

"Kami maklum tentang satu kejadian melibatkan seorang ibu dan anaknya yang belum divaksin yang mungkin tidak dibenarkan masuk. Kami sudah mengingatkan pasukan pekerja di restoran kami tentang langkah pengurusan selamat yang terkini dan berharap dapat menyediakan khidmat yang selamat kepada pelanggan."

Di bawah langkah pengurusan COVID-19 sedia ada, pelanggan yang belum divaksin tidak dibenarkan untuk makan di luar dan hanya boleh membeli makanan untuk dibawa pulang. Peraturan ini meliputi semua tempat makanan dan minuman, termasuk restoran, pusat penjaja dan pusat makanan.

Namun kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah yang belum divaksin diberi pengecualian dan boleh makan di tempat-tempat makanan itu selagi mereka ditemani seorang dewasa yang lengkap divaksin.

Singapura mula memberi suntikan vaksin kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun pada 27 Disember. Lebih 42,000 kanak-kanak sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19 setakat Jumaat.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita