Skip to main content

Singapura

McDonald's alami gangguan sistem meluas, operasi di Asia termasuk SG dan Jepun terjejas

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Gangguan meluas pada sistem McDonald's pada Jumaat (15 Mac) menjejas operasi di Asia, termasuk Singapura, Jepun dan China.

Mesin penjualan memaparkan skrin hitam di pusat beli belah Funan, Admiralty Place, dan Ang Mo Kio Avenue 10.

Para pengguna melaporkan bahawa mereka tidak dapat membuat tempahan di aplikasi rangkaian makanan segera itu.

"Kami sedang mengalami isu dengan aplikasi. Tempahan telefon bimbit, Tawaran dan Ganjaran tidak disediakan buat sementara waktu. Kami memohon maaf atas kesulitan yang berlaku," tulis notis di aplikasi tersebut.

Satu pantauan Mediacorp mendapati, kakitangan di Blok 109 Toa Payoh Lorong 1 berkata mereka tidak dapat mengambil pesanan di kaunter atau menerima pesanan online. Kios layan diri juga tidak berfungsi.

Seorang pelanggan memberitahu Mediacorp bahawa pesanannya ditolak oleh kakitangan McDonald's pada pukul 4.45 petang.

Seorang lagi pelanggan yang tiba pada pukul 5.00 petang dengan hasrat untuk membeli McFlurry, namun cawangan tersebut tidak mengambil sebarang pesanan.

Di cawangan SAFRA Toa Payoh dan Ang Mo Kio Avenue 10, kakitangan dilihat mengambil pesanan menggunakan kertas.

Para pelanggan juga dilihat membuat bayaran menggunakan wang tunai di cawangan Toa Payoh itu.

McDonald's Jepun pula membuat pengumuman di platform media sosial X mengenai gangguan sistem itu, dan memohon maaf atas kesulitan yang berlaku dan meminta pelanggan untuk "menunggu buat seketika sehingga sistem dibaik pulih".

Seorang jurucakap berkata semua cawangan di Jepun sudah berhenti mengambil tempahan di kedai dan melalui telefon bimbit, dan syarikat tersebut sedang berusaha untuk menyambung semula operasi.

Menurut laman web McDonald's Jepun, rangkaian makanan segera itu mempunyai kira-kira 3,000 cawangan di negara tersebut.

Keadaan serupa berlaku di China dan Hong Kong, dengan para pelanggan tidak berjaya membuat tempahan selama beberapa jam.

Statistik Weibo menunjukkan bahawa hashtag "McDonald's tidak berfungsi" mula mendapat perhatian pada kira-kira pukul 2.00 petang tadi.

McDonald's Hong Kong memuat naik catatan di Facebook untuk memohon maaf atas kesulitan yang tercetus oleh "gangguan sistem komputer".

"Mesin pesanan dan kios layan diri tidak berfungsi. Sila buat pesanan di kaunter restoran," tambah catatan tersebut.

Akhbar The HK Economic Times kemudian memetik seorang jurucakap McDonald's, yang berkata sistem computer sudah menyambung operasi pada kira-kira pukul 4.00 petang.

McDonald's di Australia juga terkesan, dengan sejumlah cawangan terjejas di seluruh negara.

Ramai pengguna di seluruh dunia juga memuat catatan tentang masalah tersebut di media sosial, dengan melaporkan isu serupa yang berlaku di Jerman, Austria, Belanda dan Amerika Syarikat.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita