Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

McDonald's gantung semua operasi restoran di S'pura hingga 4 Mei

Ini termasuk khidmat pandu masuk (drive-through) dan khidmat penghantaran yang berkuat kuasa mulai 11.00 pagi hari ini.

Anggaran Waktu Membaca:
McDonald's gantung semua operasi restoran di S'pura hingga 4 Mei

Gambar fail sebuah cawangan McDonald's di Singapura. (Gambar: Francine Lim)

Diterbitkan : 19 Apr 2020 09:04AM Dikemas Kini : 19 Apr 2020 04:35PM

SINGAPURA: McDonald's Singapore akan menggantung operasi restoran di kesemua cawangannya di Singapura mulai hari ini (19 Apr) sehingga tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 berakhir pada 4 Mei, menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh gergasi makanan segera itu.

Ini termasuk khidmat pandu masuk (drive-through) dan khidmat penghantaran yang berkuat kuasa mulai 11.00 pagi hari ini.

Ia diumumkan sehari selepas McDonald's memaklumkan bahawa ia akan menggantung khidmat bawa pulang makanan yang disediakan oleh gergasi makanan segera itu.

Khidmat pandu masuk dihentikan pada 8.00 pagi dan tempahan terakhir bagi khidmat penghantaran adalah pada 10.30 pagi, tambah kenyataan berkenaan.

"McDonald's Singapore mengumumkan hari ini bahawa atas nasihat Kementerian Kesihatan, ia memutuskan untuk menggantung operasi restoran, termasuk McDelivery dan Drive-Thru sehingga 4 Mei," menurut kenyataan media tersebut.

"Kita sedang melalui masa yang sangat luar biasa. Pihak syarikat sudah berusaha sedaya upaya bagi memastikan kami melindungi keselamatan para pekerja dan pelanggan kami dan pada masa yang sama kami juga akan memainkan peranan kami untuk mengurangkan jumlah jangkitan di Singapura," kata pengarah urusan McDonald's Singapore Kenneth Chan.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada para pelanggan atas sokongan berterusan mereka dan kami akan menyambung khidmat kami pada 5 Mei," tambah pengarah urusan McDonald's Singapore itu.

Semasa mengumumkan langkah untuk menggantung khidmat bawa pulang makanan, syarikat tersebut turut mendedahkan bahawa ia akan terus membayar gaji para pekerjanya, termasuk pekerja lanjut usia, yang peranan mereka terjejas sepanjang tempoh pemutus jangkitan.

Awal bulan ini, lima pekerja McDonald's disahkan dijangkiti COVID-19, sekali gus membentuk kelompok yang ada kaitan dengan kes-kes lalu. Para pekerja yang terjangkit itu bertugas di cawangan-cawangan Lido, Forum Galleria, Parklane dan Geylang East Central.

Kesemua pekerja yang bertugas di keempat-empat cawangan itu kemudian diberitahu supaya mengambil Cuti Ketidakhadiran (LOA) selama 14 hari tidak kira sama ada mereka bersentuhan dengan kes-kes yang disahkan itu.

Mereka sedang dikuarantin di kemudahan-kemudahan perubatan dan keadaan mereka kini dipantau oleh kakitangan perubatan seperti yang ditetapkan dalam garis panduan Kementerian Kesihatan (MOH).

Dalam satu perkembangan yang berasingan,Kementerian Tenaga Manusia (MOM) mengumumkan semalam (18 Apr) bahawa semua pemegang pas kerja dan pemegang Pas S dalam sektor binaan akan diletakkan di bawah Notis Jangan Keluar Rumah (SHN).


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

Sumber : CNA/AW/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan