Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MCCY umum lebih banyak kegiatan keagamaan sehingga 50 orang boleh disambung semula mulai 26 Jun

Had yang dibenarkan bagi masjid dan rumah ibadat yang lain akan dinaikkan kepada 50 orang di bawah Fasa 2 mulai 26 Jun.

Anggaran Waktu Membaca:
MCCY umum lebih banyak kegiatan keagamaan sehingga 50 orang boleh disambung semula mulai 26 Jun

Masjid Al-Ansar. (Gambar: Facebook)

Diterbitkan : 19 Jun 2020 09:18PM Dikemas Kini : 19 Jun 2020 09:22PM

SINGAPURA: Had yang dibenarkan bagi masjid dan rumah ibadat yang lain akan dinaikkan kepada 50 orang di bawah Fasa 2 mulai 26 Jun.

Ini setelah Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) mengumumkan pada Khamis (18 Jun) bahawa rumah ibadat termasuk masjid boleh menyambung semula secara bertahap-tahap lebih banyak kegiatan keagamaan dengan disertai lebih ramai orang setelah Singapura melangkah ke Fasa 2 pada 19 Jun.

Sungguhpun demikian, MCCY menekankan langkah berjaga-jaga perlu terus dilaksanakan untuk melindungi kesihatan awam.

Dalam peralihan dari Fasa 1 ke Fasa 2 pembukaan semula Singapura, sehingga 50 orang boleh menghadiri sesuatu upacara keagamaan di rumah ibadat termasuk masjid mulai 26 Jun.

MCCY menyatakan para penganut tetap perlu mematuhi langkah-langkah keselamatan termasuk menjaga jarak selamat 1 meter antara satu sama lain di samping memakai pelitup muka pada setiap masa.

Ibadah serta khidmat-khidmat keagamaan perlu dijalankan dalam waktu yang singkat, jelas MCCY. Ini juga bermakna para penganut dan jemaah dinasihatkan supaya jangan berkumpul sebelum dan selepas melakukan ibadah.

Peralatan-peralatan ibadah seperti sejadah dan telekung juga tidak boleh dikongsi antara satu sama lain. Jemaah dinasihatkan supaya membawa peralatan ibadah mereka sendiri.

MCCY menambah jumlah had 50 orang itu akan dinaikkan melebihi batas tersebut sekiranya kes jangkitan COVID-19 dalam masyarakat kekal stabil dan rendah.

Namun, seandainya dalam sesuatu upacara keagamaan di mana jumlah had dibenarkan untuk melebihi 50 orang, para penganut dan jemaah akan diasingkan kepada zon-zon berbeza dengan setiap zon tidak melebihi 50 orang.

MAJLIS AKAD NIKAH DAN UPACARA PENGEBUMIAN

Majlis akad nikah dan acara pengebumian melibatkan sehingga 20 orang juga boleh dibenarkan di masjid dalam Fasa 2. Had itu, yang dinaikkan daripada hanya 10 orang sebelum ini dalam Fasa 1, tidak termasuk Kadi atau Naib Kadi bagi majlis akad nikah dan para pegawai sokongan serta keagamaan bagi upacara pengebumian.

Sekalipun majlis akad nikah secara fizikal dan bersemuka dibenarkan, MCCY menggalak pasangan bakal mempelai supaya menjalankan akad nikah menerusi persidangan video demi menjaga kesihatan diri mereka serta orang lain daripada risiko jangkitan COVID-19.

Para hadirin ke majlis-majlis tersebut juga dinasihatkan supaya mematuhi langkah-langkah keselamatan sepanjang tempoh berada di masjid. Ini termasuk menjaga jarak selamat 1 meter antara individu dan meninggalkan premis sejurus selepas selesai majlis. Jamuan juga tidak dibenarkan disediakan selepas majlis akad nikah.

KEGIATAN KEAGAMAAN LAIN

Dalam Fasa 2 juga, rumah ibadat boleh mengadakan upacara dan kegiatan keagamaan secara berkumpulan.

Ini bermakna masjid boleh menyambung semula kelas agama untuk orang dewasa dan kanak-kanak tetapi tidak melebihi lima orang, tidak termasuk guru agama.

Bagaimanapun, MCCY menyatakan pertubuhan keagamaan digalakkan untuk terus memenuhi keperluan keagamaan masyarakat masing-masing melalui kaedah online seperti rakaman dan penstriman.

Sehingga 10 orang dibenarkan berada di lokasi bagi penerbitan seumpama itu dalam Fasa 2. MCCY menyatakan daripada jumlah tersebut, sehingga lima orang boleh menanggalkan pelitup mereka buat sementara waktu ketika bercakap tetapi mereka perlu mengekalkan jarak sekurang-kurangnya 2 meter daripada orang lain. Individu lain yang turut berada di lokasi pula mesti memakai pelitup pada setiap masa selain menjaga jarak selamat 1 meter antara satu sama lain.

MCCY menyatakan pertubuhan keagamaan perlu menyerahkan Pelan Pengurusan Keselamatan (SMP), termasuk pengerahan tenaga kerja, sekurang-kurangnya tiga hari sebelum memulakan kegiatan dalam Fasa 2.

Namun, kementerian itu memberi amaran, ia berhak menggantung kegiatan mana-mana pertubuhan agama sekiranya terdapat kelemahan pada SMP yang diserahkan dan sehingga langkah-langkah pembetulan yang wajar dilaksanakan.

MCCY menambah premis atau tempat ibadat boleh diarahkan ditutup oleh pihak berkuasa sekiranya berlaku sebarang jangkitan COVID-19 yang terkait dengannya. 


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : BERITA Mediacorp/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan