Skip to main content

Singapura

MCCY 'terkejut, bingung' dengan dakwaan komposer India berhubung lagu 'Count on Me, Singapore'

Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) menyatakan ia "terkejut" dengan dakwaan komposer dari India, Jeseph Conrad Mendoza, yang mengatakan bahawa beliau menulis versi asal lagu Count on Me, Singapore dan sudah meminta beliau untuk menjelaskan dakwaan tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
MCCY 'terkejut, bingung' dengan dakwaan komposer India berhubung lagu 'Count on Me, Singapore'

Petikan gambar Youtube.

Diterbitkan : 18 Mar 2021 02:20PM Dikemas Kini : 18 Mar 2021 02:33PM

SINGAPURA: Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) menyatakan ia "terkejut" dengan dakwaan komposer dari India, Jeseph Conrad Mendoza, yang mengatakan bahawa beliau menulis versi asal lagu Count on Me, Singapore dan sudah meminta beliau untuk menjelaskan dakwaan tersebut.

Dalam catatan Facebooknya hari ini (18 Mac), kementerian itu menyatakan ia sudah menghubungi Encik Mendoza dan sedang menantikan responsnya.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas video murid-murid di sebuah sekolah di India menyanyikan lagu bertajuk "We Can Achieve" yang dikongsi online minggu ini.

Lagu itu hampir serupa dengan lagu Count on Me, Singapore, iaitu lagu sambutan Hari Kebangsaan Singapura pada 1986. Ia digubah oleh warga Kanada, Hugh Harrison.

Dalam video yang dikongsikan minggu ini, semua perkataan yang merujuk kepada "Singapura" digantikan dengan "India".

Dalam wawancaranya bersama Mediacorp, Encik Mendoza mendakwa bahawa beliau menulis lagu itu pada April 1983 dan mengajarnya kepada kanak-kanak dari Rumah Anak Yatim Bal Bhavan di Mumbai.

Komposer lagu Count on Me, Singapore menyangkal dakwaan Encik Mendoza yang menuduh lagunya diciplak. Encik Mendoza turut mendakwa bahawa beliau menjual hak lagu itu kepada syarikat penerbitan Pauline Communications dan lagu itu diterbitkan sebagai sebahagian daripada CD berjudul "We Can Achieve - Inspirational Songs for Children and All" pada 1999.

Bagaimanapun, Encik Harrison menyelar dakwaan Encik Mendoza, sambil menegaskan bahawa beliau menulis lagu asal, dengan sumbangan daripada seorang pegawai pemerintah, rakan kerja dari firma pengiklanan di mana beliau bekerja ketika itu, serta pemuzik veteran Singapura, Jeremy Monteiro, yang menyusun lagu tersebut.

Dalam catatannya di Facebook pada Ahad malam, Pauline Communications memohon maaf sambil menyatakan pihaknya tidak menyedari bahawa lagu Count on Me, Singapore digunakan untuk sambutan Hari Kebangsaan Singapura sejak 1986.

Dalam kenyataannya hari ini, MCCY menyatakan bahawa Pemerintah Singapura memegang hak cipta irama dan seni kata Count on Me, Singapore, sambil menambah: "Meskipun Count on Me, Singapore merupakan salah satu lagu negara yang paling kita cintai, kita juga berbesar hati ia dihargai di India, dengan video itu menunjukkan para guru dan murid sekolah menyanyikannya dan meluahkan rasa cinta mereka kepada tanah air mereka.

"Kami tidak menjangkakan sebarang niat buruk yang sengaja dilakukan oleh Pauline India atau sekolah tersebut dan sudah menerima permohonan maaf itu."

Sumber : Today/AY/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita